Cinta Kuasa Tinggi - Bab 2



Que menghempas beg dokumennya ke atas meja. Helmet sudah terperosok di bawah meja kerjanya. Jaket kulitnya dihempas ke penyandar kerusi. Hati panas! Badan pun sudah hendak panas sama. Kepala sudah rasa lain. Pening-pening lalat. Hidung juga mula berair. Mata pula rasa pijar. Hendak demam, ke? 

Yang tidak seronoknya tadi, masa buka saja pintu pejabat, semua mata tertumpu ke arahnya. Apa, ingat anak Datuk atau artis masuk, ke? Siap pandang atas, bawah. Macamlah dia tidak pakai baju. Siap ada yang cuba tahan gelak. Lawak sangat ke masuk pejabat dalam keadaan basah lokos? Itu belum campur motosikalnya kena sondol lagi! Sengallah mereka ni! Lain kali, tunjukkan rasa simpati ke, sikap prihatin ke, pada insan teraniaya seperti dia. Ini tidak! Tahu hendak gelakkan orang saja. Sungguh tidak berhemah dan gagal tatasusila betullah. 

Terlihat saja kelibat ‘PA tidak sedar diri’ jalan melenggang ke arah mejanya, Que sudah buat muka bosan seperti selalu. Ini lagi satu bala. Menyibuk saja kerjanya. Semua dia mahu ambil tahu. Skop kerjanya di pejabat itu sebagai pegawai pentadbiran. Tapi, lagak mengalahkan dia adalah ‘boss right hand’ di situ. Lecehlah perempuan ni. 

Que sengaja menyibukkan diri dengan memeriksa alamat surat-surat yang perlu dia hantar sekejap lagi. Sengaja buat-buat tidak nampak ‘PA tidak sedar diri’ itu sebenarnya. Bertambah sakit mata dan sakit hati nanti. Potong mood hendak bekerja dengan penuh dedikasi. 

Kemudian, dia sengaja berpaling membelakangkan ‘seterunya’ dan menyibukkan diri dengan menepis-nepis baju-T dan corduroynya yang juga basah. Konon mahu kurangkan kebasahan. Padahal sudah memang lencun pun.  

“Bos nak jumpa kau sekarang.”

Si ‘PA tidak sedar diri’ itu sudah bagi mukadimah. Tahulah dia merupakan utusan bos. Tapi, tidak payahlah hendak berlagak lebih-lebih pula. Ada yang kena penampar Jepun nampak gayanya ini. 
Que masih menyibukkan diri dengan entah apa-apa benda entah. Janji, tidak tertumpu pada perempuan seorang yang sedang berdiri di partitionnya itu. 

“Hei! Dengar, tak? Pekak ke apa kau ni, Que?” 

Que lipat maut ke arah ‘PA tidak sedar diri’ yang sudah memeluk tubuh, juga memandang tajam kepadanya. Hisy! Bagi jelingan manja pula. Ingat dia takut, ke? Itu jelingan mahu menggoda namanya. Bukan jelingan bagi amaran. 

“Kau tak nampak ke, aku tengah buat apa, ni? Sekejap lagi, aku pergilah mengadap tuan besar tu! Nampak ni, habis semua baju, seluar aku basah lokos ni. Karang banjir pula bilik dia.” 

“Tak kira! Kau pergi sekarang. Nanti dia mengamuk pula. Dah banyak kali dia tanya, mana kau. Pergi cepat!” arah si ‘PA tidak sedar diri’ lagi. 
 
‘Eeii! Kau ni, tak reti bahasa ke, apa?’ herdik Que dalam nada yang terkawal. 

“Erin! Budak tu dah sampai ke belum?” Tiba-tiba satu suara menegur Erin. 

