Rindu Jadi Saksi - Bab 7



HUJAN masih lebat. Shahira memerhati titis airnya yang turun dari pancuran. Memercik di sekitar tempayan hingga ke dinding rumahnya. Seronoknya jadi air hujan. Jatuh di mana ia turun dan mengalir membawa haluan tanpa perlu diaturkan. Pergi ke mana saja ia suka. Kalau di laut, bercampurlah ia dengan air yang sedia ada. Kalau di tanah, meresaplah ia ke bumi. Begitulah jalan hidupnya. Tidak susah. Sesekali dia perhatikan beberapa pokok rambutan dan manggis di hadapan rumah yang basah. Daun-daunnya bergoyang ditimpa titisan hujan. Berlumba-lumba air yang jatuh di daun menitis laju, lalu jatuh ke tanah pula.
            Tengah hari itu, setelah hujan berhenti, Shahira turun membantu ibunya memetik sayur di belakang rumah mereka. Adalah kebun kecil yang ayahnya usahakan untuk mereka anak beranak. Tanam sayur dan buah-buahan sedikit. Kalau setakat kacang panjang, bendi, timun, kangkung, sawi dan beberapa jenis ulam-ulaman, mereka sekeluarga tidak perlu membelinya. Begitu juga dengan ikan patin, keli, puyu dan jelawat, sauk saja di belakang rumah, dah boleh dibuat lauk.
Segar-segar lagi. Memang puas dia sekeluarga makan ikan darat. Walaupun kolam ikan ayahnya tidak besar mana, tapi masih cukup untuk menampung keperluan keluarganya dan juga permintaan jiran tetangga. Itulah untungnya tinggal di kampung, nak berkebun masih ada tanah. Kalau duduk di taman perumahan, susah sikit. Kawasan tak ada. Kalau nak tanam sepohon dua pokok buah-buahan bolehlah. Itu pun hanya setakat pokok pelam atau kedondong. Takkanlah nak tanam pokok durian dalam taman perumahan pula. Tak pasal-pasal bocor bumbung kalau kena musim durian gugur.
“Lama ke kau balik ni, Ira?” Tanya Mak Milah, ibunya. Tangannya masih laju memetik kacang panjang. Ada dua, tiga orang jiran menempah, katanya.
“Lusa Ira balik dah mak.” Pendek Shahira menjawab. Dia juga rancak membantu ibunya. Kerja yang sesekali dia buat tapi masih pantas ketika melakukannya.
“Kau tu kalau balik tak pernahnya lama. Johan tu pun dah tau kompelin sekarang ni,” bebel Mak Milah lagi.
“Ya ke mak? Tak tau pulak Ira...”
“Kau tu janganlah lupakan dia pulak. Kesian mak tengok dia. Tiap minggu tanya kau balik tak.”
“Yalah mak... Ira pun sayangkan dia. Cuma, dua tiga bulan ni Ira sibuk sikitlah mak. Banyak sangat kerja.”
“Kau tu fikir-fikirkanlah pasal masa depan kau, Ira. Dah sesuai sangat kau berkeluarga. Kerja pun mak tengok elok aje. Apa lagi yang kau nak tunggu. Makin hari bukan makin muda,” Mak Milah mula berbicara soal sesuatu yang Shahira tidak gemar sebenarnya. Bukan pertama kali, malah setiap kali Shahira balik, ibunya pasti menyuarakan perkara yang sama. Mungkin ibunya bimbang kalau lambat-lambat nanti anak daranya akan dilabel sebagai anak dara tua. Lagipun, usia Shahira sudah menjangkau dua puluh enam tahun. Mana ada ibu yang tak risau ‘simpan’ anak dara lama-lama.
“Mak... Kan Ira dah cakap, jangan ungkit-ungkit lagi pasal hal ni. Sampai jodoh nanti, adalah. Ira belum terfikir soal tu lagilah mak. Calon pun belum ada lagi.” jawabnya malas. Mak Milah memandangnya sekilas.
“Mak tahu... Nanti orang kampung cakap apa pulak kau tu tak kahwin-kahwin. Duduk jauh pulak dengan mak bapak,” ujar ibunya, meluah kerisauan.
Naluri orang tua kadang-kadang kena layan juga. Takut mereka cepat terasa pula. Mak Milah mengeluh sebelum meneruskan kerjanya. Zaman dia dulu, kalau anak dara seusia Shahira, dah berderet-deret anaknya. Budak sekarang, umur dah masuk 30 pun masih tak nak kahwin. Dia menggelengkan kepala. Entah apa yang mereka kejarkan agaknya?
“Mak, biarlah apa orang nak kata. Janji kita tahu apa yang kita buat. Mak janganlah fikir sangat apa yang dia orang cakap tu. Ira ni kan anak mak. Takkan mak tak percaya, kot. Nanti sampai jodoh Ira, Ira bagi tahu maklah,” pujuk Shahira lembut, memahami kerisauan ibunya. Dipeluk ibunya seerat mungkin. Mak Milah sekadar mengangguk.
Tak semena-mena ingatannya singgah pada Irfan. Bagaimana agaknya Irfan saat ini. Sihatkah dia? Kadangkala dia rasa ingin selalu berada dekat dengan lelaki itu. Adakala juga dia ingin selalu mendapat perhatian dari lelaki itu. Dia cuba menepis mainan perasaannya, namun makin segar pula di ingatan. Shahira merenung jauh seketika. Sukakah dia pada Irfan, sebenarnya?
      Sejak Irfan hadir, dia rasa dunianya tidak sesepi dahulu. Walaupun tidak secara langsung dia merasakannya, tapi perasaan itu tetap ada. Dia senang dengan kehadiran lelaki itu di setiap ruang hidupnya. Adakah ini tandanya dia sudah mula menerima kehadiran seorang lelaki dalam erti kata yang sebenar? Seperti yang ibunya sering harap-harapkan. Cepat-cepat ditolak perasaan itu ke tepi. Namun hanya seketika kerana bayangan lelaki itu sering pula terlayang di depan mata. Dia tersenyum penuh makna.

0 comments:

Post a Comment