Rindu Jadi Saksi - Bab 2



“HAI, Ira! Kau dah sihat?” Sapa Adibah riang.
Belum pun sempat Shahira duduk, Adibah sudah merapatinya. Shahira hanya menggelengkan kepala. Adibah memang begitu. Tak kira tempat, tak kira masa, ceria saja. Sebab itulah dia senang berkawan dengannya. Dia tahu menceriakan suasana walau sekritikal mana pun keadaannya. Satu lagi, Adibah tidak pernah ambil hati atau betul-betul ‘tarik muka’ dengannya. Susah nak dapat kawan macam tu. Tujuh lautan, tujuh gunung-ganang diredah pun belum tentu bertemu lagi kawan seperti Adibah. Dia tersenyum memandang Adibah.
“Kau ni Diba, aku belum sempat duduk lagi... Kau dah serang.” Shahira bergurau seperti kebiasaannya, melayan sikap Adibah yang memang ceria sentiasa. Kadang-kadang, tak tahu bila masanya dia ada masalah atau bersedih. Tak pernah nampak dia begitu.
“Aku bukan apa Ira, rindu sangat kat kau ni,” jawab Adibah dengan senyum simpulnya. Dia sudah pun duduk di sebelah Shahira.
“Yalah tu.... Eh! Macam mana bos baru kita tu?” Soal Shahira terus. Tidak sabar mahu mendengar cerita selama dia tiada di ofis. Pasti banyak cerita yang menarik, apatah lagi kalau Adibah yang jadi tukang ceritanya. Cerita yang tak sedap pun jadi seronok.
“Amboi kau ni! Khabar aku kau tak tanya, orang kat dalam tu yang kau sibukkan ya...” Adibah menjawab seakan-akan merajuk. Shahira tersenyum cuma. Masak benar dengan perangai Adibah. Rajuk Adibah pasti tak ke mana. Dua, tiga minit baiklah tu.
“Alah... Aku tahu kau tu sentiasa okey. Yang kat dalam tu aje aku belum tau lagi pasang surutnya,” balas Shahira dalam senyum yang masih bersisa.
“Eh! Kau tak perasan ke, dia masuk saing kau tadi. Kat belakang kau aje.”
Shahira mengerutkan dahi sambil mencerlung ke arah Adibah. Dia menggeleng kemudiannya. Dia menjongket bahu pula.
“Masa aku tak ada kau jaga komputer aku ni tak? Berhabuk aje aku tengok ni.”
“Eleh kau ni... Terima kasih tidak, kompelin lagi ya. Penat aku lap hari-hari tau.”
“Alah... Aku gurau ajelah.”
Sedang mereka asyik berbual, interkom di meja Shahira berbunyi. Mereka berpandangan. Adibah mengintai ke dalam bilik bos mereka.
“Cik Dian Shahira ya? Masuk bilik saya kejap,” arah bos baru mereka, cukup teratur bicaranya. Bertambah-tambah lagilah debar di dada Shahira.
“Baik, encik.”
Dengan berhati-hati dan lafaz Bismillah, dia memulakan langkah menuju ke bilik bosnya. Adibah yang melihat kegugupan Shahira sekadar tersenyum cuma. ‘Mengalahkan orang nampak hantu. Eh! Bukan... Mengalahkan orang nak jumpa pakwe baru,’ gumam Adibah dalam hati. Malu, takut, tapi mahu... Adibah tergelak mengenang itu.
“Siapa Ira?”
“Bos baru kita tulah.” Dia terhenti di depan Adibah. Agak menggelabah.
“Dah agak dah... Tak sabar-sabar nak berkenalan dengan engkau nampaknya...”
Shahira sekadar menjeling tajam mendengar gurauan temannya itu. Adibah tersenyum sumbing memandang Shahira yang kelihatan agak panik. Kelakar pula dia lihat wajah Shahira masa itu. Nampak pucat sedikit. Macam nak jumpa bakal mak mentua aje lagaknya. Kecut perut! Entah apa yang ditakutkan agaknya. Macamlah ‘orang’ di dalam tu jenis yang makan orang.