Kelam-kabut Erin berpaling dan buat muka manis terlebih sukatan gula. Kontrol ayu. Meluat Que melihat daripada ekor mata sambil mencebir. Ketika itu, dia sudah pun melabuhkan punggungnya, menulis sesuatu di buku log sebelum terlupa. Memang tiada hati untuk beramah mesra dengan bos baru mereka itu. Apatah lagi mahu membelek wajahnya. Buang karen saja. 

“Dah Mr. El. Dia baru aje sampai ni,” jawab Erin lembut. 

“L? Tak ada nama lain ke? Mr. Saiz L ke, apa?” Que mengguman perlahan sambil menahan senyum. 
Perempuan ini pun... Hendak jawab lemah lembut begitu, kira okeylah. Memang patut pun bercakap dengan bos macam itu. Tapi, apa kes yang badan pun terliuk-lentok sekali? Patah tulang, ke? Semakin meluat Que dibuatnya. 

“Suruh dia masuk bilik saya sekarang juga!” arahnya tegas. 

“Baik, Mr. El.” 

Derap kaki kedengaran meninggalkan kawasan itu. Pasti bos mereka itu sedang menuju ke biliknya. Sepantas kilat pula Erin menoleh ke arah Que yang masih bersahaja. Seperti tiada apa-apa yang berlaku. Buat selamba dek dia saja. Kadangkala, Erin pelik tengok Que. Sentiasa berada di dalam dunianya sendiri.

Yalah... buat apa sibukkan dunia orang, kalau dunia sendiri lebih memberi erti. Ya, tidak? Satu lagi, dia bukan jenis yang suka ambil tahu hal tepi kain orang lain macam Erin. Bukan termasuk dalam skop kerjanya pun. Bukan dapat apa. Dapat dosa, sudah pasti. Cukuplah dengan kekurangan dan dosa yang sudah sedia ada. Tidak perlu ditambah lagi. 

“Dengar tu! Bos cari kau.” 

“Dengar...” jawab Que sambil lewa. Dia masih menyibukkan diri dengan meneliti beberapa nama tempat yang akan dia tujui, di buku log yang tersedia. 

“Dah tu? Yang duduk sini lagi, buat apa? Pergilah jumpa dia cepat.” 

“Tahulah...” balas Que sambil memberikan jelingan tajam kepada Erin. Namun, dia masih tidak berganjak. 

Erin rasa seriau melihat perangai Que. 

“Apa pandang aku macam aku tak pakai baju, ni?” sergah Que bila Erin masih tunak memerhatikan dirinya yang konon-konon sibuk benar itu. 

“Kau boleh tak jangan cari pasal, Que? Orang kat dalam tu ‘berangin’. Bukan macam bos lama kita tu. Kau buat apa pun, dia tak kisah. Yang ni, lain. Silap-silap, kau kena sembur dengan dia nanti.” Erin mengingatkan. 

Que menjongketkan keningnya. Sukar untuk percaya yang ‘PA tidak sedar diri’ ini boleh bagi ‘usrah’ ala-ala majlis ilmu berguna macam itu. Selalunya, kalau tidak mengutuk dirinya, tidak mengata yang bukan-bukan, bukan Erin namanya. 

“Sayang juga kau kat aku ya, Erin. Siap bagi nasihat berguna lagi. Terharunya aku,” usik Que dengan senyum singainya.

Erin menjegilkan matanya. “Eeii! Apa kes aku nak sayang kau. Not my taste at all! Dapat bala kalau aku suka kat kau, tahu tak? Allah murka! Aku bagi amaran kat kau ni. Mana ada sayang-sayang. Baru kejap tadi Eiz kena marah pasal ledger ada silap sikit aje. Sampai kat luar boleh dengar tahu, tak? Dah, pergi cepat. Karang dengan aku sekali kena panggil masuk. Tak sanggup!” bebel Erin sambil mengipas dirinya dengan jari-jemari. 

