Rindu Jadi Saksi - Bab 8



IRFAN memerhati Shahira dari jauh. Dia duduk bersendirian di satu sudut. Adibah, sudah hilang bersama kelompok yang lain, bertemu rakan-rakannya. Seketika beberapa orang singgah dan menyapanya. Mereka berbual seketika. Sejak peristiwa tempoh hari, Shahira seakan menjauhkan diri darinya. Mereka bercakap pun hanya bila perlu. Itu pun, atas urusan kerja. Sungguh terseksa Irfan rasakan. Mana taknya, jika sebelum ini Shahira boleh diajak bergurau, kini semua itu tidak wujud. Shahira sudah jarang bercakap dengannya. Tapi, dia tidak salahkan gadis itu. Pastinya Shahira lebih berhati-hati selepas kes dia diserang Marina dulu.
Tadi pun, Shahira menolak untuk menemaninya. Puas dipujuk, puas dirayu barulah dia setuju. Itu pun bersyarat. Dia mahu Adibah ikut sama. Mahu tak mahu Irfan terpaksa bersetuju. Asalkan Shahira ada, sudah cukup buatnya. Adibah juga agak keberatan pada mulanya. Tapi, bila melihat kesungguhan Irfan, dia bersetuju juga. Irfan sampai sanggup memujuknya, minta agar dia turut sama. Serba sedikit diterangkan niat asalnya membawa Shahira ke majlis itu. Barulah Adibah faham duduk perkara yang sebenarnya. Mana mungkin dia menolak permintaan bosnya yang bekali-kali berkata, please!
                                                           ******
       
“HAI, Irfan! Lama tak jumpa... Business okey,” sapa seorang lelaki pada Irfan. Irfan  tersenyum.
“Okey, Datuk. Alhamdulillah,” jawab Irfan ringkas, masih dalam senyuman. Namun, matanya masih tidak lari dari memerhatikan Shahira. Dia tidak berminat dengan benda lain tika itu.
“Sampaikan salam I pada papa you. I dah lama tak jumpa dia,” orang yang dipanggil Datuk itu bersuara sebelum berlalu. Irfan hanya mengangguk. Mereka bersalaman sebelum berpisah.
            Tatkala dia menoleh semula pada Shahira, dia lihat gadis itu sedang berbual dengan seorang lelaki. Agak mesra. Shahira ketawa. Cerianya Shahira. Kalau dengan dia, ditanya sepuluh patah pun, jawabnya sepatah saja. Hatinya pedih melihat itu. Peritnya. ‘Kalau dengan aku, nak pandang pun susah, apa lagi nak senyum,’ luahnya dalam hati. Marah sangatkah, sampai begitu sekali dia menjauhkan diri.
“Amboi, kau Fan. Tak berkelip tenung Shahira tu,” sapa Zarith tiba-tiba. Zarith tersenyum penuh makna.
“Mana ada,” dia cuba berselindung. Malu pun ada saat itu. Tidak menyangka perbuatannya tadi ada yang memerhati. Nasib baiklah Zarith kawan baiknya. Kalau orang lain, entah apalah anggapan mereka.
“Kalau dah suka, terus terang ajelah. Buat apa pandang-pandang dari jauh. Dia kan staf engkau, lagi senang nak ‘ayat’. Lambat-lambat, melepas nanti. Padan muka kau.”
 “Kau ingat senang ke, Rith! Kan aku dah pernah cerita pada kau dulu, dia ni jinak-jinak merpati.”
“Yalah... Kau dekat dia lari. Lepas tu orang lain datang, sambar dia. Kau nampak sana tu? Si Zakuan tu, aku dengar dari dulu tak jemu-jemu nak pikat dia tau. Jangan nanti, kau gigit jari,” panjang lebar Zarith bersyarah.
