Rindu Jadi Saksi - Bab 6



“AKU tak mahu kau rapat dengan Irfan. Kau faham!!! Kalau aku dapat tahu lagi pasal ni, kau kena nanti!” Marah Marina geram. Shahira hanya tunduk menahan rasa. Malu dengan teman sepejabat yang menyaksikan kejadian itu.
“Hei, perempuan! Kau dengar tak?” Bentak Marina lagi sambil menunjal bahu Shahira, kasar. Shahira rasa tercabar dengan perlakuan Marina itu. Kalau tidak memikirkan mereka di pejabat, depan teman sekerjanya mungkin dia juga membalas. Nasib baiklah dia masih mampu bersabar. Kekerasan kadang-kadang tak perlu dibalas dengan kekerasan juga. Biarlah dia beralah sedikit.
“Cik Marina tak payah nak ugut-ugut saya macam ni lah. Apa yang Cik Marina takutkan sangat pasal saya dengan Encik Irfan tu? Dah tak yakin ke yang dia sukakan you lagi,” Shahira membalas perlahan. Namun, pedas kata-katanya. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu keadaan bertambah tegang. Bertambah rumit dibuatnya. Adibah di sebelahnya, mengetap bibir menahan geram. Kalau ikutkan hati mahu saja dia kerjakan Si Marina tu. Nasib baiklah Shahira menghalang.
“Amboi, bukan main lagi kau menjawab ya! Kalau tak kerana engkau selalu dengan dia, dia takkan berubah hati. Kau saja ambik kesempatan nak goda dia, kan? Sebab tulah selalu sangat kau ikut dia,” marah Marina lagi. Suaranya sudah tidak dapat dikawal. Semua yang ada, memandang mereka.
“Cik Marina, saya tak pernah nak goda Encik Irfan. Tapi, tak tahulah kalau Cik Marina yang tak pandai nak jaga dia. Sampai senang sangat dia berubah hati,” sindir Shahira tajam. Saat itu dia memang tidak dapat membendung rasa marahnya dengan sikap Marina yang sombong itu.
            Marina yang sememangnya sedang marah, terus menolak Shahira. Dia terdorong ke belakang dan kepalanya terhantuk pada bucu meja Adibah. Perit dirasakannya. Dia meraba dahinya. Darah pekat mengalir. Adibah yang terperanjat melihat tindakan Marina, terus mendapatkan Shahira yang berdarah dahinya.

******

HEI, apa hal ni? Kenapa bising-bising ni? Marina apa you buat kat sini?” Lantang saja  suaranya. Matanya meliar ke sekeliling, ingin tahu apa yang terjadi.
Entah bila masa Irfan muncul, semua tidak sedar. Tahu-tahu saja sudah berdiri di belakang mereka. Menyedari kehadiran Irfan, semua yang berkumpul, balik ke tempat masing- masing. Takut mereka pula yang kena marah nanti. Irfan memandang Marina dan Shahira silih berganti, minta penjelasan. Matanya tertancap pada luka di dahi Shahira. Marina mendengus kasar. Masam mencuka wajahnya. Sedang Shahira yang masih terduduk, menahan perit luka di dahinya. Penangan Marinalah ni!
“Adibah, ada apa ni?” Irfan beralih kepada Adibah pula bila Marina dan Shahira hanya membatukan diri.
“Encik Irfan tanyalah Cik Marina tu. Dia yang buat hal. Tak pasal-pasal serang orang,” balas Adibah geram. Marina menjeling tajam padanya. Irfan berpaling pada Marina.
Apa kena dengan you ni, Rina? You tak malu ke semua staf I tengok. Ni ofis tau, bukan tempat bergaduh. Macam budak-budak!” Irfan bersuara keras. Jelas sekali dia tidak suka perkara itu berlaku. Memalukan.
“Buat apa you tanya I. Tanyalah diri you sendiri. Apa yang tak kena dengan diri you tu!” Balas Marina kasar. Dia mencapai handbagnya dan terus berlalu pergi. Sempat lagi dia menjeling ke arah Shahira dan Adibah.
Irfan menahan geram. Sambil bercekak pinggang dia memerhatikan Marina yang pergi dengan kemarahan yang belum reda. Dia menggelengkan kepala dan tunduk seketika sebelum mengalihkan pandangan kepada Shahira dan Adibah. Ketika itu, Shahira sudah pun duduk di tempatnya semula. Adibah sedang membantu dia membersihkan luka di dahinya.