“Eleh... tak sanggup ke, suka? Kau tu, bukan boleh nampak mamat bergaya lagi berjawatan tinggi macam tu. Menggeletik aje, kan? Tak senang duduk. Mesti dalam kepala otak kau tu dah berkajang cara-cara nak memikat... siapa nama dia tu? Hah! Mr. El. Kan?” 

“Sengal kau! Mengata aku tak ingat-ingat. Habis tu, boyfriend aku tu nak letak mana? Dah, pergi sana! Menyemak mata aku tengok kau lama-lama. Menyampahlah dengan kau ni! Kalau aku dapat Mr. El nanti, baru padan muka kau.” 

Que sudah pecah tawa. Galak. Sekali lagi dia menjadi tumpuan. 

Erin menoleh dan mencerun memandang Que dengan maksud, jangan main-main. Belum kena bolehlah gelak sakan. Sudah kena nanti, menangis tidak berlagu. Macam itulah lebih kurang apa yang mahu Erin sampaikan melalui renungannya yang tidak mengancam langsung itu. 

Lantas, Que mencapai jaket dan disarungkan semula ke badan. Tutup sikit baju yang basah. Malulah orang tengok, baju melekat di tubuh. Macam tengok wayang percuma saja. Itu baru betul tidak sanggup. 

“Hoi! Kau nak pergi mana tu, Que?” tegur Erin, bila Que menonong saja meninggalkan dia di situ. Tanpa pesan, tanpa pamitan. 

“Nak jumpa ‘Mr. Saiz L’ kau tulah,” jawab Que selamba tanpa menoleh ke arah Erin langsung. 
Erin hanya menggeleng kepala mendengar jawapan balas daripada Que. Itulah dia insan yang bernama Que. Selamba gila tidak mengira masa. Ikut suka dia saja hendak ‘saiz L’ kan orang.

DENGAN santai, Que memulakan langkah menuju ke bilik bos barunya. Muka, memang selamba gila. Tenang setenang-tenangnya. Tapi, hati di dalam sudah macam bom jangka. Tunggu meledak saja. Siapa yang tidak cuak. Tapi, dia selindungkan dengan lagak selamba. Apa yang penting, dia mempunyai alasan yang kukuh kenapa dia lewat hari itu. Ya. Kena yakin pada diri. Berani kerana benar. Itu yang penting. 

Que mengetuk pintu yang tertutup rapat. Tutup pula! Dulu, masa Encik Ariffin, tiada maknanya hendak tutup pintu segala. Dari hujung tempat duduknya pun boleh terkilas kelibat Encik Ariffin di dalam biliknya. Ini, siap tutup rapat lagi. Apa rahsia besar yang mahu disembunyikan daripada staf-staf, ya? 

“Masuk!” 

Terdengar suara menyuruh dia masuk. Tegas. 

Aisey! Bakal kena sembur ke ni? Terasa bagai ada aura seperti ‘bahang asmara’ membadai saja nampak gayanya ini. Dengan lafaz Bismillah, Que membuka pintu dan masuk. Terus dia mara melangkah. 

Close the door, please.” Lembut suara itu mengingatkan. Menyindir sebenarnya. Maksudnya, Que tidak peka yang dia itu tidak suka membiarkan pintu biliknya ternganga. 

Boleh tahan juga bos baru ini. Kepala, tunduk buat kerja. Mata pula, tertancap pada dokumen yang sedang diteliti, tapi sedar pula yang pintu biliknya ternganga. Telinga tikus betullah. Hebat! Hisy! Terpuji dia lagi. Lidah ini hendak kena ikat agaknya. 

Que berpaling semula dan menutup rapat pintu itu. Yalah, salah dia juga, kan? Kenalah akur. Hisy, lemaslah. Dengan pintu tertutup rapat dan hanya mereka berdua dalam bilik itu. Sungguh tidak meyakinkan akan aspek-aspek keselamatan jika begitu. Tapi, bos yang bagi arahan. Kenalah ikut. Selagi tidak mengancam keselamatan dan kewibawaan diri, harus dipatuhi. Etika dalam bekerja juga, kan? 

