Selagi Ada Rindu - Bab 7



AIRIL melangkah laju menuju ke bilik Datuk Imran. Panggilan yang diterimanya sebentar tadi betul-betul membuatkan jantungnya berdegup kencang. Dari nada suara papanya, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena. Pasal projek Taman Mewahkah? Rasanya projek itu berjalan lancar. Semua pelan bangunan sudah diserahkan untuk penelitian. Semuanya okey dan mengikut jadual yang ditetapkan. Apa masalahnya? Dia jadi bingung. Mana-mana staf yang menyapanya, hanya dibalas dengan senyuman. Bukan seperti kebiasaannya, berhai-hai dan berbual seketika.
Anis tiada di tempatnya. Airil bercekak pinggang sambil memerhatikan sekeliling. Mahu menunggu Anis terlebih dahulu atau terus masuk, fikirnya. Namun dia memilih untuk masuk sahaja. Kalau nak ditunggu takut Anis mengambil masa yang lama pula untuk kembali ke tempatnya. Hatinya sudah tidak keruan ketika itu. Seperti dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku tanpa pengetahuannya. Lagipun suara papanya tadi membayangkan macam ada sesuatu yang tidak kena. Dia memang mahu tahu sangat-sangat.
Tanpa mengetuk pintu dia terus meloloskan diri ke dalam bilik papanya. Dia terpempan. Bukan mata papanya saja yang terarah kepadanya. Uzma juga ada di situ. Wajahnya keruh. Dahi Airil berkerut. Jarang dia lihat Uzma berkeadaan sebegitu. Selalunya dia ceria sahaja. Kali ini dia lihat wajah itu muram. Dia meneruskan langkah menghampiri papanya dan Uzma yang sedang menanti di sofa.
Yes, papa. Ada apa-apa yang tak kena ke? Uzma?” Dia terus bertanya tanpa sempat duduk.
Uzma mengangkat muka tapi hanya sebentar. Dia menunduk semula. Kekeruhan di wajah Uzma benar-benar membuat dia tidak keruan. Rasanya ini bukan pasal kerja.
“Ril, duduk dulu. Papa nak mintak tolong kat Ril satu benda ni.”
Airil akur. Dia duduk berhadapan dengan papanya dan Uzma. Rasanya itulah posisi terbaik untuk dia melihat wajah gadis itu yang sudah hilang cerianya. Apa sebenarnya yang berlaku ya? Dia benar-benar ingin tahu.
“Ya, pa. Teruskan, apa dia?” Dalam menjawab itu matanya tidak lepas-lepas memerhati Uzma yang sedang menunduk. “Ma, kenapa ni? Kenapa menangis pulak?” sambungnya lagi bila melihat bahu Uzma terenjut-enjut menahan tangis. Airil jadi keliru. Dalam masa yang sama kerisauan juga menjenguk kamar hatinya bila melihatkan keadaan Uzma begitu.
Direnung wajah papanya, minta penjelasan. Cuak juga bila melihat Uzma begitu. Tadi wajahnya keruh. Ini sudah menangis pula. Sedang papanya kelihatan masih tenang walau sesekali terlihat wajahnya berkerut. Bagai memikir sesuatu. Atau, papanya sudah lakukan ‘sesuatu’ pada Uzma? Takkanlah pulak, cepat-cepat disangkal permainan mindanya itu.
Perlahan-lahan Datuk Imran menyuakan sekeping kertas padanya. Airil mengangkat kening. Tapi, disambut juga kertas itu lantas ditatap isi kandungannya. Dia membaca dalam hati. Masih tenang dalam teruja ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku. Sebutir-sebutir dibacanya perkataan yang tertera.

Kalau mahu selamat, bayar balik hutang ayah kau. Sediakan setengah juta dan aku akan hubungi kau nanti. Kalau tidak, kau dan ayah kau tak akan selamat.