Sebentar tadi, tumpuannya kepada Shahira hilang sebentar kerana marahkan Marina. Shahira yang perasan dirinya diperhatikan, hanya menjeling dari ekor mata sahaja. Dapat dia lihat dengan jelas yang Irfan memandangnya tulus, penuh rasa bersalah. Lembut sekali. Riak wajahnya yang sedikit kusut, menceritakan segalanya. Dia tunduk kembali. Dia malu sebenarnya bila Irfan tunak merenungnya.
Maaf, Shahira. I tak sangka Marina sanggup buat sampai macam ni sekali,” ucapnya perlahan.
Shahira hanya tersenyum tawar dan memandang sekilas padanya. ‘Senangnya minta maaf. Pasal dia kita yang dapat susah, sampai luka dahi ni,’ rungutnya dalam hati. Sebenarnya, bukanlah dia marahkan Irfan. Tidak. Cuma, dia perlu lepaskan kemarahannya juga, walaupun hanya dalam hati. Kurang sedikit bebanan fikirannya nanti.
“Nanti, dah cuci luka tu, masuk bilik I okey,” pintanya perlahan, terus berlalu ke biliknya. Langkahnya lemah tidak segagah selalu.
Shahira mengerutkan kening, tertanya-tanya sendiri apa mahunya lelaki itu.
******
SHAHIRA diam. Irfan juga begitu. Lima belas minit telah berlalu tapi keadaan masih sepi. Masing-masing membisu. Kerap benar Irfan merenungnya. Dia jadi serba salah. Sesekali Irfan meraup wajahnya dan mengeluh. Berat. Entah apalah yang berlegar di fikirannya. Shahira sendiri tidak tahu apa yang perlu dicakapkan. Sejak peristiwa sebentar tadi, dia rasa malu benar hendak berdepan dengan Irfan. Walaupun bukan salahnya, tapi dia tetap rasa begitu. Apatah lagi semua staf di situ menyaksikan ‘drama sebabak’ tadi. Sedikit sebanyak reputasinya jatuh dengan kejadian tadi.
“Hah!” Jeritnya terperanjat bila terasa luka di dahinya disentuh. Cepat-cepat dia menepis tangan Irfan. Terbang semua lamunannya. Entah bila Irfan duduk di hadapannya, dia tidak sedar. Itulah, asyik mengelamun saja. Sampaikan Irfan sudah duduk betul-betul di hadapannya pun dia tidak sedar. ‘Bahaya betullah! Nanti kalau dia buat apa-apa pun tak perasan,’ hatinya berbisik. Mula memikirkan yang bukan-bukan. Mata mereka bertembung. Shahira serba salah melihat Irfan yang masih merenungnya. Kadang-kadang, renungan Irfan itu bisa membuatkan jantungnya berdegup kencang. Itu yang dia tidak sanggup.
“Apa Encik Irfan ni,” dia bersuara tidak puas hati. ‘Dahlah suka-suka nak sentuh luka orang. Ini, pandang orang sampai tak berkelip mata,’ bebel Shahira dalam hati. Dia kurang selesa dengan sikap Irfan itu. Apatah lagi mereka berdua saja yang tinggal ketika itu. Bila mengenangkan peristiwa tadi, dia jadi takut pula kalau dituduh yang bukan-bukan lagi. Tambahan pula dengan sikap Irfan yang tiba-tiba berubah terhadapnya. Seperti mahu menguasai dirinya dan terlalu mengambil berat terhadap apa yang berlaku. Seolah-olah dia memang punya ‘hak’ untuk lakukan semua itu. Dan dia mula takut bila perasaannya sedikit demi sedikit mula memihak pada lelaki itu.
“Maafkan I atas apa yang berlaku tadi,” ujarnya perlahan.
Shahira mengangkat muka, menentang pandangan Irfan. Pandangan mereka bertaut lagi. Hatinya berdebar-debar. Debaran yang tiba-tiba datang tanpa dipaksa itu menggusarkannya. Memang Irfan begitu hampir dengan dirinya, sehingga desas nafasnya pun Shahira dapat rasa. Bau harum wangiannya segera menusuk ke hidung Shahira. Walaupun senang, hatinya walang. Belum pernah sekalipun selama ini, mereka duduk sebegitu hampir. Shahira tunduk kembali. Bimbang dirinya yang tidak mampu menghadapi keadaan itu. Jiwanya resah.