“Duduk.” 

“Tak apa, encik. Saya basah.” 

Serta-merta wajah yang menunduk dan tekun membuat kerja itu, terangkat mencari wajahnya. Berkerut wajah lelaki itu memerhatikan dirinya. Atas, bawah. Lepas itu, dari bawah, ke atas semula. Sampai senget sedikit badannya kerana hendak melihat sehabis jelas agaknya. Apa kes ini? Hendak scan sampai begitu sekali. 

“Saya nak jumpa Que, bukan awak.” 

Suara bos baru itu seakan-akan keliru. Terus tegak duduknya sambil tidak habis-habis memerhati. Rasa macam orang bersalah pula, bila diperhatikan sedemikian rupa. 

“Betullah tu. Saya, Que. Bos nak jumpa sayalah, kan?” 

Sekali lagi, tajam renungan lelaki itu mengimbas dirinya. 
“Perempuan?” 

Que buat muka pelik. “Nampak saya ni, macam lelaki ke?” Dia memulangkan soalan sambil 
membelek diri sendiri. Okeylah ni. Tidak nampak macam lelaki pun. Apa hal dengan mamat ini? 
No. I thought, Que was a guy.” 

“Kan tadi bos dah bercakap dengan saya melalui telefon. Suara lelaki ke yang bos dengar?” 
“Tak berapa perasan tadi. Lagipun, suara you macam garau dan serak sikit dalam telefon. Sorry, my mistake.” 

‘Laa... nak kata sengal, karang dia tanya balik siapa bagi mandat aku cakap dia sengal. Sah lagi sahih aku ni perempuan. Perempuan Melayu terunggullah!
 
Okey,” katanya sambil menjongket bahu. “Saya Qaid El Arash, bos baru awak. Tolong perkenalkan diri awak dan tugas awak di sini dalam masa lima saat, seringkas mungkin.”
 
Macam tu pula? Malas hendak baca profil pekerjalah tu. Kalau tidak, takkan tidak tahu yang Que ini perempuan atau lelaki.  

Ketika itu, Qaid El Arash sudah pun bangun dan sedang mara berjalan ke arah Que. Dia berdiri betul-betul di hadapan Que. Mak aii! Tinggi juga dia. Que hanya di paras bahunya sahaja. Kenalah mendongak sedikit. 

“Qiss I...” Serta-merta badannya menyenget ke barat sebelum sempat dia menghabiskan ayatnya. Wajahnya juga sudah mula direntangi kerutan. Apa tidaknya, tiba-tiba saja si mamat nama pelik ini mendekatkan mukanya dengan muka Que. Cuak gila! Apa hal mamat ini? 

Pantas ditolak kasar tubuh itu dari membayangi tubuhnya. Lebih tepat, tindakannya itu untuk menjarakkan wajah lelaki itu daripada wajahnya. Eeii... rimas! 

What?” tanya El bersahaja dengan kedua-dua tangan terbuka. Mamat itu buat muka tidak bersalah langsung. 

“Bos nak buat apa, ni? Takkan sesi temu ramah, sampai macam ni sekali? Menyeramkan...” balas Que, masih lagi cuak. 

“Laa... bukan ke tadi awak yang suruh saya ‘kiss’ awak?” 
Que tercengang-cengang.

‘Aku? Suruh dia ‘kiss’ aku?’ 

“Bila masa pulak bos?” 

“Bukan baru tadi awak cakap; ‘kiss I...’, mesti awak nak cakap; ‘kiss I, Mr. El...’ kan?” 
Hah?! 

“Gila! Merepek aje bos ni. Tadi tu, saya nak beritahu nama saya, Qiss Irish. Singkatan dari, Balqis Nur Irish binti Qamal Latif. Mana ada saya suruh bos ‘kiss’ saya.” 

