Cinta Kuasa TInggi - Bab 3



“APA hal kau ni, Jess? Rilekslah. Aku belum mati lagilah. Demam biasa aje ni. Yang kau sampai berbesen keluar air mata ni, kenapa?” tegur Que rimas. 
 
Mana tidak rimas. Dari mula sampai, hingga sudah mahu balik, Jess tidak habis-habis meleleh air mata. Gaya, macam dia sudah tiada dalam dunia ini saja. Apa kes sentimental tidak bertempat? 

Perempuan seorang inilah... Leceh betul. Memang pelakon air mata. Sikit-sikit ‘gerimis’. Nasib baik tidak ‘hujan’ lebat. Mahu banjir hospital itu nanti. 

Yang peliknya, ketika ketawa pun boleh keluar air mata. Ke, di dalam mata dia ada kolam? Mudah sangat melimpah keluar. 

“Mana ada aku menangis?! Air mata banyak sangat, tu yang automatik keluar tu. Kau nilah... buat aku risau, tahu tak?” kata Jess sambil menolak bahu Que dengan hujung jarinya. “Siap boleh pengsan dalam bilik Mr. El tu, apa hal? Apa dia buat kat kau? Ni mesti ada apa-apa dah berlaku ni, sampai kau pengsan kat situ. Masa kau kat dalam bilik dia tu, senyap aje. Tak sama masa Erin dan Eiz masuk, macam petir. Cuba cerita kat aku.” 

Wei! Gaya sudah seperti paparazi tidak bertauliah nampaknya. Tidak sabar-sabar mahu tahu cerita panas. Hendak korek cerita sensasi nampak! Silap oranglah Jess. Kalau gaya yang hendak buat skandel dengan bos, Erin bolehlah. Que, belum menjurus ke arah itu. 

“Ek eleh! Kau ingat, aku buat apa dengan dia? Gaya cakap tu macam aku ni penggoda kelas satu. Mr. El kau tu barulah ada tokoh gaya penggoda. Aku, nehi! Kan dah seratus kali aku cakap, aku demam. Kena hujan masa tu, kan? Tak ada sebab lain, okey.” 

“Takkanlah... kau bohong ni. Takkan sikit pun tak ada dia ‘ayat’ kau. Erin kata kat aku, Mr. El marah-marah sebelum kau masuk bilik dia.” 

Hisy, minah sengal ni! Ada yang kena debik karang. Dia ingat, semua perempuan sama ke? Asyik hendak fikir skandel saja. Macam tak ada kerja lain! Dia dengar cakap Erin tu, buat apa? Bukan Erin yang ada bersama bos masa itu. Aku!

“Bohong, dosa. Masuk api neraka. Aku tak nak masuk neraka,” jawab Que berkias. 

“Dah tu, cakaplah betul-betul,” desak Jess lagi. Gaya tidak puas hati. 

“Eeii... Kau ni tak reti bahasa ke, Jess? Aku demam. Titik.” 

“Dah tu, kenapa Mr. El risau sampai tahap tak ingat pasal kau? Aku yang kena marah dengan dia, kau tahu tak?” 

Erk! Biar betul! “Kau kena marah dengan dia?” 

Jess mengangguk laju. 

“Apa kes? Tak ada kena-mengena dengan kau pun aku demam,” sambungnya. Pelik Que rasa. Kenapa Jess pula yang jadi mangsa?

“Dia marah sebab aku tak beritahu dia siapa kau sebenarnya. Memanglah aku cakap nama kau Que, penghantar surat. Tapi, aku tak cakap yang kau ni perempuan. Tu yang dia angin satu badan. Yalah, mana aku tahu yang dia tak tahu. Aku ingat, dia dah baca semua profil staf sebelum mula kerja. Erin pun kena marah juga. Dia kata, tak sepatutnya biarkan kau naik motor dalam hujan, semata-mata nak suruh kau sampai on time masa tu.

Dia kata, dia boleh faham kalau kau tak datang sekali pun hari tu, tapi dengan penjelasan. Lepas tu, disuruhnya aku jaga kau siang malam, sampai kau okey. Tak kasi aku tinggalkan kau langsung. Nasib baik kawan serumah kau datang, gantikan aku. Tapi, yang dia marah sangat sebab aku tak bagi tahu yang kau tu perempuan. Hah, yang tu buat dia macam keluar asap dari hidung dan telinga.” 

Ternaik kening Que mendengar kata-kata Jess itu. Biar betul! Macam tidak percaya saja. Takkanlah sampai macam itu sekali kot. Jess saja buat cerita ni. Bukan boleh percaya sangat cakap dia. 

“Mengarutlah kau ni, Jess. Kau aje yang rasa dia macam tu, kot. Tak ada maknanya dia nak risaukan aku. Anyway, terima kasih sebab tolong jaga aku kat sini walaupun hanya satu malam.” 

Jess menepis angin. Tanda tidak ada masalah. Walaupun mereka agak ‘panas’, tapi ada ketika mereka jadi ‘dingin’ dan ‘sejuk’, jika kena pada tempatnya. Memang tidak dinafikan walaupun mereka sering bertegang urat, tapi mereka agak rapat jika dibandingkan dengan staf yang lain. 

Jess, walaupun mulutnya agak lepas cakap dan perangainya kadangkala menyakitkan mata, tapi dia boleh jadi ‘kawan’ juga. Lepas cakapnya nyata. Perangainya tidaklah sampai lepas laku. Dia seorang yang tidak hipokrit. Itulah dia. Bukan seperti sesetengah staf perempuan yang lain. Talam dua muka. Depan, bukan main baik lagi. Tapi di belakang, ‘buat ketupat’ tidak masak-masak. Plastik lut sinar! 
“Dua malamlah.” 

