Selagi Ada Rindu - Bab 6



MANA Airil? Sejak dari pagi lagi tak nampak batang hidung dia.
“Dia masih dalam mesyuarat, Datuk.”
“Oh! Okey kalau macam tu.” Datuk Imran mengangkat muka, memandang Uzma yang duduk di hadapannya. Dia tersenyum. “Macam mana dengan dia? Boleh ke Airil buat kerja?” sambungnya lagi, berkenaan dengan Airil.
Well, kalau bercakap pasal kerja, Airil memang bersungguh-sungguh melakukan tugasan yang diberikan. Rasanya tak ada masalah sangat dengan dia, Datuk. Dia pun rajin nak belajar benda baru.”
Very impressive! Good to hear that. Selama ni, pa tak pernah percayakan dia. Ma pun tau Airil macam mana, kan? Dia tak pernah ambil serius sesuatu hal tu. Nampaknya pa silap kali ni. Dia dah buktikan yang dia boleh buat kerja dengan baik. Taklah pa risau nak serahkan syarikat ni pada dia nanti. ”
“Ya, Datuk. Airil memang boleh diharapkan. Datuk kena bagi dia peluang. See, he is trying very hard  to prove it now.”
Datuk Imran mengangguk beberapa kali. Bersetuju dengan apa yang Uzma katakan. Mungkin dulu Airil kurang memberi perhatian pada benda-benda yang dia tidak minat. Tapi, bila bercakap pasal kerja, Airil memang seorang yang mementingkan kualiti dan kesempurnaan. Tidak keterlaluan kalau dikatakan dia seorang yang perfectionist. Mementingkan kesempurnaan. Kalau dia melakukan sesuatu, dia mahu semuanya berjalan lancar dan mengikut jadual dan perancangan. Enam bulan di syarikat itu, jarang mendengar projek di bawah seliaannya ada masalah. Setakat sini dan sana, masalah yang kecil-kecil, itu biasalah. Tapi, secara keseluruhannya, semua kerjanya menepati kehendak dan piawaian syarikat. Tak banyak masalah. Papanya pun sudah boleh tersenyum lebar melihat perubahannya itu. Airil memang boleh diharap. Bangga memiliki anak seperti Airil.
“Okey, kalau macam tu... Macam mana dengan projek Taman Mewah tu? Pemaju dah setuju pasal sebut harga tu, kan? They appointed us as well so this is a good chance to gain more business and afford. Ma dah suruh Airil untuk siapkan pelan bangunan dan rumah banglo yang mereka mintak hari tu? Sekurang-kurangnya, dia dah boleh mula dari sekarang. Kalau tidak nanti, clients akan ‘mengaum’ macam singa lapar kalau kita lambat submit apa yang mereka mintak nanti.”
Uzma tersenyum. Faham benar dengan apa yang Datuk Imran maksudkan. Memang begitulah selalunya. Kalau draf pelan projek dan module bangunan lambat sampai ke tangan mereka, bisinglah pejabat ini dengan deringan telefon dari mereka. Setiap jam bertanyakan project progress. Kalau setakat bertanya baik-baik, okeylah. Ini kadang-kadang siap dengan marah-marah segala. Panas telinga di buatnya. Rasa nak tertanggal pun ada.
Basically, yes. Tapi, belum secara menyeluruh lagi. Airil tengah usahakan sekarang ni, Datuk. Dia perlukan beberapa minggu lagi untuk siapkan semuanya. Rasanya tak ada masalah sebab Azlan ada membantu dia dalam hal ni. Lagipun, kita masih ada tempoh masa selama 2 bulan untuk siapkan sepenuhnya. Lebih dari cukup masa untuk kita siapkan pelan asas dalam tempoh yang ditetapkan. Jangan risau, Datuk. I’ll monitor closely with our  project teams.”
“Bagus. Dalam masa yang sama, Ma tolong monitor kerja Airil juga, okey. Dia masih baru. Masih banyak yang Airil kena tahu dan belajar berkenaan bidang ni. Walaupun dia berkelulusan dalam bidang ni, tapi teori tak sama dengan praktikal. Ma faham kan apa yang pa maksudkan ni?” Uzma mengangguk. Kemudian Datuk Imran menyambung lagi. “You have to guide him. Pa tahu, kerja Ma lebih banyak dalam pejabat, lebih kepada dokumentasi dan mengawasi project progress saja. Tapi, bila kita bercakap tentang pengetahuan dan pengalaman, Ma mempunyai kelebihan di situ. Ma dah faham selok-belok business ni dan yang paling penting Ma dah kenal ramai orang dalam bidang ni. Itu kelebihan Ma. You should teach him how to tackle the clients.
“Saya tahu, Datuk. Saya tak akan sia-siakan kepercayaan Datuk pada saya. Saya akan buat yang terbaik untuk membantu Airil. Selagi ada usaha, tak ada benda yang mustahil untuk kita capai, kan? Itu janji saya, Datuk.
Datuk Imran mengangguk beberapa kali. Memang dia percayakan Uzma. Uzma cekap dalam melakukan tugasnya. Walaupun dia berkelulusan dalam bidang kesetiausahaan, boleh dikatakan hampir semua benda dia tahu. Sebab itulah dia mengambil Uzma sebagai pembantu khasnya di syarikat itu. Kerjanya banyak yang jadi mudah bila terkena sentuhan gadis itu. Suruhlah buat apa saja di luar bidang kuasanya. Dia akan lakukannya tanpa banyak bicara. Kalau dia tidak tahu, dia akan bertanya. Kadang-kadang dia melayari Internet, mencari bahan untuk dijadikan rujukan. Dia memang seorang yang komited dalam kerja.
“Ada apa-apa lagi, Datuk? Kalau tak ada, saya sambung kerja dulu. Nak catch up dengan Maira pasal portfolio Syarikat Indah Megah tu. Lusa dah nak bentangkan dalam mesyuarat.  Mereka bagi kita projek yang agak besar kali ni. So, kena study semua faktor lebih sikit. Need to study about financial history, assets and other profits of that company.
Okey, bagus. You may go now, Uzma. Nanti tolong bagi tahu Airil, suruh dia jumpa pa bila dia dah habis mesyuarat, ya.” Datuk Imran berpesan.
Uzma sekadar mengangguk sambil tersenyum. Kemudian dia berlalu, menuju ke  biliknya. Sebelum itu dia singgah di bilik Airil dan menulis nota sebagai menyampaikan pesanan Datuk Imran tadi. Diletakkan betul-betul di atas laptopnya. Pasti Airil perasan akan nota itu bila dia masuk nanti. Kebiasaannya, perkara pertama yang akan dia buat bila berada di biliknya adalah membaca e-mel. Kemudian, barulah Uzma berlalu ke biliknya pula. Bersiap sedia untuk mengadakan perbincangan dengan Maira pula.