“Dahlah... Aku masuk dulu. Marah pulak ‘pakwe’ baru aku tu nanti,” ucap Shahira terus berlalu meninggalkan Adibah yang masih bersisa senyumnya.
“Masin mulut kau tu! Aku doakan.”
Shahira menjeling manja. Debaran di dadanya makin kencang. Seperti deruan ombak yang menghempas pantai. Datang tanpa perlu dijemput, pergi tak perlu diusir. Tapi bila sesekali hadir, kesannya pasti berbekas. Sukar untuk dibayangkan bagaimana keadaannya nanti bila pertama kali berhadapan dengan ketua barunya itu. Eh! Macam nak pergi temu duga pula lagaknya. Gedebak gedebuk, debaran jantungnya makin kencang.
******
Tok! Tok! Tok! Shahira mengetuk pintu berhati-hati.
“Masuk!”
Terdengar olehnya arahan dari dalam. Betul-betul suara lelaki. Garau sedikit dan seksi! Tanggapan pertama darinya sudah bermula. Erm! Sedapnya suara. Mesti lebih bergaya dari bekas ketua mereka yang lama. Shahira terus bermain dengan andaiannya.
Dia membuka pintu perlahan, tidak mahu mengganggu konsentrasi orang di dalam. Dia mula mengorak langkah, merapati meja ketuanya. Tapi tak nampak sesiapa pun di situ. ‘Ya Allah! Bersepahnya meja. Macam tongkang pecah! Apa hal ni?’ Bebelnya dalam hati. Fail-fail bertaburan sana, sini. Rimas Shahira dibuatnya. Dia cepat-cepat menyusun semula fail-fail tersebut.
Kalau Tuan Kamal dulu, pantang betul melihat mejanya bersepah. Dia mahu sentiasa kemas dan teratur. Senang nak buat kerja katanya. Sesedap mata memandang. Jiwa pun tenang. Betullah tu! Kalau dah bersepah macam kapal karam, macam mana nak buat kerja. Apa yang dicari dekat depan mata pun boleh tak jumpa nanti. Tahu-tahu ular senduk sudah mengembangkan kepalanya pula. Kan susah jadinya.
“Cik Dian Shahira, ke?” Garau satu suara menyapa. Tapi lembut nadanya.
Serta-merta bau haruman yang dipakai oleh lelaki itu menusuk ke hidungnya. ‘Sedapnya bau, macam baru tadi aku terbau haruman yang sama,’ fikirnya sendiri. Shahira lantas berpaling. Tersentak dia bila melihat seorang lelaki berdiri agak hampir di belakangnya. Dia jadi gugup. Jatuh semua fail yang dipegangnya. Lelaki itu tersenyum cuma melihat reaksi Shahira itu. Dia tunduk dan mengutip kembali fail yang berserakan di penjuru kakinya. Kemudian diletakkan semula di atas mejanya. Shahira yang baru tersedar cepat-cepat turut sama mengutip saki-baki fail yang masih bertaburan di lantai.
“Maafkan saya, encik. Saya terperanjat tadi,” Shahira bersuara datar.
“Tak apa... Saya faham. Saya yang sepatutnya minta maaf. Memeranjatkan you tadi. Hmm, saya Irfan,” dia memperkenalkan diri sambil menghulur tangan, mahu bersalaman.
Shahira teragak-agak untuk menyambut huluran tangan lelaki itu. Menyedari Shahira begitu, dia menarik tangannya kembali sambil menjongket bahu. Namun dia masih tersenyum memandang gadis manis di  hadapannya. Matanya liar meneroka ke segenap ruang wajahnya. Lemas Shahira dibuat begitu.
“Awak rupa-rupanya!” Dia menyapa ramah sambil menudingkan jari telunjuknya pada Shahira, seperti mengingati sesuatu. Direnungnya Shahira lama berserta senyuman manis. “Awak betul-betul dah sihat ke?” Dia bertanya lagi bila melihat sikap Shahira yang masih dingin terhadapnya.
