Cinta Kuasa Tinggi - Bab 1


ALAM masih menangis. Penuh sendu dan sungguh meruntun jiwa. Que resah gelisah. Duduk, salah. Bangun pun serba tidak kena. Sekejap-sekejap dia melirik jam di pergelangan tangan kanannya. Sudah lewat satu jam untuk masuk kerja, Hujan di luar juga masih belum ada tanda-tanda mahu berhenti. Rintiknya masih lebat. Alam tengah mengamuk ke? 

Pasti sebaik saja sampai di pejabat nanti, dia akan disambut dengan jelingan tajam dan omelan yang berjela-jela daripada rakan sekerja merangkap ‘PA tidak bertauliah’ itu. Maklumlah, PA baru belum masuk lagi. Aduh, makin bingung dibuatnya! Jika bos yang marah, tidak mengapa juga. Memang patut sangat pun. Ini, staf biasa pula yang mengalahkan bos sendiri. Berlagak macam dia punyai kuasa veto yang boleh buat apa saja, hatta memaki hamun staf lain sesuka hati. 

Itulah... sayang sangat dengan motor ‘cabuk’ peninggalan abangnya! Bukan syarikat tidak pernah menawarkan guna kereta syarikat dalam keadaan tertentu. Cuma, dia saja yang menolak tuah. Sudah tahu sekarang ini memang musim hujan, masih juga hendak tunjuk ‘Malaysia boleh’.

Malaysia, memanglah boleh. Cuma yang tidak boleh, dia! Mahu demam seminggu jika dia redah saja hujan yang sedang menggila itu. Akhirnya, diri sendiri juga yang kena tanggung. Tapi, apa kes pula penghantar surat seperti dia guna kereta? Lecehlah! Tidak releven langsung. Kebarangkalian ‘sangkut’ dalam kesesakan jalan raya, memang sudah pasti. Akan berlaku pembaziran masa yang tidak perlu. Terbuang seminit pun, rasa rugi yang amat sangat. 

Tapi, sekarang ini... bukankah dia sedang membazirkan masa? Duduk termenung, melepas pandang pada rintik hujan yang masih ganas. Dapat apa? 

Kring! Hampir terlompat dia, bila telefon yang terletak berhampiran tempat dia ‘termenung’ itu berdering. Dia mengurut dada sambil cuba mencari tenang barang seketika. 
“Ceh! Telefon ni pun... nak bunyi bagilah  ‘salam’ dulu,” marahnya kalut. Santai dia mengatur langkah ke meja sisi, mahu menjawab panggilan yang entah daripada siapa itu. 

“Helo... Que ke tu?” 

“Ya, saya. Siapa ni?” 

“Amboi! Siap tanya siapa aku lagi, ya? Ni, mak tiri belah adik angkat kau cakap!” 

‘Ceh! Bila masa aku ada adik angkat?’ Que terpinga-pinga. Dia menjarakkan gagang telefon beberapa inci. Digosok cuping telinganya beberapa saat. Sedia maklum siapa yang menelefon bila mendengar suara bak halilintar itu. Aduh, boleh cair tahi telingalah kalau ‘PA tidak sedar diri’ itu memekik! 

“Apa kes kau, ni? Cakap elok-elok tak boleh ke? Aku tak pekaklah!” balas Que dengan gaya bosannya. 

“Amboi! Jantan sangatlah suara tu, ya? Nak herdik kat aku pulak. Ingat aku takut dengan suara jantan kau tu? Kenapa tak masuk ofis lagi ni? Kau tahu tak yang hari ni ada surat penting nak kena hantar sebelum tengah hari?” 

“Alah, kau ni, lecehlah… bukan hari-hari memang semua surat penting ke? Semua nak kena hantar juga. Bukan hari ni aje, apa!” 

“Menjawab! Tu ajelah kau tahu. Satu lagi, bos baru kita masuk hari ni. Kau dah lupa, ke? Boleh pula buat perangai macam tak sudi lagi nak kerja kat sini.” 

Gulp! Que telan air liur. Dalam pada geram kena bebel, dia masih sedar diri. Bos baru masuk hari ini. Aduhai, parah ni! 

“Eh, perempuan! Kau faham tak sekarang ni hujan lebat. Bos baru ke, bos lama ke, kau cakap ajelah aku ada masalah sikit. Aku naik motor. Bukan macam kau, naik kereta, sengal!” Keras dan agak kasar bunyi suara Que ketika itu. Maklumlah, tekaknya memang perit sejak beberapa hari kebelakangan ini. Serak jadinya. 

Mind your language, please! Siapa bagi awak mandat panggil saya sengal?” Satu suara asing menegur. Keras tapi dilepas dengan cara yang lembut. Sengaja memerli. 

Terkedu Que dibuatnya. Dia salah dengar ke? Atau dia salah masuk talian sekarang ni? Cross line, ke? Tadi, elok saja dia bercakap dengan ‘PA tidak sedar diri’ itu. Ini siapa pula yang menjawab? 