Tak apalah Encik Irfan. Tadi kan dah minta maaf. I dah maafkan. Bukan salah you pun,” balasnya setelah agak lama terdiam.
“Tapi, puncanya I, kan? I tak sangka jadi macam ni, sampai you luka-luka. Dia tak sepatutnya buat macam ni kat you,” Irfan bersuara datar, meluahkan kekesalannya.
I tak apa-apa. Luka sikit aje. You tu sepatutnya terangkan pada dia yang kita ni tak ada apa-apa. Bukan biarkan dia terus berteka-teki. I percaya kalau you terangkan hal sebenarnya, semua ni tak akan berlaku.” Luah Shahira pula. Lembut tetapi dalam maksudnya.
Irfan menghela nafas. Dalam. Dia kagum dengan sikap Shahira. Sedikit pun tidak ambil hati. Tapi, luka di hatinya tak siapa yang tahu.
“Tak ada apa-apa yang I perlu terangkan pada dia. Semuanya dah jelas. Dia yang tak boleh terima kenyataan...” Kata-katanya mati di situ. Dia memandang Shahira redup. Mungkin  cuba meraih secebis pengertian.
                                                           ******
           
MEMANG dia akui, mereka rapat. Dia sayangkan Marina. Tapi, itu sekadar rasa sayang pada seorang teman. Tak lebih dari itu. Sudah bertahun-tahun dia mengenali Marina, sejak mereka sama-sama belajar di luar negara lagi. Dari benua Amerika sampai balik ke Malaysia, dia cuba juga untuk memberi ruang pada Marina, tapi dia tidak mampu. Dia tak mampu terbitkan rasa cinta sedangkan pada masa yang sama kasihnya telah berputik pada gadis lain. Gadis yang baru enam bulan dikenalinya. Kalau itu boleh dikatakan cinta pandang pertama, yalah agaknya. Yang nyata, kian hari, kasihnya kian mekar buat gadis itu dan gadis itu tidak tahu... Betapa seksanya dia memendam rasa.
            “Kalau susah sangat, Encik Irfan tukarkan saya kat bahagian lainlah,” usul Shahira tiba-tiba.
Berubah wajah Irfan mendengarnya. Pantas dia menoleh ke arah gadis itu.
“You cakap apa ni! Tidak! I tak akan buat macam tu, okey. You tahu I tengah marah,  lagi nak naikkan darah I ya? Boleh tak jangan buat I tambah bengang,”  balas Irfan keras.
Tersentak Shahira dibuatnya. Berubah benar air muka Irfan kala itu. Shahira menekur dan hanya mendiamkan diri bila menyedari yang Irfan seperti tidak suka dengan cadangannya tadi. Nampak marah sangat. Dia pun tidak bermaksud apa-apa sebenarnya. Sekadar satu usul darinya. Takkan itu pun nak marah?
“Encik... Irfan marah... Saya, ke?” Dia bertanya tersekat-sekat. Kecut juga perutnya bila tiba-tiba Irfan berubah watak. Selalunya dia tenang saja. Tapi, sesekali marah, kalah harimau jantan. Isy! Takut.
“Yalah. Nak marah siapa lagi. You aje ada depan I sekarang ni, kan? Dah tu nak cari pasal dengan I pulak!” Makin kecut perut Shahira bila suara garau Irfan mula meninggi.
“Maaf...” Ucapnya perlahan seperti berkata pada diri sendiri.
Namun Irfan masih dapat mendengarnya dengan jelas. Dia tersenyum tiba-tiba. Sedang Shahira, menunduk tidak berani mengangkat muka. Takut! Matanya mula berkaca. Bila-bila masa saja manik-manik jernih itu akan melepasi empangan matanya. Sedihnya dia rasa saat itu. Sebelum ini, tidak pernah dia rasa sebegitu, apatah lagi bila berhadapan dengan majikannya. Tapi, entah kenapa hari ini, dia jadi lemah dan mudah terasa pula. Jadi sensitif tiba-tiba. Sukakah dia pada Irfan? Kasihnya sedang berputikkah? Sampaikan setiap baris kata-kata yang keluar dari bibir lelaki itu bisa menggoncang rasa di hatinya. Biasanya dia tidak kisah sangat kalau kena marah. Hai! Dah kenapa pulak hatinya tiba-tiba mudah terasa?