Irfan menoleh ke arah Shahira kembali. Mereka masih rancak berbual. Tak semena-mena Irfan tersenyum memandang Zarith. Zarith mengangkat kening. Tidak dapat membaca apa yang Irfan fikirkan. Tak fahamlah perangai orang yang sedang asyik mabuk bercinta ni. Dia dulu pun bercinta juga, tapi taklah sampai teruk macam tu. Angau betul!
                                                           ******
DI dalam kereta, masing-masing menyepi. Masa menghantar Adibah tadi, ada juga terdengar suara Shahira berbual. Tapi dengan Adibah. Dia sekadar mendengar dan tumpang ketawa bila ada yang mencuit hatinya. Lepas menghantar Adibah, dia menyepi kembali. Bagai ada benteng yang amat tinggi memisahkan mereka. Padahal jarak antara keduanya bukanlah jauh mana. Duduk bersebelahan saja.
Sesekali Irfan menoleh ke arah Shahira di sebelahnya. Gadis itu melepaskan pandangan keluar. Melihat malam yang kelam sambil melayan perasaannya sendiri. ‘Susah benar untuk mendengar suaranya kebelakangan ini,’ rungut Irfan dalam hati. ‘Nantilah, bila aku dah dapat nanti, aku tak akan lepaskan,’ tambahnya lagi. Dia tersenyum sendirian, memasang angan-angan. Lama juga masing-masing diam menyepi. Ruang itu terus sepi untuk seketika.
“Kenapa you ni? Dah tak ada suara ke? Bercakap dengan I pun dah tak nak,” Irfan memulakan bicara. Rasanya sudah lama benar ruang yang terbatas itu dibiarkan sunyi. Takkan nak biarkan masa berlalu begitu saja. Dahlah nak dekat pun susah. Ni, dah ada peluang, takkan nak disia-siakan. Diperlahankan sedikit kelajuan keretanya.
“Shahira, I bercakap dengan you ni! Dengar tak? Ke you sengaja buat tak dengar,” ucapnya lagi, bila melihat Shahira masih membatukan diri. Namun nada suaranya masih lembut.
Lambat-lambat Shahira menoleh ke arahnya. Tajam. Kemudian dia menoleh keluar semula sebelum bersuara. “Adil bukan. You bos dan I hanya staf you. Kat situ sempadan kita. Lagipun tak ada benda yang penting sangat untuk kita cakapkan. I tak mahu jadi mangsa kemarahan girlfriend you lagi. Cukuplah...” Luah Shahira tenang. Sedikit pun tidak ditoleh ke arah Irfan.
“Apa ni! Eh, you ni dah salah anggap tau. Dia bukan girlfriend I. Kita orang tak ada apa-apa. Kawan aje. Dia yang lebih-lebih,” terang Irfan bersungguh-sungguh. Sebolehnya, dia tidak mahu Shahira salah faham tentang perhubungannya dengan Marina. Dia mesti meyakinkan Shahira tentang itu. Lagipun memang sudah kerap dia katakan benda yang sama, hanya Shahira masih sukar menerima.
“Senangnya Encik Irfan bercakap... Kalau betul macam tu, kenapa dia serang saya hari tu?” Sanggah Shahira geram. Biar Irfan tahu apa yang berbuku di hatinya selama ini. Siapa yang tak sakit hati kalau dituduh yang bukan-bukan. Lainlah kalau benar dia begitu. Satu hal lagi nak membersihkan namanya. Kesabaran pun kadangkala ada batasnya.
Kadang-kadang, dia rasa macam hendak betul-betul pikat Si Irfan tu. Biar padan muka Marina. Biar dia tahu siapa Shahira sebenarnya. Baru dia tahu langit itu tinggi ke, rendah. Tapi, bila difikirkan semula, apalah gunanya berbalas laku begitu. Tak ke mana. Hanya menambah dosa kerana menyakitkan hati orang lain. Kan tak baik macam tu.
