Rindu Jadi Saksi - Bab 3



SHAHIRA mengelap peluh sejuk yang merembes di dahinya. Rasa panas tiba-tiba menyerangnya. Dia mempercepatkan langkah, cuba menyaingi Irfan. Fail-fail dikepitnya kemas agar tidak jatuh. Sesekali Irfan menoleh ke arahnya. Dia tidak membalas. Kepalanya mula terasa mencucuk-cucuk kerana dipanah terik mentari. Berpinar-pinar pandangannya.
Dia berhenti tiba-tiba. Irfan yang menyedari turut berhenti. Berpaling dan mendapatkannya semula. Wajahnya masih bersahaja tanpa tahu apa yang Shahira rasa saat itu. Sedang Shahira berkerut wajahnya menahan sakit sambil memicit dahi. Tak tertahan rasanya menahan sakit yang tiba-tiba menyerang. Berdenyut-denyut. Kalau boleh dielak pasti ‘disimpan’ rasa sakitnya itu supaya Irfan tidak tahu. Tapi, apakan daya. Takdir melebihi segalanya.
“Awak okey ke, Shahira?” Soal Irfan cemas bila melihat Shahira masih tunduk memicit kepalanya. Simpatinya datang tanpa dipaksa.
Shahira cuba mengangkat kepala tapi sakitnya makin terasa. Berpusing-pusing alam dirasakannya. Irfan mula risau melihat keadaan Shahira itu. Pantas saja Irfan memaut lengannya ketika dia hampir rebah. Dipapahnya Shahira hingga ke kereta.
“Kita ke klinik ya,” ucapnya cemas.
Shahira pantas menoleh dan menggeleng.
“Kenapa? Kan you sakit ni,” rungutnya tidak puas hati dengan sikap Shahira.
“Sikit aje. Lepas makan ubat okeylah ni,” balas Shahira datar, masih melawan rasa sakitnya.
“Macam budak-budaklah you ni. Takut pergi klinik.” Irfan mengusik.
“Mana ada! I bukan sakit teruk pun. Suka hati dia aje nak kata kita macam budak-budak,” omel Shahira pula.
Irfan hanya tersenyum melihat Shahira yang sudah berona merah wajahnya. Marahlah tu! Sesekali berkerut mukanya menahan sakit. Irfan menoleh sekilas. ‘Walau dalam keadaan sakit pun Shahira masih kelihatan ayu,’ bisik hatinya lagi. Kata-kata itu mengundang senyum.
“Kalau macam tu kita lunch dulu. Dah dekat pukul 2.00 ni. Lepas tu I hantar you balik. Mungkin perut tu kosong, sebab tu you jadi macam ni,” putus Irfan.
“Tak...” Belum sempat Shahira menghabiskan kata, Irfan mencelah.
“A’ah... Jangan nak membantah. Nanti apa-apa jadi, I jugak yang susah.”
Shahira hanya mengangkat bahu melihat Irfan sudah menuding jari ke arahnya.
“Terpulanglah. You kan bos.” Shahira mengalah. Malas nak bertekak dengan Irfan. Dia juga yang kalah nanti. Dia melepaskan pandangan keluar. Kosong. Sedang Irfan tersenyum puas bila Shahira tidak membantah lagi. Sesekali dia menoleh ke arah Shahira di sebelahnya. Shahira bersandar dengan mata tertutup. Dia terlena. Irfan tersenyum semula.           

******

 “IRA... Kita dah sampai ni,” lembut dia mengejutkan Shahira yang masih terlena.
“Hmm...” Shahira terpinga-pinga, baru sedar dari lenanya. Matanya liar memandang sekeliling.
“Jom makan.”
“Saya tak ada seleralah, Encik Irfan. Tekak ni rasa perit sangat,” Shahira cuba menolak sambil menyentuh lehernya. Memang itu pun yang dia rasa. Tekaknya mula terasa perit.
“Makanlah sikit... Nanti melarat,” pujuk Irfan lembut. Ada nada kerisauan di hujung suaranya. Dia memandang Shahira dengan wajah mengharap. Selebihnya, dia ikhlas untuk menolong Shahira.
“I tak laratlah,” dia mencipta alasan.
“Kalau macam tu I dukung you. Nak?” Gertaknya bersahaja. Irfan sudah menyorongkan tangannya untuk mengangkat Shahira. Saja mengacah sebenarnya. Shahira menjauhkan dirinya sedikit dari lelaki itu. Takut lelaki itu benar-benar lakukan apa yang dikatanya sebentar tadi. Makin parah sakit kepalanya nanti.
“Isy! Apa pulak you nak buat ni. I tengah sakit-sakit pun you nak ambik kesempatan jugak ke?” Marah Shahira perlahan. Geram pula dia dengan sikap Irfan yang mahu bergurau tak kira tempat itu. Dahlah kepalanya sakit. Ditambah dengan sikap Irfan itu, makin pening kepalanya.
“Bukan ambik kesempatan. Ni ambik berat namanya.”
“I belum lumpuh lagilah, nak dukung-dukung. Kepala I aje yang sakit, kaki I masih okey lagi.”
Irfan tersenyum meleret. ‘Tau takut,’ bisik hati kecilnya bila melihat sikap Shahira yang kalut semacam itu. Senyumnya masih bersisa.
Melihat kesungguhan majikannya, Shahira tidak berdaya menolak. Sebenarnya dia tak sanggup menerima layanan yang berlebihan dari lelaki itu. Kesian pula dia melihat Irfan yang beria-ia mengajak. Lagipun Irfan majikannya, takkanlah dia nak buat sesuatu yang tak elok. Takkan dia berani kot! Lagipun mereka di tempat awam. Kalau nak kena, cubalah.
Dengan berat hati dipaksa dirinya keluar dari kereta dan mula mengatur langkah menyaingi Irfan ke arah sebuah restoran berdekatan. Irfan tersenyum cuma melihat dia melangkah. Hatinya bersorak gembira melihat keadaan itu. Shahira di sebelahnya sesekali menoleh penuh tanda tanya, melihat dia yang masih meleret dengan senyum simpulnya. Sekali lagi dia tersenyum sendirian. Betul-betul sasau dia dibuatnya. Isy! Isy! Isy!

0 comments:

Post a Comment