Airil mengerutkan dahi. Benarlah telahannya tadi bahawa ada sesuatu yang berlaku tanpa pengetahuannya. Agak terperanjat sebenarnya membaca nota berbaur ugutan yang Uzma terima. Gadis ini memang ada masalah rupa-rupanya. Cuma, dia tidak pernah mahu berkongsi dengan orang lain kecuali papanya mungkin. Itu yang membuatkan dia tidak puas hati dengan Uzma. Sering kali menyembunyikan sesuatu darinya. Sampai saat ini pun Uzma masih ‘berhutang’ penjelasan tentang apa yang pernah terjadi pada mereka satu ketika dulu.
“Kenapa sampai jadi macam ni? Ril tak fahamlah.”
“Panjang ceritanya, Ril. Tapi sekarang ni, kita kena cari jalan penyelesaian dulu.” Terang Datuk Imran datar.
Airil mengangguk.
“Bila Ma dapat surat ni? Ada dia cakap apa-apa lagi tak?” Airil menyoal bagaikan seorang polis lagaknya.
Datuk Imran menoleh ke arah Uzma. Memberi isyarat agar Uzma menjawab pertanyaan Airil. Uzma teragak-agak. Sebenarnya dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan. Dari sudut mana harus dia ceritakan. Fikirannya memang terlalu buntu. Dia bingung sebenarnya.
“Hmm, dia orang bagi surat ni baru lagi. Masa Ma balik dari jumpa client tadi. Tiba-tiba aje ada tiga orang datang dekat kereta Ma. Tolak pintu kereta tak bagi Ma masuk.”
“‘Dia orang’ tu siapa? Ma kenal mereka?” Airil bertanya lagi.
Uzma sekadar menggelengkan kepalanya.
Ada dia orang buat apa-apa kat Ma? Maksud Ril berkasar dengan Ma ke, apa ke? Ada?”
Uzma menggeleng lagi. “Tapi, they all bagi Ma amaran supaya jangan laporkan perkara ni pada polis.”
Airil mengeluh kasar. “Shit!” bentaknya kasar. Dia seperti sudah dapat menduga apa yang bakal Uzma katakan tadi, ‘jangan lapor pada polis’. Itulah senjata pengugut. Balik-balik jangan lapor pada polis. Dah macam cerita wayang pulak. “So, apa yang papa nak Ril buat sekarang ni?”
Nothing specific yet. Tapi, buat masa sekarang ni, boleh tak kalau Ril awasi keadaan Uzma dalam semua hal. Maksud papa, Ril kena pastikan keselamatan Uzma dalam keadaan apa juga. Tak kiralah kalau Ril kena temankan dia ke mana aje dia pergi atau upah pengawal peribadi untuk dia. Itu terserah pada Ril. Apa yang papa nak, Ril pastikan keselamatan Ma. Boleh tak Ril lakukan itu untuk papa?”
Lama Airil mendiamkan diri. Dia menekur, memandang lantai marmar yang cantik berkilat. Mungkin tengah berfikir. Datuk Imran dan Uzma tenang menanti jawapannya. Kemudian dia memandang wajah papanya dan Uzma silih berganti. Uzma jadi tidak selesa. Apa sebenarnya yang bermain di fikiran Airil agaknya? Dia menunduk kembali. Kepalanya sudah sarat memikirkan surat ugutan itu. Sudah tidak nampak jalan penyelesaian dalam keadaan begini. Hanya kebuntuan.
“Okey, Ril akan buat seperti apa yang papa mahukan. Ril akan pastikan keselamatan Uzma,” katanya sambil melirik ke arah Uzma. Tajam pandangannya. Juga dalam renungannya.
Uzma menelan air liur. Lain macam saja cara Airil bercakap. Macam ada maksud lain yang tersirat saja. Namun Uzma sedikit pun tidak bersuara.
“Papa jangan risau. Ril taulah apa nak buat nanti. Tapi pa, benda ni dah jadi perkara serius. Takkan nak biar macam tu aje. At least kita mesti bagi tahu polis jugak. Bahaya kalau terus macam ni. Keselamatan Uzma, keselamatan keluarga dia.” Airil menyuarakan rasa tidak puas hatinya juga. Dalam kes macam ini mana boleh bertindak sendirian. Bukan Uzma sahaja yang berada dalam keadaan bahaya. Mereka sekeluarga juga mungkin terlibat sama.
“Papa tahu. Perkara tu biar papa yang uruskan. Papa tahulah nak buat macam mana. Lagipun papa ada kawan kat Bukit Aman. Nanti papa jumpa dia. Tugas Ril sekarang ni, pastikan keadaan Uzma. That’s all.”
Sure. Papa boleh percayakan Ril. Ril tak akan kecewakan papa. When it comes to Uzma, that will be my priority then.” Itu katanya.
Datuk Imran sekadar tersenyum. Senyum tanpa makna. Uzma pula terkedu. Isy, Airil ni! Dalam keadaan macam ni pun masih sempat nak tunjuk sikap jiwang karatnya itu. Taulah yang Airil tu memang mengambil berat tentang dirinya. Tapi, tak perlulah ditunjukkan sangat di depan papanya pula. Mengada-ngada! Isy! Bencinya... Umpama keluar dari mulut buaya, masuk pula ke mulut naga. Aduhai...

**********

SUDAH satu jam Uzma berada di bilik pejabatnya. Akan tetapi, satu benda pun masih tidak dia mulakan. Dia hanya melirik pada fail-fail yang bertimbun di atas mejanya. Namun, naluri untuk memulakan tugasan belum ada. Masih berfikir-fikir dan terkenang-kenang pada apa yang pernah terjadi dan berlaku sekarang terhadap dirinya. Sekejap dia bingung. Sekejap dia rasa seperti mahu menangis. Sekejap pula, dia rasa seperti biasa-biasa saja. Lama-lama, dibiarkan saja semua rasa itu melewati mindanya yang tengah berserabut. Berserabut dengan masalah di pejabat, juga masalah peribadi yang memang sengaja dia cari. Inilah namanya yang orang selalu kata cari penyakit.
Bukan dia tidak sedar, ‘kemunculannya’ di rumah besar itu bakal mengundang berbagai masalah. Tapi, dia teruskan juga. Bukan dia tidak tahu bahawa akan ada hati yang terluka dengan perbuatannya. Tapi, dia nekad untuk melakukannya. Dan yang paling parah, hatinya sendiri ‘sakit’ dengan apa yang dia lakukan. Bukan setakat melukakan hati orang lain, tapi hati sendiri juga. Sehinggalah hari di mana perkara ini tidak mampu diselindungkan lagi. Hari di mana kekasih hatinya pulang ke tanah air.

