Selagi Ada Rindu - Bab 8



KETIKA dia tiba di hadapan rumah, senyumnya sudah mekar. Rumah yang sudah hampir lima tahun dia tinggalkan. Rindunya dia pada rumah ini. Rindu juga dia pada bilik yang sudah lama ditinggalkan. Bilik yang menjadi saksi pada kisah kasihnya. Selepas membayar harga tambang teksi, dia terus masuk. Dia mengeluarkan segugusan anak kunci dan cuba membuka pintu utama. Senyum mekar lagi. Nasib baiklah anak kunci rumah yang masih dia simpan, boleh digunakan. Kalau tidak, satu hal juga nak kena kejutkan orang di dalam rumah.
Perlahan-lahan dia masuk. Selain tidak mahu mengejutkan sesiapa, keadaan yang gelap juga menyukarkan untuk dia melangkah. Lima tahun, bukan satu jangka masa yang pendek. Mana tahu jika umi sudah mengubah kedudukan perabot di rumah itu. Terlanggar pula meja atau pasu bunga umi yang mahal-mahal itu. Tak pasal-pasal semua orang terperanjat dan dia di anggap pencuri pula. Baru betul-betul kejutan namanya.
Dia terus melangkah sehinggalah sampai ke anak tangga. Diletakkan hand luggagenya di tepi tangga itu. Dengan berhati-hati dia mendaki anak tangga, menuju ke biliknya di tingkat atas. Akhirnya, dia sampai juga di depan pintu biliknya. Dia tersenyum lagi. Dia cuba memulas tombol pintu. Tidak berkunci. Dia mengangkat kening. Mungkin Mak Pah terlupa untuk menguncinya semula setelah membersihkan bilik tersebut agaknya. Airil menjungkit bahu.
Pantas saja dia masuk. Gelap. Serta merta mindanya teringatkan katil. Penat, jangan cakaplah. Duduk lama-lama di dalam flight tadi membuatkan dia merasa letih. Ditambah pula satu jam dalam teksi tadi. Memang letih badannya. Yang ada di dalam mindanya hanya mahu tidur dan merehatkan badan. Perkara-perkara lain, esok baru cerita. Sambil berjalan dia membuka jaketnya dan dilemparkan ke atas kerusi yang memang tersedia. Dan dia terus merebahkan diri ke katilnya. Berpusing ke kiri sambil memeluk bantal peluk yang sudah lama ditinggalkan. Hmm, memang best. Empuk dan lembut sekali bantal peluknya.
“Hey, apa ni?” jerit satu suara. Lantas cuba bangun meleraikan pelukannya yang kejap itu.
Airil terkesima. Suara perempuan. Di sebelahnya pula tu. Wah, ini rezeki namanya! Ingatkan bantal peluk tadi. Patutlah empuk semacam saja.
Lampu tidur terpasang. Jelas di depannya berdiri seorang perempuan.
‘Siapa pulak ni?’ soalnya dalam hati. Dia masih mengiring di katil. Mengecilkan sedikit matanya melawan silauan cahaya lampu tidur sambil cuba mengamati siapakah gadis di depannya ini. Dan bila mata mereka bertentangan, Airil terperanjat bukan kepalang.
Begitu juga dengan gadis itu. Berubah riak wajahnya bila melihat Airil di situ. Cepat-cepat dia mencapai selimut dan membaluti tubuhnya yang hanya berseluar pendek dan T-shirt tanpa lengan itu. Airil pula, terus bangun dan berdiri di sisi katil bila menyedari gadis itu sememangnya dia kenali. Seseorang yang memang dia rindui selama ini.
“Ma? What are you doing here, in my room?” tanyanya dalam keadaan terperanjat. Uzma terkedu. Tidak menyangka bahawa Airil yang memeluknya tadi.
“Airil, please leave this room. Just get out, please.” Uzma berkata lembut.
Memang itu bilik Airil. Jadi, dia tidak boleh berkasar dengannya. Sementelah, Airil tidak tahu apa-apa. Tidak wajar pula rasanya mahu marah-marah. Dah tu dia rasa tidak selesa pula. Memang perkara ini memalukan dirinya. Yalah, sebelum ini tiada sesiapa pernah melihat dia dalam ‘pakaian tidurnya’ yang eksklusif itu. Isy, memalukan betul! Tapi, benda dah jadi. Kenalah dia bertindak bijak. Bukan memburukkan lagi keadaan. Kalau Datuk Imran dan Datin Shafiza dengar, lagi teruk nanti. Lain pula jadi ceritanya pagi-pagi buta begini.
