Rindu Jadi Saksi - Bab 9



SHAHIRA menyelak-nyelak beberapa fail di depannya, mencari-cari sesuatu pada dokumen itu. Sudah berulang kali dia membeleknya tapi apa yang dicari, masih belum ditemui. ‘Mana agaknya ya? Takkanlah aku salah letak pulak,’ gumamnya dalam hati. Risau juga dia jika dokumen itu hilang. Macam mana dia nak jawab dengan Irfan? Mahu kena marah nanti. Dia membebel dalam hati, ‘cuainya aku...’
            Sesekali dia menggaru kepala yang tidak gatal. Bingung. Dia melirik jam di tangannya, hampir pukul 6.45 petang. “Alamak... Dah petang ni. Orang nak cepat, jadi lambat! Mana pulak aku letak benda tu,” dia merungut sendirian. Sampai berselerak meja dia kerjakan. Dia berhenti seketika. Jarinya mengetuk meja beberapa kali. Cuba mengingati di mana dia letakkan fail tersebut.
“Assalamualaikum... Hai, Shahira!” Lembut satu suara menyapa. Hampir benar di belakangnya.
Dia menjawab salam dalam hati. Agak terperanjat, sambil perlahan-lahan dia berpaling. ‘Tadi, semua staf sudah pulang. Siapa pulak yang tinggal?’ Tanyanya dalam hati. ‘Takkanlah pak guard masuk ke pejabatnya pulak. Beranilah dia buat kacau. Aku flying kick nanti,’ gumamnya lagi. Dia mula memikirkan sesuatu yang buruk. Demi terpandangkan wajah itu, hatinya berdebar tiba-tiba. Lelaki itu tersenyum kepadanya.
“Eh, Encik Irfan buat apa kat sini? Kan you cuti?” Dia bersuara sedikit gugup. Tidak menyangka yang Irfan datang ke pejabat selewat itu.
Irfan tersenyum lembut. “Inikan ofis I. Suka hati I lah nak datang bila masa pun. You pulak? Apa you buat dalam bilik pejabat I ni?” Irfan bertanya kembali.
‘Orang tanya dia, dia tanya orang balik pulak,’ omel Shahira dalam hati namun masih tersenyum.
“You ingat I buat apa? I tengah cari dokumen yang you suruh betulkan tulah. Mana entah I letak. Tak ingat,” jawab Shahira sambil meneruskan pencariannya. Irfan sekadar memerhati. “Encik Irfan datang petang-petang ni, kenapa?” Sambung Shahira lagi. Tangannya masih ligat menyemak fail-fail yang ada. Manalah tahu ada terselit di mana-mana.
“Nak jumpa youlah... Rindu pulak dua hari tak tengok you.” Balas Irfan nakal. Shahira menjeling sekilas. Pemuda itu masih tersenyum menggoda.
“Yalah tu! Mana Encik Irfan tahu saya masih ada kat sini?” Dia terus melayan.
“Hati kalau dah suka... Mestilah tau kat mana you ada.” Dia melirik dengan senyuman.
“Encik Irfan tu mulalah... Mengada-ngada. Kalau Cik Marina tahu, teruk saya nanti tau,” luah Shahira jujur.
Sebolehnya dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Sememangnya dia tidak mahu disalah anggap nanti. Dia juga yang teruk menanggung malu. Irfan tergelak kecil. Dia terus duduk di mejanya yang masih berselerak. Matanya masih terus merenung tajam ke arah Shahira. Shahira jadi serba salah. Isy! Rimas dibuatnya. Risau pula bila direnung lama-lama. Irfan, masih belum ada tanda-tanda mahu mengalih pandangannya. Dia benar-benar rasa tidak selesa.
“Boleh tak kalau you jangan tenung I macam tu. Rimaslah.”
“Hai, takkan nak tengok pun tak boleh. Kena bayar ke kalau tengok lama-lama?”
“Taklah macam tu. Tapi I tak suka.”
“Alah, bukan luak pun! I cuma tenung aje, tak buat apa-apalah. Tengok, duduk pun jauh-jauh, kan?”
“Isy! Susah betullah bercakap dengan you ni. Ada aje jawapan you, kan?”
