Rindu Jadi Saksi - Bab 4



PETANG itu Irfan berjanji untuk bertemu Zarith, kawan baiknya semasa di California dulu. Lagipun memang sudah lama mereka tidak bertemu. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Irfan sibuk menguruskan perniagaan ayahnya. Manakala Zarith pula sibuk membangunkan syarikatnya sendiri. Sedang berusaha untuk bersaing dengan syarikat yang sedia ada. Itu yang membatasi mereka dari selalu berjumpa. Tambah lagi Zarith sudah berkeluarga. Tentulah dia perlu memberi perhatian pada keluarganya juga. Masing-masing ada komitmen yang perlu diutamakan.
            So, apa perkembangan terbaru kau Rith? Ada kemajuan? Business?” Irfan memulakan.
Zarith sekadar menjongketkan bahu dan mencebik.
“Bolehlah... Biasalah, aku kan baru lagi dalam dunia business ni. Buat masa ni, okeylah. Baru nak bernafas.”
Relaxlah. Sikit hari lagi okeylah tu. Kau ni kan jenis yang kuat bekerja. Isteri kau macam mana? Bila nak dapat baby?”
“Dia sihat! Dia tengah mabuk-mabuk tu.”
“Betul ke? Tahniah! Nak jadi bapak dah. Seronoklah kau eh.” Irfan menghulurkan tangan untuk berjabat. Tanda ucapan tahniah. Zarith menyambut dengan senyuman.
“Eh! Kau ni sibuk tanya pasal aku. Kau macam mana pulak? Takkan dekat setahun balik sini belum ada steady girlfriend lagi?”
Irfan tersenyum meleret. Zarith mengangkat kening. Dia menunggu Irfan membuka mulut, memulakan bicara. Mesti ada cerita menarik ni, kalau tidak, takkan senyum Irfan sampai ke telinga. Wajahnya pun nampak ceria.
“Ni aku ada benda nak kongsilah ni,” Irfan berhenti di situ, tidak meneruskan. Zarith semakin ingin tahu.  Dia menarik kerusinya ke depan sedikit, memberi perhatian pada Irfan.
“Apa dia? Cepatlah cerita. Pasal perempuan ke?” Desaknya.
“Hmm... Pandai pun! Aku dah jumpa dengan ‘princess’ yang aku cari selama ni.”
Irfan masih tidak meneruskan kata-katanya. Zarith makin galak untuk mengetahui siapakah yang dimaksudkan oleh Irfan itu. Memang seronok nak tahu pasal kisah cinta sahabatnya itu. Maklumlah dah lama Irfan ‘bercuti’ dari semua itu. Kalau ada pun setakat suka-suka aje. Teman istimewa, memang dah lama dia tak ada.
“Ceritalah. Aku dah tak sabar nak dengar ni!”
“Kau pulak yang excited eh?”
“Cepatlah cerita! Aku tak sabar nak tahu perempuan mana yang dapat tarik perhatian kau ni. Maklumlah, kau ni kan susah nak tertarik pada perempuan. Marina yang seksi tu pun kau tak layan.”
Lama juga Irfan asyik tersenyum. Mungkin mencari ayat yang sesuai untuk memulakan ceritanya. Zarith tak senang duduk menunggu.
“Dia staf aku,” pendek saja Irfan menerangkan sambil menaikkan keningnya.
“Kau biar betul, Fan. Aku tak salah dengar ke ni?” Zarith bersuara seperti tidak percaya. Takkanlah Irfan nak pilih orang biasa-biasa aje. Setahunya cita rasa Irfan memang tinggi kalau pasal perempuan.
“Dengar dulu! Kau ni, aku belum habis cerita lagi,” Irfan memprotes. Dia membetulkan duduknya sebelum menyambung, “kau ingat lagi tak, dulu aku pernah cerita kat kau yang papa aku nak kenalkan aku dengan salah sorang staf dia, alah masa kita masih kat overseas dulu tu. Masa tu aku tolak. Aku ada mintak pendapat kau juga, kan?”
Zarith memikir-mikirkan sebentar. Jarinya bermain di dagu sedang matanya tidak lepas dari memandang Irfan. Dia mengangguk dua, tiga kali. Kalau yang dulu tu memang dia ingat. Irfan menggelabah habis masa tu. Maklumlah orang dah biasa duduk di bandar besar. Negara orang putih lagi. Jadi, bila papanya mahu mengenalkan dia dengan ‘ayam kampung’, dia sudah mula tak senang duduk. Zarith tergelak kecil mengenang detik itu. Kelakar pun ada bila Irfan macam cacing kepanasan masa itu.