**********

MA, buat apa duduk dalam gelap ni? Kenapa tak buka lampu?” soal Datin Shafiza bila menyedari yang Uzma masih berada di balkoni lewat malam itu.
“Tak ada apa-apa, Umi. Saja, ambil angin malam. Lagipun lampu jalan tu terang sampai sini. Buat apa nak membazir elektrik, buka lampu. Umi kenapa tak tidur lagi? Dah lewat ni,” tanyanya pula.
“Umi tak boleh lelaplah, Ma. Panas,” jawab Datin Shafiza sambil berjalan menghampirinya. “Kita sembang-sembang boleh? Ma belum nak tidur lagi, kan?”
Uzma sekadar tersenyum. Masak benar dengan perangai Datin Shafiza. Dia memang ‘kaki sembang’. Tak kira masa. Tengah malam pun jadi kalau matanya tak mahu lelap. Hai, macam manalah mata nak tidur kalau mulut asyik nak bercakap saja. Tapi, kadangkala seronok melayannya berbual. Ada saja yang mencuit hati. Tak kering gusi.
“Duduklah, umi. Ma pun belum rasa mengantuk lagi. Tu yang duduk kat sini. Pa dah tidur ke?”
“Hmm... Tak payah tanyalah, Ma. Papa tu, letak kepala terus lelap. Penat sangat agaknya.” Ada ketawa kecil menyaingi kata-katanya.
Uzma turut tersenyum. Mana tak penatnya. Kalau orang lain yang seusia dengannya pasti sudah duduk di rumah saja. Tiap-tiap bulan ambil duit pencen saja. Tapi, Datuk Imran, makin berusia, makin kuat bekerja. Ditambah pula kebelakangan ini syarikat mereka mendapat banyak projek. Lagilah tak menang tangan dia dibuatnya.
“Kesian pa tu. Patutnya sekarang ni dia berehat aje. Airil kan ada. Dia dah boleh diharap umi. Ma tengok dia jenis yang komited dan kuat bekerja. Macam papa dia jugak.”
“Alah... Ma ni. Macam tak tahu papa tu! Selagi tulang empat kerat dia tu kuat lagi, selagi tulah dia tak tahu nak berhenti buat kerja. Papa mana reti duduk diam aje. Bukan dia tak percayakan Airil. Tapi, biarlah Ma. At least umi tahu kat mana dia selain dari ada kat rumah ni. Taklah umi risau. Kat ofis Ma ada untuk jaga papa, kan?”
Uzma tersenyum lagi. Sebesar itukah harapan Datin Shafiza padanya? Untuk ‘menjaga’ Datuk Imran ketika di ofis. Sampai begitu sekalikah kepercayaan yang diberikan kepadanya? Tak adakah sekelumit rasa cemburu atau iri hati kerana kalau diikutkan, masanya dengan Datuk Imran lebih banyak berbanding dari masa Datin Shafiza dengan lelaki itu. Dia datang ke dalam keluarga ini pun bukan dirancang sebenarnya. Semua berlaku terlalu pantas. Kalau orang lain mungkin sudah meletus perang dunia ketiga. Tapi, alhamdulillah, keadaan mereka tidak begitu. Jangan kata nak berperang, bertengkar pun tidak pernah. Aman.
Kadang-kadang Uzma terfikir, apakah kesudahan hidupnya nanti. Adakah terus tinggal di rumah besar itu atau dia akan keluar juga dalam jangka masa terdekat ini? Perhubungan dia dan semua ahli keluarga di rumah itu adalah baik. Cukup baik. Dia tahu kehadirannya di situ diterima semua. Kecuali dengan Airil. Satu-satunya ahli keluarga Datuk Imran yang tidak dapat menerima kenyataan yang dia juga sudah menjadi sebahagian dari penghuni di situ. Itulah yang menyukarkan dia sebenarnya. Berhadapan dengan Airil yang juga merupakan insan yang dia sayangi satu ketika dulu.
“Airil macam mana? Maksud umi, cara dia layan Ma. Masih marah-marah lagi ke? Airil masih desak Ma buat keputusan lagi tak? Kat ofis, dia okey tak dengan Ma?”