Musykil sungguh! 

“Erk! Siapa pulak ni?” 

“Penting ke siapa saya pada awak?!” 

Satu lagi sindiran kena batang hidungnya. “Listen carefully… Kalau awak tak sampai juga dalam masa setengah jam, saya kira awak berhenti kerja serta-merta. Faham!” Keras suara itu mengingatkan. Berbaur amaran. 

Serta-merta talian dimatikan dengan cara yang agak kasar. Agaknya, orang di sana main hempas saja gagang telefon itu. Tidak sayang harta betul! 

Que menelan liur yang sudah rasa bagai pasir pantai yang kering. Mak aii! Seperti bapa tiri saja lagaknya. Garang gila! Padan sangatlah tu! Seorang, ‘PA tidak sedar diri’ dan yang seorang lagi, ada tokoh jadi ala- ala bapa tiri. 

Seketika, Que termenung di depan pintu rumah sewanya. Kawan serumah yang lagi dua orang itu sudah lama sampai di tempat kerja mereka agaknya. Tinggal dia termangu seorang diri. Kena ‘sembur’ kaw-kaw pula sekejap tadi. Makin bingung dia dibuatnya. Dia masuk semula ke ruang tamu. 

Hujan masih turun dengan lebat. Seperti hujan di hatinya. Apa tidaknya? Lebat oleh rasa meluat. Sakit jiwa berbaur dengan sakit hati. Macam mana boleh ada dua orang makhluk senada seirama pula di pejabat tempat dia bekerja? Hilang terus semangat hendak bekerja sampai ke tua di situ. Hmm... 
Tapi, bila memikirkan kata-kata amaran yang tidak berapa mengecutkan hati itu, dia gagahkan diri juga. Sedaya upaya berusaha menjadi pekerja beretika dan berdedikasi. 

Hujan pun, hujanlah. Redah saja. Paling teruk pun, mungkin demam seminggu. Seronok apa ‘main’ hujan. Bukan selalu dapat buat seperti itu, kan? Lagipun, sejak bekerja di situ, mana pernah dia ambil MC. Tengok... berdedikasi jugalah dia selama ini. Rekodnya tidak pernah buruk, apa.
Hampir terlompat dia, bila telefon bimbit yang berada di dalam saku seluar jean corduroynya pula berbunyi. Nasib baik nada deringnya lagu yang sedap didengar. Kuranglah sikit lemah Segamatnya. Eh! Silap! Lemah semangatnya... 

Dengan malas, dia menjawab bila tertera nama ‘PA tidak sedar diri’ merangkap pengganggu keamanannya, di skrin lebar itu. ‘Apa lagi yang dia hendak ini?’ tanyanya dalam hati. Yang pasti kala itu telefon bimbit sudah pun melekap di telinganya. Dalam tidak berapa rela, dia membiarkan telinganya mendengar ‘khutbah pagi’ yang panjang berjela. 

“Que! Kau dengar tak apa bos cakap tadi? Cepat! Karang sia-sia aje kau kena pecat! Orang, kalau dah tahu hari ni hari penting, bersedialah dari awal. Dah tahu hujan, kenapa tak telefon aku? Tak pun, suruh kawan serumah kau hantarkan ke. Cepatlah sikit! Dengar, tak?” 

“Aiseymen! Yang kau telefon aku ni, buat apa? Nak suruh aku cepat, kau tu yang buat aku lambat, tahu tak? Kalau aku kena berhenti kerja, gaji kau hari ni kena bagi kat aku, faham!” jerkah Que.

“Apa pasal pulak?” 

“Dengar kau membebel, dah makan setengah jam. Macam mana aku nak cepat?” 
“Yang kau pulak membebel tu, kenapa?” 

Shut up!” Cepat-cepat Que mematikan talian. Tersungging bibirnya memerhatikan gajet terbaru yang masih dipegangnya. 

Lantas, telefon bimbit itu disimpan semula di dalam poket corduroynya. Jaket kulit disarungkan ke badan. Sambil berjalan ke arah pintu, tangan kanannya pantas mencapai kunci motor yang tersangkut di atas penyangkut kunci bersebelahan pintu masuk dan tangan kiri pula mencapai topi keledar yang terletak elok di atas rak majalah. Lantas, topi keledar itu disarungkan ke kepala. 

Dia sudah pun berada di luar rumah sewanya tika itu. Pintu utama dikunci kemas-kemas. Tingkap kaca di sebelah kiri, diumpil sedikit dengan hujung jari telunjuk. Sekadar memastikan semuanya sudah elok berkunci. 

Kemudian, sarung tangan kulit juga turut disarungkan di kedua-dua belah tangan. Sekali lagi dia menoleh ke belakang, meninjau lebat hujan sebelum mengeluarkan motosikal dari teduhan. Nekad. Pintu pagar dibuka. Motor dikeluarkan. Pintu pagar ditutup semula. Enjin dihidupkan. 