“Oh! Budak perempuan tu? Tapi, biar betul kau ni. Dulu bukan main beria-ia kau tolak, apa pasal sekarang ni kau pilih dia pulak. Kau dah kena ‘mandrem’ ke?”
“Tulah... Dulu tu aku silap. Silap besar. Dia istimewa dan aku tahu dia memang jodoh aku.”
“Amboi! Kau ni betul-betul dah angau ni. Aku macam tak percaya pulak. Ingatkan kau akan cari perempuan macam Marina tu.”
No way, man! Shahira yang terbaik untuk aku.”
“Oh! Shahira nama dia. Apa yang istimewa pasal dia ni? Sampai kau angau satu badan macam ni.”
“Okey, kau jangan ketawakan aku pulak,” Irfan memberi ingatan.
Zarith sekadar mengangguk. Menunggu Irfan meneruskan ceritanya. Dia meneguk air yang sudah separuh luak.
“Pertama kali aku jumpa dia masa dalam lif, kat ofis akulah. Aku pun tak perasan berapa ramai dalam lif masa tu. Yang aku nampak dan aku pandang, cuma dia sorang aje. Nampak dia aje aku dah rasa semacam. Masa tu aku tak tahu lagi dia ni staf aku. Bila aku jumpa dia kat ofis, mestilah aku suka. Kucing mana yang tak suka, ikan dah depan mata, kan?” Irfan tersenyum simpul. “Ingatkan senang. Rupa-rupanya makin payah nak dekat, kau tahu? Nampak macam aku yang terhegeh-hegeh kat dia. Dia buat selamba. Memang susah nak approach dia. Tu yang buat aku makin nak rapat dengan dia. Kau tahu, satu hari tu boleh dia marah aku bila aku ajak dia keluar. Dia kata aku saja nak kenakan dia. Mentang-mentang aku bos, suka-suka hati nak ajak dia keluar. Tapi aku tebalkan muka aje masa tu.”
“Hmm! Menarik... Kau rasa tercabarlah ni?”
“Mestilah. Mahu taknya. Kalau dulu, perempuan kejar aku, biar kali ni aku pulak kejar perempuan. Baru aku tahu macam mana rasa kalau hati ni dah suka kat seseorang tu. Tapi, dia ni memang best. Kau pujuk rayu macam mana pun, dia buat tak kisah aje. Macam tak ada perasaan. Tapi aku tahu, dia sengaja buat macam tu. Nampak keras hati, tapi lembut sebenarnya. Tu yang aku suka. Macam main tarik tali.”
“Takkan sampai macam tu sekali, Fan? Takkan dia tak ada bagi positif feedback langsung? Senyum-senyum kat kau ke? Bual-bual ke?” Zarith ghairah bertanya sambil menegakkan duduknya. Ingin mengetahui kisah selanjutnya. Memang menarik cerita ini pada pandangannya.
“Ada jugaklah. She’s a bit blur sometimes. Tapi, itu yang buat dia comel sangat. Dia tak banyak cakap pun. Pas tu dia ni baik sangat, lembut orangnya. Bayangkanlah zaman moden macam ni masih ada perempuan yang malu-malu kalau kena usik.” Dia terhenti seketika. Sambil merenung jauh. “Ada tu memang ada, tapi tak ramai. Dia, antara yang tak ramai tu. Tak macam staf aku yang lain. Pantang ada peluang, mulalah nak tarik perhatian aku.”
So, kau memang dah angau sakanlah dengan dia ni. Kira, keputusan muktamadlah.”
“Ya! Aku akan dapatkan dia jugak. Apa cara sekalipun... Hati ni dapat rasa, memang dia ni istimewa.”
“Kau ni, kot dia bini orang ke, makwe orang ke. Tak ke payah. Kau dah selidik ke? Jangan cari pasal Fan.”
“Aku dah check data peribadi dia. Memang single lagi. Tapi, tak tahulah kalau dah ada pakwe. Yang tu aku tak pasti sebab aku sendiri tak pernah nampak.”
“Suka hati kaulah, Fan. Asal kau bahagia. Aku tolong doakan aje. Jangan jadi hamba cinta sudahlah. Baik kau selidik latar belakang dia. Bukan apa, takut nanti kau dah suka, dia pulak sebenarnya dah ada steady boyfriend. Parah kau nanti. Bertambahlah lagi ahli ‘kelab jiwa luka’,” Zarith berpesan.
Irfan cuma mengangguk, faham benar maksud sahabatnya itu. Dia memang sedang berusaha untuk menuju ke arah semua itu. Dia akan terus berusaha dan dia mengharapkan nasib memihak padanya.
******