Kenapa pulak I kena keluar? Ini bilik I! Dan you, tolong jelaskan kenapa you berada dalam bilik ni?” Airil masih berdegil.
Uzma jadi buntu. Takkanlah dia yang nak keluar. Mana pulak dia nak tidur? Dengan pakaian macam tu pulak. Nak melintas depan Airil pun dia tidak sanggup. Apatah lagi mahu melangkah walaupun setapak. Tak akan. Airil pun satu. Dalam keadaan macam ni, tak gentleman langsung!
Tolonglah Airil. Tolonglah keluar sekarang. Esok kita cerita panjang-panjang okey. But at this moment, please leave,” katanya memohon simpati.
Airil merenung ke wajahnya. Bagai mencari kepastian. Agak lama. Kemudian tak semena-mena, Airil melangkah laju menuju ke arah almari pakaiannya. Pantas dibuka. Sekali lagi dia terperanjat kerana sebahagian almarinya sudah dipenuhi dengan pakaian perempuan. Pakaian Uzma tentunya. Dia berpaling pada Uzma dan dengan muka yang penuh tanda tanya dia menudingkan jari telunjuknya ke arah dalam almari. Uzma langsung hilang kata-kata. Tak tahu bagaimana harus dia katakan. Airil mahukan penjelasan.
“Apa semua ni? Ma duduk sini ke? Hei! Apa yang dah berlaku sebenarnya? Cakaplah sesuatu Ma. Apa semua ni!” desaknya terus. Tapi, nada suaranya masih terkawal. Mungkin dia juga tidak mahu membangunkan penghuni lain di dalam rumah itu.
“Airil, tolong keluar. Kalau you nak tahu pasal semuanya, esok papa dan umi akan terangkan. I merayu, tolonglah keluar. You tidur kat ruang tamu malam ni, okey. Hanya malam ni aje. Esok, you akan dapat balik bilik you ni. I janji.” Uzma masih meraih simpatinya.
Ketika itu dia sudah terduduk di sudut bilik. Kalau Airil terus berada di dalam bilik itu, pasti perkara lain yang terjadi. Dia akan tetap mendesak untuk sebuah jawapan yang dia inginkan. Itu tidak boleh berlaku sekarang. Dan Airil pula, terus merenungnya tajam. Keadaan jadi sunyi. Agak lama.
“Okey, I keluar tapi I masih mahukan penjelasan tentang semua ini. Bukan dari papa dan umi aje, tapi dari you juga.
Dia sudah melangkah menuju ke pintu. Uzma juga sudah mula bangun. Selimut masih membaluti tubuhnya. Dia menuruti langkah Airil dengan niat mahu mengunci pintu selepas Airil keluar nanti. Aduh! Memang silapnya juga. Terlupa untuk mengunci pintu seperti kebiasaannya. Tapi, kalau di fikirkan secara logiknya, bilik itu tetap bilik Airil. Jadi, kalau dia menguncinya pun Airil tetap boleh masuk. Kan dia ada menyimpan anak kuncinya juga. Ah! Tak payahlah fikir perkara itu sekarang. Tengah bengang gila ni. 
Tiba-tiba Airil berhenti dari melangkah dan berpaling ke arahnya ketika mereka sudah hampir dengan pintu. Apa lagi, Uzma terus melanggar tubuh lelaki itu. Pantas saja tangan sasa itu memaut tubuhnya kerana Uzma tidak dapat mengimbangi badan akibat terpijak hujung selimut yang membaluti tubuhnya. Serta merta selimut itu melorot ke hujung kaki. Sekali lagi mata mereka bertentangan. Agak lama mereka begitu. Berbicara melalui bahasa mata dan kedua-duanya seakan selesa begitu. Tanpa suara. Tanpa kata-kata. Pabila mata bertentang mata, bibir kelu menuturkan kata namun hati saling bicara. Seketika mereka hanyut dalam gelora perasaan masing-masing.
Dengan perlahan-lahan Airil mendekatkan wajahnya pada wajah Uzma. Rapat sehingga desas nafasnya dapat didengari dengan jelas. Hampir saja dia mengucup bibir gadis itu ketika Uzma menolak tubuh Airil sekuat hati. Barulah Airil kembali ke alam nyata.