Irfan tersengih saja. “You cari yang ni ke? I yang keluarkan hari tu, nak semak mana yang salah. Maaflah tak beritahu you awal-awal,” dia menyuakan fail yang dimaksudkan, diambil dari laci mejanya.
Shahira pantas mencapai fail tersebut dari tangan Irfan. Irfan masih enggan melepaskan. Dia pegang di hujung sini, Irfan di sebelah satu lagi. Dah macam main tarik tali. Shahira geram. Agak lama baru Irfan melepaskan fail tadi. Dia tersenyum nakal, sedang Shahira cuba menahan rasa marah yang mula berbuku di hati.
“I suka tengok you marah. Comel sangat,” usiknya terus.
Shahira buat-buat tak dengar. Wajahnya selamba saja. ‘Suka hatilah,’ bebelnya dalam hati. Terus dibeleknya fail yang diberi Irfan tadi. Dia tersenyum lega selepas menelitinya.
“Ingatkan hilang tadi, risau sangat,” dia bersuara lega. Lapang dadanya bila fail tersebut ditemui. Segala maklumat penting ada di dalamnya. Hanya dia, Adibah dan bos mereka saja yang boleh melihatnya, selain dari peguam syarikat.
“Okey, you dah jumpa apa yang you cari, kan? Jadi, you kena temankan I makan malam. Dari pagi I belum makan tau,” pancing Irfan terus. Sudah berdiri di sebelahnya, masih dengan lagak menggodanya.
Hai! Lelaki oh lelaki, kalau nak apa-apa, pandai sungguh bermain kata. Shahira pula, kalau sudah terbau haruman yang dipakai oleh lelaki ini, boleh kalah dengan perasaannya sendiri. Tapi, cepat-cepat ditepis perasaan itu agar tidak merasuk minda yang mula tergugat.
“Kenapa pulak I kena temankan? Dahlah kat ofis I kena layan, nak makan pun I jugak yang nak kena teman ke?” Soal Shahira sedikit menyindir. Sekadar bergurau.
“Apa salahnya. Please Shahira, I lapar sangat ni. Kan I dah tolong you dapatkan fail tu tadi. You dah ‘berhutang’ dengan I tau,” Irfan terus memujuk lembut. Dia mengecilkan matanya memandang Irfan bila mendengar ayat yang akhir itu. Pandai benar Irfan menjeratnya.
“Tak bolehlah Encik Irfan. I ada hal. Nak cepat ni,” dalih Shahira cuba mengelak. Bukan dia tidak sudi. Dia bimbang kalau ada sesiapa yang nampak dia keluar dengan Irfan, panjang pula ceritanya nanti. Nak-nak kalau si singa betina tu tahu, parah dia. Lagipun, dia tidak mahu terlalu rapat dengan Irfan sebenarnya. Takut hatinya memihak pada Irfan pula. Boleh cair naluri wanitanya bila lama-lama bersama Irfan. Irfan memang pandai memujuk. Pandai menggoda, hinggakan kadangkala dia terperangkap juga.
“You lupa ke yang you pernah janji nak keluar dengan I,” Irfan cuba memerangkapnya.
“I tak janji apa-apa. I cuma cakap kalau ada rezeki, kita keluar, kan? Nampaknya belum ada rezeki lagilah,” balasnya sedikit gugup. Teringat dia pada kata-katanya dua bulan lepas semasa hari lahir Irfan. Memang dia ada berkata begitu. 
“Kalau you tak nak, I mogok laparlah. Biar I kebulur kat sini. You suka agaknya tengok I macam tu, kan?” Ugut Irfan tapi masih bernada lembut.
“Suka hati Encik Irfanlah... I nak balik,” balas Shahira bersahaja. Dia terus keluar dari bilik Irfan, balik ke tempatnya dan berkira-kira untuk berkemas pulang. Hari pun sudah beransur gelap.
                                                           ******
           
DIA terpegun apabila melihat ada sejambak mawar merah di atas mejanya. Sekeping kad berwarna kuning terselit di situ. Dia mengambil dan membacanya.
