Rindu Jadi Saksi - Bab 1



DIAN SHAHIRA memicit kepalanya beberapa kali. Berkerut keningnya menahan sakit yang semakin mencucuk-cucuk. Pening dan berdenyut-denyut rasanya. Kerjanya sedikit terganggu dengan keadaan itu. Dia memicit kepalanya kembali bila sakit tadi datang lagi. Kalau diikutkan hati mahu saja dia menyambung cuti. Entah mengapa sakit kepalanya sering menyerang kebelakangan ini. Nak kata dia terlalu banyak berfikir, tidak juga. Nak kata dia tak cukup tidur, pun tidak. Kalau nak dikatakan kerana banyak kerja, memanglah. Tapi, taklah sampai kena perah otak melampau-lampau.
Setakat mengemas kini laporan, menyediakan proposal dan menyemak minit mesyuarat untuk projek terbaru syarikat mereka, rasanya tiada masalah. Sudah bertahun-tahun dia melakukan rutin yang sama. Sesekali saja dia akan melakukan kerja yang agak luar dari kebiasaannya, itu pun kalau ada staf yang bercuti lama. Bukannya susah sangat pun. Sebelah mata pun dia boleh buat. Cewah... Dia tersenyum sendiri. ‘Meninggi diri pulak aku ni,’ kata hatinya lagi. Tapi, ini semua kan suratan Ilahi. Dah Allah nak bagi dia sakit, dugaan namanya. Dia kenalah reda.
“Kau okey ke Ira? Sakit lagi ke kepala kau tu?” Tanya Adibah yang duduk di sebelahnya. Adibah juga merupakan kawan baiknya sejak dia bekerja di situ. Sudah lebih empat tahun, Adibahlah yang sering mengambil berat tentang dirinya. Dah macam adik-beradik mereka berdua itu.
“Hei! Aku bercakap dengan kau ni. Jangan buat tak dengar pulak. Nanti aku tolonglah apa yang aku tahu. Kau pergilah klinik. Aku risaulah tengok kau asyik macam gini,” pujuk Adibah risau. Shahira cuma tersenyum.
“Baiklah mak nenek. Kau asyik membebel ni, makin sakit kepala aku, tahu tak?”
Pada Adibah, Shahira merupakan orang yang paling rapat dengannya di pejabat itu. Kalau sesuatu terjadi pada Shahira, susahlah dia. Dengan yang lainnya dia kurang rapat sebab mereka semua tu hipokrit. Kalau depan kita bukan main baik lagi, belakang kita, Tuhan saja yang tahu. Tapi, Shahira tidak begitu.
Bagi Shahira pula, bukan dia tidak mahu mengikut cadangan Adibah. Tapi, dia kesian pada temannya itu. Malu pun ada. Setiap kali dia bercuti atau sakit, Adibahlah yang akan mengambil alih tugasnya. Tidak sampai hati rasanya melihat Adibah kelam-kabut sendirian menangani masalah kerja mereka. Mana nak buat kerjanya lagi. Makin kurus Adibah nanti.            Tapi, dia bersyukur mendapat kawan seperti Adibah. Ringan tulang. Ringan mulut. Tidak disuruh pun kadang-kadang dia tolong juga. Dan kalau tak disuruh pun kadang-kadang dia bercakap juga.
Kalau orang lain, jangan haraplah. Nak minta tolong pun susah. Apa lagi nak menawarkan diri untuk membantu. Minta tolong sikit, sampai kiamat diungkit-ungkit. Serik dia. Semasa dia banyak kerja, dikata mengada-ngada kalau minta tolong. Tapi, bila orang yang ‘berkenaan’ itu yang meminta tolong, tak ingat pula pada apa yang mereka kata. Padahal bukan banyak mana kerjanya.