Maafkan I, Ma. I tak sengaja.” Ada keluhan di hujung suaranya. Mungkin menggambarkan sesalan atas keterlanjuran perilakunya sebentar tadi. Hampir saja dia membawa budaya ‘mat salih’ ke dalam dunia mereka. Perasaannya tersasar bila sudah melihat Uzma sebenarnya. Dia jadi lupa pada segalanya. Kemudian dia menyambung, “I tell you what, you looked damn sexy with that... emm... night wear, emm... pijama, sleeping wear, whatever you call it. Tapi, yang buat I tak boleh lupa bila I terpeluk you tadi. Ingatkan bantal peluk I. Memang best! Kalaulah I tahu yang itu adalah you, sumpah I tak akan lepaskan you tadi.” Katanya seraya melangkah keluar. Berbaur usikan nakal. Ada senyum menguntum dari sepasang bibir milik lelaki itu.
Bulat mata Uzma mendengar apa yang dikatakan oleh Airil itu. Dia dapat menangkap senyuman yang meleret di bibir Airil sebelum lelaki itu berpaling. Uzma terkedu sekali lagi. Lelaki ini memang sengaja mahu mengenakannya. Isy, malunya! Malu kerana hak privacy yang selama ini tiada sesiapa tahu, akhirnya terkantoi dengan kekasihnya sendiri. Eii, mana nak letak muka! Rasa macam dah tebal sepuluh inci ni.
Kekasih? Masih layakkah dia menganggap Airil sebagai kekasihnya? Sedangkan selama ini, dia sendiri yang minta perhubungan mereka diakhiri. Tapi, itu hanya di bibir. Sedang dalam hatinya, Airil tetap lelaki yang teristimewa. Memang dia sedikit menjauh diri. Tapi Airil, masih tanpa jemu mengejarnya. Makin ditegah, makin kerap dia menghantar e-mel. Baginya, selagi alasan yang Uzma berikan tidak kukuh, dia tidak akan melepaskan Uzma begitu saja. Sungguh berkeyakinan lelaki ini. Uzma tersenyum juga akhirnya.

**********

KEESOKAN harinya, dia bangun awal. Walaupun matanya terasa kelat, dia gagahi juga. Dia bercadang mahu keluar awal juga ke pejabat. Tidak mahu terserempak dengan Airil. Pada perkiraannya, Airil masih tidur lagi. Lantas, cepat-cepat dia menuruni anak tangga. Pantas tapi tetap berhati-hati. Ketika itu jam baru menunjukkan puluk 6.40 pagi. Matahari pun masih malu-malu untuk menunjukkan diri. Selalunya, pukul 8.00 pagi baru dia turun.
Dia menarik nafas dalam-dalam ketika tiba di anak tangga terakhir. Melirik ke arah sofa di mana Airil sedang berbaring. Tempat itu jugalah yang akan menjadi laluannya sekarang ini. Aduh! Payahnya. Dia teragak-agak mahu melangkah. Mahu ikut pintu belakang kah atau lalu saja di situ? Sekejap pandangannya terarah ke dapur. Sekejap pula dia memandang ke arah ruang tamu itu. Kakinya seakan terpaku. Isy! Kalau lalu pintu belakang, dah macam orang bersalah pula. Dia bukan buat apa-apa kesalahan pun.
Nafas dihela, dalam. Dengan berhati-hati dia melangkah perlahan. Tidak mahu mengejutkan Airil yang masih lena. Kalau boleh, memang dia tidak mahu Airil sedar yang dia mahu keluar ketika itu. Dalam hati dia berdoa agar Airil terus dibuai mimpi. Biarlah dia selamat keluar dahulu, lepas tu kalau Airil nak bangun ke, nak apa ke, suka hatilah. Janji dia selamat keluar terlebih dahulu. Dia tersenyum ketika sudah melintasi sofa tempat Airil berbaring. Mengurut dada tanda lega. Selamat.
“You nak pergi mana?” Satu suara menegurnya.
Uzma tersentap. Langkahnya mati tiba-tiba. Hampir terlepas beg yang dijinjingnya. Dia menelan air liur yang terasa pahit. Serasakan seperti ada seketul batu jatuh betul-betul di atas kepalanya. Itulah, niat kalau tak baik, tentu Allah tak makbulkan. Dia berpaling. Airil sudah berdiri di belakangnya sambil tersenyum. Lambat-lambat dia membalas sambil menunjukkan briefcase dan beg laptopnya. Airil mengangguk tanda mengerti.
Ofis?” tanyanya lagi sekadar ingin mengesahkan apa yang ada di dalam fikirannya.