“Alhamdulillah... Saya dah okey. Terima kasih sebab ambik berat,” jawab Shahira datar. Seronok juga bila orang yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini, mengambil berat tentang dirinya. Tapi, itu kan sudah menjadi sebahagian dari tanggungjawabnya sebagai ketua. Kena ambil tahu hal kebajikan para pekerja di bawah seliaannya. Tiba-tiba, Shahira seakan tersedar dari lamunan. Dia teringatkan sesuatu.
“Bukan ke Encik Irfan yang saya jumpa dalam lif tadi?” Soalnya tiba-tiba.
“Ya ke? Bukan kembar saya ke tu?” Dia berseloroh sambil tersenyum lagi.
Ah! Bergetar jiwa Shahira menatap senyuman itu.
“Salah orang kot,” dia bersuara perlahan tapi masih dapat didengari oleh Irfan. Irfan menahan tawa. “Eh! Encik Irfan ni main-mainkan saya ya? Tadi tu memang you, kan?” Dia bersuara semula bila menyedari yang ditemui tadi sememangnya Irfan. Takkan kembar nak selalu pakai baju yang sama, haruman yang sama, bekerja di tempat yang sama? Dia melirik ke arah Irfan. Irfan sekadar tersenyum dan mengangguk. Mengiakan.
“Itulah sebabnya I terperanjat bila tengok you tadi. Tak sangka kita satu ofis. Macam ada ‘jodoh’ aje.”
Giliran Shahira pula menjelingnya. Nak mengusik pula dia. “Jadi, Encik Irfan ni lah bos baru kami?” Tanyanya lagi seperti tidak percaya. Irfan mengangguk lagi dan terus duduk di mejanya. Betullah seperti cerita Adibah. Dia memang kacak dan bergaya. Wajahnya bersih dan tenang saja. Penuh karisma sebagai seorang ketua. “Maaf Encik Irfan,” lancar saja ayat yang keluar dari bibir mungilnya.
Kali ini Irfan pula yang tunak memandangnya. “Kenapa?” Tanyanya sepatah. Seingat dia, gadis di hadapannya itu baru lagi dikenalinya. Tidak sampai beberapa jam pun. Tidak ada kesilapan yang dia nampak kalau kerana itu Shahira memohon maaf. Baru nak berkenal-kenalan.
“Tadi tu... Saya tak sambut salam Encik Irfan,” akuinya jujur.
Irfan ketawa tiba-tiba. Tidak disangka yang gadis di hadapannya itu terlalu lurus. Perkara kecil sebegitu pun dia ambil kisah, sedang dia tak merasa apa-apa pasal peristiwa sebentar tadi. Shahira terpinga-pinga melihat sikap Irfan begitu. Pastinya dia juga tidak menyangka yang Irfan akan mentertawakannya. Dia jadi malu tiba-tiba.
“Cik Shahira, saya tak ambil hati pun. Perkara kecik ajelah,” terangnya masih dalam tawa yang bersisa.
“Encik Irfan tak payahlah bercik-cik dengan saya. Panggil Shahira aje dah cukup,” dia bersuara ketika tawa Irfan reda. Terlalu formal. Tak selesa rasanya bercik-cik begitu. Irfan memandangnya dan tersenyum.
“Okey,” jawabnya ringkas.
“Encik Irfan tak rimas ke, dengan fail bersepah-sepah macam ni?” Dia mula menyuarakan ketidakpuasan hatinya. Nampak berserabut sangat meja bosnya.
“Oh! Ni? Itulah I panggil you tadi sebab nak tanya pasal fail-fail ni lah. I cari fail projek pusat bandar tu, tapi tak jumpa. You letak kat mana?”
“Laa... Fail tu ke? Ada kat meja I. Kenapa tak tanya Adibah? Dia tahu mana I simpan fail tu.”
“Oh ya ke? I ingatkan you sorang aje yang tahu,” dia menjawab sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

0 comments:

Post a Comment