SHAHIRA pantas mencatat arahan Irfan. Serius saja wajah bosnya. Lepas mesyuarat tadi, terus dia dipanggil oleh Irfan hinggakan nak minum teh pun tak sempat. Marah benar Irfan kali ini. Mana taknya, akibat kecuaian beberapa orang stafnya, mereka terlepas satu tender penting, tender pertama yang dia ketuai sebenarnya. Mahu tak bengang dibuatnya. Tak pernah dia lihat kemarahan Irfan yang terlampau. Selama ini Irfan terkenal dengan sikapnya yang tenang, memang mesra dengan semua stafnya. Seorang ketua yang boleh diajak bergurau dan ketawa walaupun punya karisma dan sikap kepimpinan yang tinggi.
 “You pastikan mereka buat macam yang kita dah rancang, Shahira. I tak nak benda ni berlaku lagi. Susah I nak jawab nanti.”
Shahira hanya mengangguk tanda faham. Jarinya masih pantas mencatat apa yang diarah oleh Irfan. Takut kalau ada yang tertinggal, semarak lagi api kemarahan Irfan.
“Satu lagi, you aturkan temu janji dengan Datuk Mustapa. Kalau boleh...” Belum sempat Irfan menghabiskan kata, terdengar ketukan di pintu biliknya. Mereka berdua menoleh serentak ke arah pintu yang memang sedia terbuka. Adibah berdiri di situ.
“Err... Maaf Encik Irfan. Hmm... Ada panggilan untuk Shahira. Penting sangat,” ucap Adibah tersekat-sekat.
Irfan memandang Shahira. Tajam. Shahira tidak berani menentang pandangan Irfan. Orang tengah marah. Tak pasal-pasal dia pula yang kena nanti.
“Siapa, Diba?” Tanya Shahira perlahan seraya menoleh ke arah Adibah.
“Johan,” ucap Adibah serba salah. Dia terus berlalu ke mejanya.
Shahira mengangkat muka memandang Irfan. Pemuda itu masih merenungnya tajam. Namun, masih ada kelembutan yang terpancar dari sinar matanya. Mungkin marah kerana perbincangan mereka diganggu. Dalam debar dia bersuara.
“Encik Irfan, saya jawab call kejap,” pohonnya minta pengertian.
“Hmm...” Keras nada suara Irfan menjawab, diiringi dengan jelingan tajam.
Mendengar itu Shahira terus keluar. Rasa rindunya pada Johan datang tiba-tiba. Sudah sebulan lebih mereka tidak bertemu. Kalau diikutkan hati, sekarang juga dia mahu bertemu buah hatinya yang satu itu.

******
           
SEORANG gadis masuk. Lagaknya seperti sudah biasa ke pejabat itu. Dengan blaus ketat dan skirt sendat paras lutut, penampilannya memang nampak classy. Dia terus masuk ke bilik Irfan. Shahira dan Adibah hanya berpandangan. Sedikit pun dia tidak menyapa mereka, apatah lagi untuk melemparkan senyuman. Shahira menjongket bahu dan meneruskan tugasnya.
“Shahira, I nak keluar lunch dengan Marina. Balik nanti kita sambung perbincangan tadi. You siapkan data yang I nak tadi ya,” arah Irfan tegas tapi masih ada segaris senyuman yang dilemparkan. Shahira mengangkat muka, memandang Irfan di hadapannya.
“Satu lagi, kalau Datuk Mustapa telefon, tolong jawab tapi jangan bagi apa-apa persetujuan.”
“Baik Encik Irfan,” balasnya ringkas. Mati senyumannya bila menyedari gadis di sebelah Irfan menjeling tajam padanya. Makin kemas dia memaut lengan Irfan. Rimasnya Shahira rasa. Naik berbulu biji matanya melihat reaksi Marina. ‘Takut sangat orang mengurat pakwe dia,’ ucap Shahira dalam hati. Meluat benar dengan gadis itu. Sombong tak bertempat.
“Jom Marina.” Sejurus itu mereka berlalu.
Shahira memerhati sehingga mereka hilang dari pandangannya. Dia tersenyum tawar. Gadis itu cukup bergaya. Mungkin itu teman wanitanya, dia membuat andaian. Cantik dan sesuai benar dengan Irfan. Adibah di sebelahnya hanya menjuihkan bibir. Sama meluat melihat sikap gadis itu.

0 comments:

Post a Comment