                                                           ******
           
IRFAN memberhentikan keretanya tiba-tiba. Dia keluar dan menuju ke taman berdekatan. Limpahan cahaya neon yang beraneka warna memang menceriakan suasana malam hari yang tanpa cahaya bulan. Biarpun jam sudah menunjukkan angka 10.40 malam, suasana tetap terang. Tapi, itu semua tidak memberi apa-apa makna pada Shahira. Hatinya tidak secerah sinaran neon yang mewarnai gelap malam. Masih ada garis kelabu yang berlindung di sanubarinya.
Mahu tak mahu, Shahira terpaksa keluar juga mengikutnya. ‘Apa bendalah yang dia nak ni. Nanti kalau ada yang nampak, aku jugak yang susah,’ rungutnya dalam hati. Dia berdiri di belakang Irfan. Irfan masih lagi memandang jauh ke hadapan, merenung kosong tasik yang berhampiran. Kilauan cahaya neon yang terpancar dari dalam tasik itu sungguh cantik. Namun, masih tidak dapat meredakan gelodak yang Shahira rasa.
“Apa yang Encik Irfan nak sebenarnya?” Tanya Shahira lembut. Api takkanlah nak dilawan dengan api. Kalau terbakar, dia juga yang susah nanti. Biar Irfan dengan sikapnya yang begitu, Shahira akan cuba berlembut. Tidak mahu mengeruhkan suasana. Nanti makin berserabut jadinya.
“Youlah...” Balas Irfan sepatah tanpa berpaling kepadanya.
Shahira tergamam mendengar jawapan Irfan. Agak terperanjat sebenarnya.
“Hah?” Shahira bersuara seperti tidak percaya. ‘Aku, biar betul dia ni,’ bicara Shahira dalam hati.
“You! I nak you,” ulang Irfan sekali lagi.
Tak sangka itu yang keluar dari mulut Irfan. Dia mula gelisah mendengar itu. Hatinya berdebar-debar. Selama hari ini, tidak terlintas di fikirannya yang Irfan akan berkata begitu. Jauh sekali mengharapkan sesuatu yang indah bersama Irfan. Ya, memang dia akui kadangkala ada terselit perasaan suka pada lelaki itu. Tapi, tidaklah serius mana.
“You dah gila agaknya, Encik Irfan.”
Irfan berpaling kepadanya. Merenungnya lembut. Segaris senyum terbit dari bibirnya. “Betul. Memang betul! I memang gilakan you.”
Makin bingung Shahira dibuatnya. Dipandangnya Irfan dengan renungan tajam. Irfan ni dah melampau nampaknya. Cakap yang bukan-bukan. Dah mula merepek meraban pulak. Dahlah tempat itu sunyi. Meremang bulu roma Shahira. Naik seram sejuk pun ada.
“Dahlah... Hantar I balik,” pinta Shahira tiba-tiba. Bercelaru fikirannya. Lepas satu, satu masalah baru lagi muncul. Yang dulu belum selesai, ni dah ada yang menunggu.
Irfan cepat-cepat berdiri di hadapannya, menghalang dia dari terus melangkah.
“Apa ni! Tepilah!” Marah Shahira sedikit menjerit. Dia cuba mengelak dari dihalang oleh Irfan.
“Shahira tunggu...” Irfan menarik tangannya, membawa dia semakin hampir dengannya.
Shahira terkaku. Pantas ditarik tangannya semula. Dipandangnya Irfan. Tajam. Namun, Irfan cuma tersenyum kepadanya. Lembut sungguh pandangannya. Ya, Allah! Dugaan apakah ini? Dia kalah pada redup renungan lelaki itu. Cukup menggoda. Dia menjauhkan diri bila menyedari yang Irfan cuba menyentuh bahunya pula.
“Kenapa? You takut dengan I ke?” Dia berbisik.
Shahira mula tidak keruan jadinya. Dia menarik nafas panjang. Mencari kekuatan. Takut? Memang dia takut jika dia yang kalah dengan pujukan lelaki itu.