Uzma hanya mengangguk. 
Masih awal lagi, Uzma. Jom, breakfast dengan I. Mak Pah buat roti jala pagi ni.” sambungnya lagi.
I rasa tak bolehlah, Ril. I really need to rush out for something urgent this morning.” Dia menarik nafas, dalam sebelum menyambung. “Ingatkan you belum bangun. Masih awal lagi. Kan penat lama dalam flight semalam.” Dia cuba berdalih dan mengubah tajuk perbualan agar lebih santai. Aduh! Kenapalah Airil bangun awal pula. Kacau daun betullah!
“Hmm, memang penat pun. Tapi, lepas subuh tadi tak boleh nak lelap semula. Tu yang baring aje kat sofa,” ujarnya tenang.
Uzma mengangguk. Yalah! Macam mana dia boleh tak perasan. Airil sudah menukar pakaiannya. Hanya berseluar khaki warna krim dan T-shirt pagoda. Bukan jean dan T-shirt Guess yang dipakainya semalam. Tu lah, kalau dah kalut semacam, semua benda tak perasan. Padan muka dia!
Seketika mereka terdengar suara Datuk Imran dan Datin Shafiza berbual sambil menuruni tangga. Uzma bertambah kalut. Aduh! Payahlah macam ni. Dia sudah dapat menjangkakan sesuatu yang tidak diingini bakal berlaku pagi itu. Hendak lari, kakinya rasa terpaku. Hendak naik semula ke tingkat atas, tidak manis pula rasanya. Hendak menyorok, isy macam budak-budak pula lagaknya! Sudah tidak sempat untuk mengelak. Akhirnya dia hanya berdiri menunggu Datuk Imran dan Datin Shafiza sampai ke bawah. Dia hanya pasrah. Sudah terlayang di depan matanya bahawa satu malapetaka akan berlaku sebentar lagi. Dia memejamkan mata buat seketika, mencari kekuatan untuk menghadapi detik itu.
Airil sudah berlalu mendapatkan kedua orang tuanya. Datuk Imran dan Datin Shafiza terpempan. Walaupun agak terperanjat dengan kepulangan Airil yang tidak di duga, mereka gembira sebenarnya. Sekurang-kurangnya Airil masih mahu pulang ke rumah itu semula. Mereka bersalaman dan berdakapan mesra. Maklumlah sudah agak lama tidak berjumpa. Lima tahun dia di luar negara, hanya sekali dia balik bercuti. Itu pun pada peringkat awal sahaja. Selebihnya dia menghabiskan cutinya dengan melawati tempat-tempat menarik di sana. Dan sebab yang paling utama kenapa dia jarang mahu balik bercuti adalah kerana Uzma. Dia kecewa bila Uzma mahu perhubungan mereka hanya berlandaskan persahabatan. Dia tidak boleh terima.
“Uzma, cepatnya nak pergi ofis. Jom, sarapan sekali. Selalu tu kalau tak pukul 8.00, tak turun lagi.” Kata-kata Datin Shafiza sekali lagi membuatkan dirinya bagai dihempap sebongkah batu yang besar. Aduh, mak! Pecahlah rahsianya. Datin Shafiza ni pun macam tak pandai nak cover line. Panas wajah Uzma menahan malu. Mesti Airil dapat mengagak kenapa dia mahu keluar awal hari itu.
Airil melirik ke arahnya. Dia terpaksa memberikan senyuman semanis madu walaupun dia tahu senyuman yang terbit itu tidak semanis selalu. Senyuman terpaksa untuk menutupi kekalutan dirinya saat itu.
”Ma ada meeting pukul 9.00 nanti. Semalam tak sempat nak sediakan dokumen yang berkaitan. Tu yang nak cepat ni.” Dia beralasan lagi.
“Tak apa. Nanti papa call Maira suruh dia tolong Ma. Kita sarapan dulu. Come.” Datuk Imran mencelah, menggamitnya ke ruang makan.
Uzma tersenyum pahit. Datuk Imran dan Datin Shafiza mendahului. Airil pula tenang menantinya di ruangan tengah. Wajahnya cukup ceria. Berseri-seri memandang Uzma yang masih tegak berdiri. ‘Alamak! Nak buat macam mana ni?,’ hatinya menggumam. Dalam keadaan terpaksa, hendak tak hendak digagahi juga kakinya melangkah menyaingi mereka ke meja makan.

0 comments:

Post a Comment