Buatmu gadisku,
Cinta terbina dari cantuman dua hati
Kau telah mencuri hatiku. Pulangkan ia bersama serpihan yang lagi satu
Hatiku perlukan cantuman itu untuk menjadikan CINTAKU semanis madu
-IRFAN-

Shahira mengeluh perlahan. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Dia menoleh ke arah Irfan yang masih berada di biliknya. Irfan tersenyum manis. Dia tidak mampu membalas. Hatinya memang terusik dengan pemberian Irfan itu tapi, pada masa yang sama, berbagai persoalan timbul di benaknya. Risau bercampur curiga. Risau dengan tindakan Irfan yang benar-benar ingin membuktikan kesungguhannya untuk menjalin hubungan. Curiga, takut kalau Irfan sengaja ingin mempermainkan nalurinya sahaja.
Maklumlah, lelaki kacak dan terpelajar macam Irfan itu mesti sudah ada kekasih. Paling tidak pun kawan perempuan mesti keliling pinggang. Ditambah lagi dengan jawatan yang dia sandang. Dia memang mempunyai pakej yang lengkap sebagai seorang lelaki idaman wanita. Rasanya tak susah untuk dia mahu mencari pasangan yang setaraf dengannya.
Lainlah dia, hanya seorang gadis kampung yang agak kolot. Lahir dari sebuah keluarga yang serba sederhana. Sementelah, dia tidak pernah lupa pada pesanan kedua orang tuanya, supaya pandai-pandai bawa diri di tempat orang. Jangan mudah lupa pada asal usul kalau diri sudah miliki apa yang diingini. Dia menginsafi diri seketika.
Perlahan-lahan dia mengatur langkah ke bilik Irfan semula. Irfan masih tetap memerhatikannya. Lembut dan penuh pengharapan. Dia duduk di hadapan Irfan tanpa disuruh.
“Kenapa susah-susah bagi I bunga? Tak payahlah nak membazir kalau hanya nak memujuk I,” ujarnya perlahan.
“Tak susah mana pun... Cara apa lagi yang patut I lakukan untuk memenangi hati you, hmm...? I nak you tahu yang I benar-benar sukakan you. I tak main-main dan I harap kita boleh bersama satu hari nanti,” terangnya datar.
“Encik Irfan, dah berapa kali I cakap, I susah nak terima you. Tolonglah faham keadaan I. Kita jauh berbeza...” Kata-katanya mati di situ. Dia tahu akan ada hati yang bakal tergores kalau dia menghabiskan ayatnya itu.
Irfan melepaskan satu keluhan mendengar penjelasan Shahira. Berat. Dia tidak menyangka hati gadis itu terlalu keras. Kalau kekayaan yang menjadi halangan, dia rela melepaskan segalanya. Janji, Shahira menjadi miliknya. Ah! Harta boleh dicari. Nilai kasih sayang, itu yang paling penting buat masa ini.
“Semua ni sebab Johan ke? Apa kurangnya I?” Tanya Irfan tidak berpuas hati.
“Bukan! Ini tak ada kena mengena dengan dia. Encik Irfan tak akan faham. Tolonglah jangan desak I macam ni.”
“Jadi, bagilah I faham. Beri I peluang, Shahira. I ikhlas dengan niat I ni. I betul-betul maksudkannya! Shahira, satu peluang aje,” rayu Irfan terus.
Kala itu dia sudah melutut di hadapan Shahira. Shahira jadi panik. Sungguh terperanjat. Tidak menyangka sejauh itu tindakan Irfan. Lelaki ini memang penuh dengan kejutan dan dialah yang ‘terkejut beruk’ selalunya. Irfan merenungnya sayu. Macam ni lah gaya orang mabuk cinta agaknya. Hatinya jadi tidak keruan. Tiba-tiba Irfan menyentuh jemarinya lembut. Digenggam erat lantas dikucupnya, lama. Makin resah Shahira dibuatnya. Ya, Allah! Malapetaka apakah yang akan melandanya hari ini? Dalam remang senja menanti Maghrib tiba, ada pula dugaan yang melanda. Dia mula tidak keruan.
“Encik Irfan, janganlah buat macam ni. Bangunlah. Malu kalau orang nampak.” Pada masa yang sama, jiwanya makin hebat dihempas gelora.