Pertanyaan Datin Shafiza itu menghentikan lamunannya. Dia berpaling. Menatap wajah wanita yang terlalu banyak berjasa padanya. Wanita ini masih cantik walaupun usianya sudah mencecah lima puluhan. Penampilannya juga menarik, walaupun ketika mahu masuk tidur. Buktinya sekarang ini, walau hari sudah lewat malam, dia masih tetap berpenampilan cantik. Tidaklah dibiarkan rambutnya menggerbang. Sentiasa cantik berdandan. Pakaiannya juga nampak classy walaupun hanya berpijama satin.
“Emmm... Okeylah kot, umi. Rasanya dia okey aje. Tak adalah naik angin tak tentu pasal. Biasa aje. We all pun bukan selalu jumpa. Yalah, dia sibuk dengan lakar pelan bangunan dan reka bentuk. Kadang-kadang masanya banyak habis kat tapak projek. Arkiteklah katakan. Ma pulak sibuk dengan kerja-kerja pejabat. Kalau jumpa pun masa mesyuaratlah.”
“Baguslah macam tu, Ma. Ma jangan kecik hati dengan dia, ya. Orang kecewa, macam tulah agaknya. Tapi, dia tak macam tu sebenarnya. Airil tu baik budaknya. Umi faham sangat perangainya. Ma kena sabar, ya.”
“Umi jangan risau. Ma tak kisah,” sambutnya perlahan sambil tersenyum pahit.
Kecewa. Kalau nak cakap pasal kecewa, bukan Airil saja yang rasa. Uzma juga. Tapi, ditelan semua kepahitan agar dia seorang yang rasa. Ditahan rasa terkilan sendirian. Bagi orang lain, Uzma memang seorang gadis yang ceria dan tak banyak kerenah. Tapi, jiwanya yang terhimpit dan terluka, tak seorang pun dapat berkongsi rasa. Tidak juga Airil yang mengaku menyayanginya sepenuh jiwa. Sabar? Kalau tak sabar tentulah dia tidak berada di situ sekarang ini. Kerana sabarlah dia telan semuanya walaupun tak tahan menanggung pahitnya.
Biarlah. Apa pun anggapan Airil, dia terima. Dia sudah terlalu jauh untuk berpatah balik. Kalau masa bisa diputar kembali pun, keadaan mungkin tidak akan berubah. Makin teruk adalah agaknya. Kalau bukan Datuk Imran yang menolongnya dulu, mungkin sekarang ini dia sudah ‘terkenal’ sebagai GRO ataupun perempuan kelab malam. Lebih teruk lagi kalau dia dijual pada ibu-ibu ayam. Lagi dahsyat! Kalau Airil nak kata dia tidak setia, biarlah. Kalau Airil nak tuduh dia perempuan yang gila harta, suka hati dialah. Biarlah... Janji realiti hidupnya tidak seburuk yang hampir dia jadi dulunya. Yang penting dia tahu sedalam mana kasihnya pada lelaki itu. Itu sudah memadai.
Tapi, bila memikirkan kembali keperitan yang Airil alami, dia jadi kesian pada lelaki itu. Mungkin dia patut berterus terang pada Airil tentang kisah yang sebenarnya. Tapi, mulutnya seakan terkunci. Bukan bermakna sudah hilang rasa kasihnya pada Airil. Bukan! Masih ada terselit secebis rasa yang memang tidak pernah hilang di sanubarinya terhadap lelaki itu. Rasa itu tetap tersemat kukuh di sudut hatinya sehinggalah dia menjejakkan kaki di rumah itu.
Dan rasa itu tetap membelenggu dirinya hingga ke saat ini. Cuma, dia tidak mampu menzahirkannya disebabkan ‘keadaan’ mereka yang serba rumit. Walaupun kadangkala rasa kasih melebihi segala-galanya, dia masih tidak mampu melahirkannya dalam bentuk kata-kata. Hanya ada ketikanya sikap dan perbuatannya saja yang membayangkan perasaannya. Itu pun mungkin Airil masih tidak mengerti. Manalah dia nak faham bahasa tanpa suara begitu agaknya. Sudahnya, ‘rasa’ itu dibiarkan saja.

0 comments:

Post a Comment