Dia hanya berdiam duduk di atas motosikal dalam seminit dua. Baca doa naik kenderaan dan doa mohon keselamatan agar diri sentiasa dilindungi di dalam perjalanan. Insya-Allah... 

Seketika, dia menyangkut kaca mata hitam di kolar leher bulatnya. Visor helmet pula diturunkan menutupi seluruh muka. Kemudian, minyak dipulas dan menderum bunyi enjin motosikalnya meninggalkan kawasan perumahan. Hilang dalam lebat hujan. Kini, pejabat menjadi destinasinya. Dia mempunyai misi yang mesti dilaksanakan. Amanah yang digalas untuk menyampaikan surat-surat syarikat ke tangan dan institusi yang terlibat. Ikhlas dia memulakan langkah untuk mendapat rezeki yang berkat. Kerja juga merupakan satu ibadah.

“ADUH! Tak ada mata, ke? Mata mamat ni letak kat lutut agaknya. Aku, sikit punya besar atas motor ni takkan tak nampak, kot? Tu... traffic light tengah merah, takkan tak nampak juga? Rabun ke, apa? Main sesuka hati sondol motor orang,” bebel Que sambil turun dari motosikalnya. 
Dia membongkok sedikit sambil berjalan dan matanya terus memeriksa bahagian belakang motosikal yang dilanggar oleh pemandu yang tidak sabar itu. Sudahlah dia sedang mengejar masa. Dimestikan tiba di pejabat dalam masa setengah jam. Ini, sudah hampir empat puluh lima minit, dia masih tersangkut di atas jalan raya. Hujan masih juga setia membasahi alam semesta. Kemalangan pula. Nasib baik tidak teruk. 

Que menolak visor helmetnya ke atas dengan hujung jari. Menaikkan sedikit, sekadar boleh melihat pemandu yang menyondol belakang motosikalnya dengan jelas. Tunak dia memandang pemandu kereta yang seperti tiada niat langsung mahu keluar dari keretanya. Asyik melirik pada jam tangannya.
 Ingat, dia seorang saja ke yang mengejar masa? Orang lain pun sama. Berganjak sedikit pun tidak dari tempatnya. Seorang lelaki muda. Muka, boleh tahanlah kacak juga. Itu kalau matanya tidak rabunlah. Lagipun, dia bukan menatap wajah lelaki itu dari jarak yang dekat. Opss! Apa hal puji dia pula? Kan mereka dalam insiden yang belum selesai lagi. Tidak wajar mahu memuji begitu. 
Bila terperasan yang Que memandang tajam padanya dan kemudian menunjuk pada plat motosikalnya yang patah dan mud guard yang sedikit sompek, dia hanya menjongketkan kening, menghantar pertanyaan. Masih juga kedua-dua tanganya kemas melekap pada stereng. 

“Aisey! Sengal ke apa, mamat ni? Tak sedar ke, yang dia dah sondol motor aku?” bebelnya perlahan. Menggumam sendirian. 

Que masih berdiri tegak, memandang tunak pada lelaki itu. Dalam keadaan hujan masih lebat dan jalan yang sesak. 

‘Hisy! Memang sengal tahap petala kelapan ini. Boleh pula dia buat endah tak endah. Ingat aku ni tiang elektrik ke?’ 

Mendengar hon kenderaan di belakang berbunyi panjang, Que terpaksa mengalah. Motosikalnya terletak di depan sekali. Tentunya menghalang kenderaan yang sudah bertali di belakang. Tambahan lagi, pemandu kereta yang ‘kerek’ itu memang langsung tidak mahu berkompromi. Buat dek saja. Mentang-mentanglah dia memandu kereta besar dan mahal. 

Dia, setakat motosikal cabuk itu saja yang ada. Tambah sakit hatinya, bila pemandu yang menyondol motosikalnya memberikan senyuman mengejek dan jelingan ‘manja’ ketika melintasinya yang masih terkial-kial cuba menghidupkan enjin motosikal. Sengal!

“Masa ni jugalah nak buat hal motor ni. Hujan wei! Tak kesian betul dengan aku. Saja nak sabotaj aku motor ni. Karang aku tukar motor baru, jadi besi buruk nanti,” bebelnya lagi. Melepas marah sebenarnya. Geram! 

Satu lagi, mak selalu ingatkan; sabar. Sabar itu sebahagian daripada iman. Sabar itu mengajar kita erti ketabahan. Biar jadi lembut hati. Ingat itu, Que! Dalam masa yang sama, sudah terbayang duit gajinya akan terbang melayang-layang. Tidak boleh jadi. Larilah bajet dia bulan ini. Lepas lagilah hendak sambar helmet ‘transformer’ yang menjadi idaman kalbunya beberapa bulan ini. Bajet tak cukup, beb!

0 comments:

Post a Comment