“Alah... Bukannya ada orang lain,” dia sengaja berkata begitu. Mahu melihat reaksi gadis manis itu.
“Allah nampak, Encik Irfan. Dahlah tu,” balas Shahira bersahaja. Dia cuba menarik tangannya dari genggaman Irfan. Namun semakin erat pula genggamannya.
“I tahu!” Ditekan sedikit suaranya.
Kadang-kadang Shahira ni macam ustazah pula, mesti mengaitkan apa yang berlaku dengan soal agama. Hanya dengan cara itu dia berjaya menjauhkan dirinya dari Irfan. Pandai sungguh dia. Tapi, itulah yang Irfan suka. Gadis manis di hadapannya itu memang bijak.
Kemudian dia menyambung.“ I tak tahu macam mana lagi I nak yakinkan you. I berharap sangat you dapat terima I. I tak pernah rasa macam apa yang I rasa sekarang ni, Shahira. I tak boleh lupakan you walau sesaat pun.” Datar sahaja suaranya. Bagaikan cuba meraih simpati dari Shahira. Dia masih menggenggam jemari Shahira. Dielus perlahan seperti meluahkan apa yang tersirat di hatinya. Shahira kurang selesa.
“Okey! Lepaskanlah tangan I ni,” rayu Shahira pula. Takut juga dia dengan sikap Irfan yang sudah mula angau satu badan. Irfan hanya tersenyum. Dia tahu Shahira tidak selesa diperlakukan begitu. Makin Shahira takut, makin sengaja dielusnya jari-jemari Shahira. Makin Shahira marah, makin galak dia menyakat. Nakal betul!
“You janji terima I,” umpannya lagi. Sungguh romantik nada suaranya. Saja untuk menggoda Shahira.
“I belum buat apa-apa keputusan lagi,” dia terdiam seketika. Menarik nafas dalam. “Macam ni lah Encik Irfan, kita kawan dulu. Selebihnya, kita serah pada takdir. Kalau ada jodoh tak ke mana...” Dia terhenti di situ. Tak tahu apa yang patut diucapkan lagi bagi memuaskan hati Irfan. “Tapi buat masa ni, I tak mahu apa-apa komitmen, hubungan biasa aje,” tambahnya lagi.
“Tak mahu komitmen, hubungan biasa aje?” Irfan menyoal balik. Shahira hanya mengangguk.
“Kenapa? You takut I main-mainkan you ke?” Tanya Irfan lagi.
“Tak! Bukan macam tu. Kan lebih baik takut pada Allah dari takutkan sesuatu yang baik buruknya memang nyata datangnya juga dari Dia.”
Irfan memandang tepat ke dalam anak matanya. Lama. Seketika dikucup jari-jemari Shahira sebelum melepaskannya. Barulah Shahira merasa lega bila jemarinya terlepas dari pegangan lelaki itu. Kendur sedikit ketegangan yang dia rasa.
“Okey,” jawabnya sepatah lantas bangun dan duduk kembali di tempatnya. Irfan rasa lega dengan jawapan Shahira. Sekurang-kurangnya dia masih mampu menyemai harapan.
“You memang suka agaknya tengok I macam ni, kan? Sebab tu you sengaja tak nak terima I.”
“Bukan tak terima!”
“Habis tu you terima I lah ni,” dia bersuara galak.
“I tak cakap macam tu pun.”
“You ni macam mana? Kejap kata macam ni, kejap lagi kata macam tu? Saja nak mainkan I ya?” Provok Irfan terus.
“Tak! You pun janganlah tekan I macam ni. Kan I dah kata, I belum buat keputusan lagi. Susah sangat ke you nak faham apa yang I maksudkan tu,” balas Shahira geram. Datar tapi dalam maksudnya.
“Okey, tak apa... Jom temankan I makan. Laparlah,” pelawanya pula. Senyum manis dilemparkan buat Shahira.
Shahira terkaku sebentar. Tadi, bukan main lagi mengasaknya dengan berbagai persoalan. Sekarang pula dia jadi tenang dan melupakan apa yang dilakukannya tadi. Hai! Lelaki ini memang sukar diramal.

0 comments:

Post a Comment