“I bukan nak buat apa pun, Shahira. I tak akan buat benda tak baik pada you. I cuma nak jawapan you, itu aje,” ucapnya lembut, memahami gelora hati Shahira mungkin.
Shahira menoleh ke arahnya. Dia masih tersenyum menggoda. Aduh! Manisnya... Kenapalah dalam saat-saat genting begini pun Irfan masih bersikap seromantis itu. Memang lelaki ini sengaja mahu menggoda nampak gayanya. Cepat-cepat dia melarikan pandangan. Tak sanggup rasanya menatap wajah itu lama-lama. Boleh cair imannya. Kalaulah Irfan tahu yang dia sedang berperang dengan perasaannya sendiri tika itu. Aduhai...
“Keadaan tak akan berubah.” Shahira bersuara setelah dirasakan ada kekuatan. Sebenarnya dia sendiri tidak tahu apa maksud kata-katanya. Itu saja yang terlintas di fikirannya. Bimbang jika tersilap kata, ada hati yang tergores pula. Lalu marah dan cuba melakukan ‘sesuatu’ padanya. Naik seram dia bila memikirkan kemungkinan itu. Tambahan pula, hanya mereka berdua saja berada di situ ketika itu. Tapi, takkanlah Irfan sanggup buat begitu? Dan persoalan itu berlalu tanpa ada jawapannya.
“Masa akan berubah,” sahut Irfan perlahan.
“Betul tapi bukan kita!” Balas Shahira pula.
Pandangan mereka bertaut.
“Kita tak tahu apa yang akan berlaku, Shahira. Kenapa susah sangat you nak terima I? You ada orang lain ke?” Ada getar di hujung suaranya.
“Bukan macam tu... Ini soal hati dan perasaan. I tak mahu ada hati yang terluka nanti. I perlu memikirkannya masak-masak. Itu cara yang terbaik, kan? You nak ke kalau I tak ikhlas atau terpaksa terima you? You nak ke habiskan masa sepanjang hayat dengan I tapi sebenarnya, hati I tak ada kat you. You suka ke kalau I ni cuma berpura-pura baik depan you sedangkan di belakang you I tak macam tu.”
Terlopong Irfan mendengar hujah-hujah Shahira. Padat dan bernas kata-kata yang keluar dari seorang gadis kampung sepertinya. Ya, ‘gadis kampung’ yang selalu dicemburui oleh Marina. Masuk juga di akalnya. Irfan mengangguk perlahan setelah agak lama terdiam. Menghormati pendirian gadis itu.
“Okey. I faham. You fikirlah dulu. I bukan nak paksa. I cuma nak you tahu apa perasaan I pada you. Sejujurnya, I memang sukakan you. I tak tipu. Rasa tak sabar nak tunggu sampai you bersedia berikan I jawapan. I tak akan paksa you, Shahira. I memang mengharapkan you terima I suatu hari nanti, tapi I nak jawapan yang ikhlas dari hati you. Bagi tahu I kalau you dah bersedia nanti, okey.”
‘Pandainya Irfan bermain kata-kata. Bukan setakat muka aje handsome tapi ayat pun power juga,’ bisik hatinya. Patutlah Marina pun cair dibuatnya. Shahira sekadar tersenyum hambar.
Irfan pasrah, namun dalam hati dipanjatkan segunung doa agar pintu hati Shahira terbuka untuk menerima kehadirannya. Biar saat itu nanti Shahira tahu yang dia memang tulus ingin mencurah kasihnya. Bukan sekadar suka-suka. Dan biar Shahira tahu, tiada gadis lain yang dia inginkan, selain darinya. Dia akan berusaha untuk memenangi hati gadis idamannya. Biar seribu rintangan menghalang, akan dia tempuhi selagi ada daya. Insya-Allah...

0 comments:

Post a Comment