******
SUDAH seminggu Shahira tidak ke pejabat. Oleh kerana tidak tertahan menanggung kesakitan, dia pergi juga ke klinik akhirnya. Doktor memberinya cuti sakit selama tiga hari, dia menyambung cuti selama dua hari lagi. Menurut doktor, sakit kepala atau migrain yang dialaminya tidaklah serius sangat. Cuma bila terlalu sakit dia tidak dapat menahannya. Itu kata doktor yang merawatnya. Ada sekali tu, sampai muntah-muntah dia dibuatnya bila migrainnya menyerang. Langsung tak boleh nak bangun.
Dia tersenyum puas di hadapan cermin. Menatap wajahnya yang sudah agak ceria, tidak pucat lagi berbanding tiga hari lalu. Dia mencalit sedikit lipstik di bibirnya. ‘Biar berseri sedikit,’ bisik hatinya. Pagi itu dia memakai sepasang sut berwarna kelabu. Bajunya mengikut potongan badan, manakala seluarnya agak longgar sedikit. Dikenakan dengan kasut dan handbag yang berwarna senada. Biar pun sederhana, namun tetap menarik dan nampak bergaya. Tak perlulah pakai mekap tebal-tebal. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, dia bergegas keluar untuk ke pejabat.
Berdebar-debar juga dia kerana CEO baru mereka sudah mula bekerja. Hanya dia seorang saja yang tertinggal ‘kapal terbang’ kerana cuti sakit. Dalam perjalanan, sempat lagi dia memikirkan bagaimanakah kriteria bos barunya itu. Menurut cerita Adibah melalui telefon tempoh hari, CEO baru mereka itu muda lagi, lebih kurang dalam awal 30-an usianya. Kacak dan bergaya. Peramah dan baik hati, kata Adibah lagi.
“Kacak giler! Rugi kau Ira sebab jadi orang terakhir yang jumpa dia.” Beria-ia benar Adibah memujinya.
Shahira tersenyum lagi mengingat kembali perbualannya dengan Adibah mengenai bos baru mereka. Entah ‘kacak giler’ kategori yang macam mana, belum lagi dia ketahui. Kalau Adibah, mana-mana lelaki yang dia nampak, semuanya kacak. Sampaikan budak plumber yang selalu membaiki paip di bangunan itu pun dikatakannya kacak juga. Tapi, budak tu memang cute pun. Hai! Entahlah. Sekejap lagi akan terjawab segala-galanya. Tunggu dan lihat saja. Apakah kekacakannya itu akan menggetarkan naluri wanitanya?
SEPERTI biasa, dia meletakkan keretanya bersebelahan dengan kereta Adibah. Adibah sudah sampai. Setelah mengunci kereta, dia terus menuju ke ruang legar kompleks pejabat tempat dia bekerja. Pejabatnya di tingkat enam. Sementara menunggu pintu lif terbuka dia membaca beberapa memo yang ditampal di papan kenyataan, bersebelah pintu lif. Pagi masih awal, jadi belum ramai orang yang tiba. Dia memang selalu datang awal, elak traffic jam.
Ketika pintu lif terbuka, dia cepat-cepat meloloskan diri masuk ke dalamnya. Hanya ada lima orang sahaja di dalamnya. Shahira melemparkan senyuman kepada mereka. Bukan dia tidak kenal siapa mereka semua. Staf-staf dari pejabat di bangunan itu juga. Kalau nak diikutkan, di bangunan itu terdapat 15 tingkat yang memuatkan ruang pejabat. Syarikatnya saja memiliki dua tingkat ruang pejabat di situ. Tapi, ada juga tingkat yang sudah diubahsuai menjadi dua atau tiga pejabat kecil. Menambah variasi ruang pejabat di situ.
******
“Tunggu! Tunggu!” Jerit satu suara ketika pintu lif hampir tertutup. Cepat-cepat salah seorang dari mereka menekan butang ‘hold’. Shahira turut meninjau-ninjau gerangan siapakah empunya suara? Seorang lelaki masuk sambil melemparkan senyuman kepada mereka semua. Sungguh bergaya penampilannya.
“Terima kasih,” ucapnya ketika lif mula bergerak, membawa mereka ke tingkat atas.
Dia berdiri bersebelahan Shahira. Sekilas dia menoleh dan tersenyum manis. Shahira membalas. Ada debar yang bertandang bila mata pemuda itu masih tidak lepas dari memandangnya. Dia buat-buat tak tahu sambil tunduk memandang lantai. ‘Orang baru mungkin,’ getus hatinya. 
Sebelum ini, belum pernah dia melihat pemuda itu. Boleh tahan orangnya. Dia membuat penilaian sendiri. Tinggi beberapa inci darinya. Berkulit agak cerah. Segak dan  bergaya. Sekali imbas wajahnya mengingatkan dia pada seorang pelakon kacak Hollywood, Keanu Reeves dalam filem ‘Speed’. Ada iras-iras wajah pelakon itu walaupun tidak banyak. Bau minyak wanginya segera menusuk hidung. Harum sungguh! Kalau tak salah Shahira, itu dari jenama Versace, Blue Jeans. Maklumlah, Shahira memang minat dengan wangian. Berbotol-botol minyak wangi yang disimpan menjadi koleksi peribadinya. Malah wangian untuk lelaki pun dia sanggup beli, hanya kerana minatnya itu.
Sampai di tingkat enam Shahira terus keluar, menuju ke pejabatnya. Dia tidak menoleh ke belakang lagi. Sudah tidak sabar rasanya mahu sampai di mejanya. Bertemu Adibah dan yang lainnya juga. Berbagai-bagai andaian berlegar-legar di benaknya. Namun senyum terus mekar di bibirnya. Hari yang baik mesti bermula dengan mood yang baik juga. Itulah falsafah hidupnya. Lagipun, kata orang tua-tua, kalau kita murah dengan senyuman, nampak sentiasa muda. Kira-kira macam petua awet mudalah. Rezeki pun mudah masuk. Tak payah beli ubat atau mekap yang mahal-mahal, senyum pun dah cukup. Senyumannya terus mekar. Lagipun, senyum itu kan penawar duka.

0 comments:

Post a Comment