“Yang satu malam lagi tu, aku jaga diri aku sendirilah. Jess, siapa yang angkat aku masa aku pengsan tu?” 

“Siapa lagi? Mr. El lah. Dah dia aje lelaki yang tinggal masa tu. Orang lain dah keluar lunch. Pandai kau pilih masa nak pengsan, kan? Masa orang lain dah tak ada, baru kau tumbang,” usik Jess dengan senyum simpulnya. Keningnya diangkat beberapa kali, memancing reaksi Que. 

Que terkedu mendengar semua itu. Malunya! Eh! Tapi masih berlapis lagi, kan? Tidak adalah dia sentuh kulit. Dia hanya niat hendak tolong. Ya. Bersangka baik sesama insan. Jangan fikir yang sebaliknya. 

“Bunyi macam cemburu, aje? Kau ingat aku set masa ke, bila nak rebah tu? Apalah kau ni... Tak habis-habis nak prasangka buruk kat aku.” 

“Macam mana tak cemburu. Aku ni, nak suruh dia tengok muka aku pun susah. Apa lagi pegang tangan. Kau, siap dia angkat dan hantar sampai hospital ni lagi. Lepas tu, boleh suruh aku jadi ‘babysitter’ kau pula. Bagi arahan sesuka hati dia. Tak kuasa aku.” 

Que gelak. “Kalau macam tu, esok lusa, kau pengsanlah pulak dalam bilik dia. Tengok apa dia buat.” 
“Gila! Cari nahas namanya tu.” 

“Tahu pun. Dah tu, apa hal nak menggatal suruh dia pegang tangan kau pulak? Aku bagitahu boyfriend kau nanti, baru tahu.” 

“Alah, kau ni... Aku cakap aje. Bukan suruh dia buat betul-betul pun. Tapi kan Que, bos baru kita tu lain sikitlah.” 

Aduh, Jess dah mula nak bergosiplah tu! 

“Kenapa kau cakap macam tu? Makhluk dari planet mana pula dia tu? Apa yang lainnya?” 

“Ceh! Kau ni! Bukan tu maksud akulah... Yalah, kau tengok contohnya aku ni, okey. Selalunya, lelaki tak pernah tak pandang aku. Cara aku berpakaian, berdandan, berjalan, semua jadi perhatian. Tapi, Mr. El tu macam rabun aje. Sikit pun tak puji aku ke, apa ke, macam lelaki lain. Tengok aku sebelah mata aje.” 

Que gelak lagi. “Gila publisitilah kau ni, Jess. Oh, sebab dia tak puji kau cantik, kau bergaya, tu maknanya dia rabunlah? Kau ni pun... dia kan baru aje mula kerja. Belum ada peluang nak tilik dan puji kau, kot! Kenal pun tak lagi. Esok, lusa, dipujinya kau melangit, tak cukup tanah kau nak berpijak. Mahu jalan pun tak jejak bumi. Tak pun jatuh tergolek-golek.” 

“Tak ada maknanya! Dia memang tak ada perasaan punya orang. Percayalah cakap aku. Muka ketat! Senyum pun payah! Dah tu, tahu nak mengarah aje kerjanya. Eh, tu memang kerja dia, ek? Dah namanya bos. Tapi, memanglah dia tu. Hati keras macam kena simen. Beku!” 

Mak aii! Siap tahu hati keras macam kena simen. “Aik! Cakap, gaya marah aje.” 

“Eh! Ya, ke? Macam marah, eh? Tak adalah... ‘Lepas geram di Era’ aje.” 

Kedua-duanya ketawa. Cerita, entah apa-apa. Lari tajuk. Memang sudah lari skala pun. Boleh pula Jess ini buat sesi luahan rasa yang terbuku di kalbu. Yang Que pula, macam biasalah. Tadah telinga, dengar saja. Dia kan diibaratkan ‘pendengar yang baik’ di pejabat itu. Nama hendak bagi komen lebih-lebih, minta ampun. Bukan dia orangnya, ya. Setakat dengar, tidak apa. Tidak rugi sesen pun. Nasihat sipi-sipi, bolehlah. 

Tiba-tiba suasana menjadi senyap seketika. Langsung tidak berkutik. Muka masing-masing sudah agak berkerut dan mula pucat. Bunyi keriut pintu dibuka, meraih perhatian mereka. Di muka pintu, berdiri segak El sambil memandang mereka tanpa riak. Namun, senyuman di wajah lelaki itu bagai menyimpul makna. 

Que dan Jess saling berpandangan sambil menelan air liur yang terasa kesat. 

“Amboi! Bukan main lagi awak berdua mengutuk saya, ya? Langsung tak toleh kiri kanan. Saya nak nasihatkan, cakap siang, pandang-pandang...” katanya sambil terus mara menuju ke arah sofa yang tersedia. Dia duduk santai di situ. Bersahaja. Tiada reaksi selanjutnya.

Que dan Jess sudah merona merah wajah mereka. Tersedar bahawa apa yang mereka bicarakan sebentar tadi didengari oleh lelaki itu. Dan yang paling tidak seronok, intipati persoalan yang mereka bicarakan adalah tentang lelaki itu. Aduhai, mana hendak letak muka!

0 comments:

Post a Comment