Irfan jadi serba salah. Kesian pula dia melihat Shahira begitu. Niatnya cuma mahu bergurau. Dahlah tadi Shahira dimarahi oleh Marina. Ini, dia pula yang ambil alih. Sebenarnya bukanlah dia berniat begitu. Tapi bila Shahira menimbulkan isu berpindah department, dia jadi geram. Lain yang diharapkan, lain pula jadinya. Manalah dia tak geram!
“Shahira...” Panggil Irfan lembut.
Shahira masih berdiam. Air matanya sudah gugur sebenarnya. Panggilan Irfan itu dibiarkan saja. Sangkanya Irfan masih mahu memarahi dirinya. Biarlah kalau Irfan nak marah. Marahlah! Dia sudah tidak kisah. Kalau susah sangat, sekejap lagi dia ambil borang berhenti kerja. Habis cerita.
“Shahira...” Serunya sekali lagi. Lebih lembut dari tadi.
Shahira mengerutkan dahi. Macam tak percaya, bila dia mengangkat muka, lelaki itu sedang tersenyum manis memandangnya. Dia jadi malu tiba-tiba. Cepat-cepat diseka sisa air mata yang ada. Malunya, Irfan lihat dia menangis. Mesti dia menyangka yang dirinya terlalu manja. Tak boleh kena tegur sikit, dah menangis. Tak boleh salah cakap, dah tarik muka.
“Janganlah nangis. I tak marah you. Gurau aje,” itu pengakuannya. Senyumnya masih bersisa.
Geramnya Shahira rasa masa tu. Rasa macam mahu ditendang kaki lelaki itu. Tak pun, ditolak Irfan yang sedang duduk di bucu mejanya. Biar dia jatuh terlentang. Baru padan muka dia! Isy! Geramnya.
“Eh! Teruknya you ni. I dah ingat nak berhenti kerja, tahu tak!” Ucap Shahira geram. Sedang Irfan sudah pecah tawanya.
“Eleh, macam budak-budak. Tegur sikit dah nangis,” Irfan mengusik.
“Habis tu you tengking I tadi. You ingat I tak ada perasaan ke? I tak ada buat salah pun dengan you. Tiba-tiba aje naik angin. Benganglah.”
“Alah... I cakap kuat sikit pun nak merajuk. Lupa ke, kita tinggal berdua aje kat sini. Ada pun pak cik guard, kat luar tu. Bukan dia dengar pun. Jangan berhenti okey. Nanti I rindu kat you, lagi susah.”
“Benci tau!”
“Jangan Shahira. Nanti benci tu bertukar jadi sayang pulak. You yang susah nanti. Malam-malam kena cari I.”
“Isy! Mengarut aje you ni!”
“Apa pulak mengarutnya. Tak percaya, tengoklah nanti. You mesti sayang kat I punya.”
Shahira mencebik cuma. Masuk juga di akalnya kata-kata Irfan itu. Orang tua-tua selalu kata begitu, kalau benci lama-lama jadi sayang. Kalau marah lama-lama jadi rindu. Siapa peduli. Kalau dia jatuh sayang pada lelaki ini sekalipun apa salahnya. Tak rugi apa-apa pun. Mungkin makin bahagia hidupnya yang sudah lama keseorangan itu. Usikan itu mengundang senyum.
“You tetap kat sini, dengan I okey. Lain kali, jangan nak memandai-mandai buat keputusan. Kalau you tak ada, I tak boleh buat kerja nanti. Habis lingkup company ni,” sambungnya lagi.
“You tak marahkan I?” Ulang Shahira, ingin kepastian. Irfan sekadar tersenyum, mengiakan. “Betul.” Shahira masih tidak berpuas hati.
“Tak percaya? Tak percaya nanti I terjun bangunan. Baru you tahu, menggelabah nanti.”
“Isy! Takkan sampai macam tu. Berani ke you?”
Irfan ketawa kecil seraya menggeleng kepala. Hai, Shahira ni, orang main-main pun dia ambil serius pula. Takkanlah dia nak terjun bangunan sedangkan hasrat hatinya belum kesampaian. Kempunan nanti. Rugi. Seketika pandangan mereka bertaut. Masing-masing seperti tidak mahu membuang pandangan ke arah lain. Baik Shahira, mahupun Irfan, detik itu amat bermakna buat mereka. Serasa aliran kasih mula meresap ke sanubari kedua-duanya. Dari mata turun ke hati.

0 comments:

Post a Comment