**********

MALAM itu seperti kebiasaannya Uzma tidur lewat. Hampir ke pukul 1.00 pagi baru dia masuk ke biliknya. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia terus melayari Internet, mencari bahan-bahan rujukan untuk projek terbaru mereka. Mengkaji dan meneliti reka bentuk pelan perumahan yang mendapat sambutan. Ada ketikanya dia juga membuat perbandingan pelan asal dan pelan ubahan jika perlu. Tapi, disebabkan tuntutan mata yang tidak mampu ditolak ke tepi, dia akur. Kalau tidak, hari berikutnya dia akan tersengguk-sengguk di pejabat, menahan rasa mengantuknya. Mahu matanya merah macam biji saga nantinya.
Ketika dia masuk ke biliknya, semua penghuni lain di rumah itu sudah tidur lena. Hanya dia saja yang selalu berjaga sampai lewat malam begitu. Kalau tidak menyambung tugasan di pejabat, dia hanya bersantai menghadap laptopnya. Chatting dengan kawan-kawan alam sibernya, atau kadang-kadang sekadar bermain games sahaja. Satu cara untuk dia menghilangkan rasa tension bekerja. Paling tidak pun dia akan berchatting melalui web-cam dengan Rina yang masih belajar di USA. Tak pun mereka berbicara melalui skype video call. Berkongsi cerita dan masalah juga. Itulah kebiasaannya.
Disebabkan rasa penat dan terlalu mengantuk, dia terus menuju ke katil. Merebahkan diri di situ dan tidak sampai beberapa minit, dia sudah terlelap. Selamat belayar di alam mimpinya pula. Sudah tidak sempat untuk membersihkan muka seperti selalunya. Tapi, apa-apa hal pun dia tetap akan menyalin pakaiannya ke ‘pakaian tidur’ wajibnya iaitu hanya berseluar pendek separas paha dan T-shirt tanpa lengan. Itulah yang selalu dia pakai ketika tidur. Panas!
Walaupun bilik itu dilengkapi dengan penyaman udara, dia jarang menggunakannya ketika malam hari. Dia lebih gemar membuka sedikit daun tingkap dan membiarkan udara malam yang segar masuk. Sudah menjadi kebiasaannya sejak dari dulu lagi. Sebab itulah dia suka berpakaian sebegitu ketika tidur. Dan sehingga kini pun hak privacynya itu walau di mana-mana bilik sekalipun belum pernah dilanggar. Jadi tiada sesiapa yang tahu akan itu kecuali Rina yang sesekali tidur di biliknya. Tapi, ia tetap menjadi rahsia antara mereka. Sebab itu dia rapat dengan Rina. Semua rahsianya tersimpan kukuh pada Rina. Itu yang penting.

**********

AIRIL tiba lewat malam itu. Penerbangannya tertunda lebih empat jam kerana ada sedikit masalah. Agak cemas juga pada mulanya kerana kepulangannya ini memang tidak diberitahu kepada semua ahli keluarga. Saja mahu buat kejutan. Kalau ‘sangkut’ di KLIA nanti bagaimana? Tapi, bila memikirkan teksi bersepah di situ, dia masih mampu mengukir senyum. Sepatutnya dia pulang dua bulan lagi. Cadangannya mahu melawati beberapa tempat yang menarik di Australia tapi, dibatalkan niat itu pada peringkat akhir kerana beberapa sebab. Lagipun bukan dia tidak pernah ke tempat-tempat tersebut. Cuma tidak lama. Biarlah kawan-kawannya saja yang meneruskan niat itu. Kalau ada rezeki, bila-bila masa pun dia boleh pergi lagi.
Tiba saja di KLIA, dia terus mengambil teksi untuk pulang. Untuk menelefon papa atau umi, tidak rasanya. Dahlah nak balik pun mereka tidak di beritahu. Takkanlah nak menyusahkan mereka tengah-tengah malam macam ni. Malam apanya! Sudah hampir pukul 2.00 pagi. Kalau penerbangannya mengikut jadual tadi, pukul 10.00 malam dia sudah tiba. Tapi, tak kisahlah. Janji dia selamat sampai ke tanah air. Bukan pulang kosong. Dia juga membawa pulang bersama apa yang papa dan umi harapkan. Kejayaan. Pasti papa dan uminya bangga dengan dia. Dia juga antara pelajar Asia yang tersenarai dalam senarai dekan di sana. Antara pelajar yang sentiasa cemerlang dalam setiap semester.

0 comments:

Post a Comment