El ketawa lepas. Selamba saja dia tanpa sedikit pun menunjukkan riak bersalah. Memang selamba gilalah dia ini. Selamba gila + menyeramkan = tak elok untuk kesihatan. 

I see... so, it’s your name. Qiss Irish...” El mengalunkan nama itu semula. Sedap disebut. Tapi sayang, tidak sesedap mata memandang. Dia menilik wajah Que tanpa sedar. Wajah ayu, tapi dress code, out. Lebih kepada lelaki. With jean, t-shirt and leather jacket, provided with baseball cap and sport shoes. Tidak nampak feminin langsung walaupun susuk tubuhnya memang feminin habis. Sangat tidak sesuai untuk gadis seayu Que. Tengok, nama pun ala-ala pelik begitu. 

“Tapi semua staf kat sini panggil saya Que aje. Mudah dan ringkas. Penghantar surat merangkap office girl kat sini. Baru empat bulan bekerja dan saya sukakannya. Itu saja, bos.” 

Lelaki itu mengangguk beberapa kali. Sedang menimbal balik apa yang Que katakan mungkin. 
Do call me El, enough. Mudah dan ringkas.” Dia meminjam kata-kata Que sebentar tadi sambil mencarik senyum. 

Sure do, Mr. El. But I prefer to call you, boss. More convenient I suppose.” 
El hanya mengangkat bahu. 

“Berbalik pada perkara tadi, hari pertama saya di sini dan awak datang lambat. Care to explain?” 
Laa... sah rabun mamat ni. Buta, tak mungkin. Buta hati, mungkin. Que pula buat imbasan tentang lelaki itu secara tidak langsung. 

“Hujan.” Ringkas jawapan Que.

“Saya tak terima alasan tanpa penjelasan. Habis tu, kalau hari-hari hujan, awak memang datang lambatlah, ya?” 

Cis! ‘Cheese cake’ betullah dia ini! 

“Tak. Hari ni aje. Selalu tu kalau hujan, saya tumpang kawan.” 

“Habis tu, hari ni kenapa tak tumpang kawan?” 

“Kawan saya tak ada. Saya naik motorlah. Macam biasa.” 

“Oh!” 

Matanya mengimbas Que semula. Mungkin sedang mencantumkan ‘puzzle’ dalam otaknya. Matanya merenung Que tajam. Yalah, perempuan yang berdiri di depannya kini, berpenampilan lain sedikit. Jika tidak lihat betul-betul, memang mata salah mentafsir bahawa dia lelaki. Dengan badan yang tidaklah terlalu kurus dan juga tidaklah terlalu berisi. Ketinggian sederhana, dalam lima kaki empat inci. Just nice! 

“Itu aje ke, bos? Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu. Banyak surat yang nak kena hantar segera tu. Nanti lambat pula.” 

“Hmm... okey. Awak boleh keluar.” 

Pantas Que berpaling. Tidak mahu dia lama-lama di situ. Panjang berjela pula nanti ceritanya. Lagipun, dia memang rasa tidak selesa. Seram sejuk seluruh badan! Rasa macam hendak demam. 
“Que...” 

Erk! Apa hal lagi ni? 

Langkahnya terhenti betul-betul di depan pintu. Dia berpaling semula menghadap El. Santai lelaki itu menyandar di meja kerjanya sambil memeluk tubuh. Tersungging secarik senyum, menyapa pandangan Que. Memang cis kek betullah dia ni. 

 “Sorry about the incident.” 
Incident
Few hours ago, at the traffic-light.”
Traffic light? Hah?! Biar betul? Dia ke? 

“Saya tak bermaksud nak biarkan awak macam tu aje. Saya memang nak cepat waktu tu.” 
‘Sah! Dia yang sondol aku. Eh, salah! Kereta dia yang sondol motor aku. Incident! Cakaplah accident. Kan senang faham.’ 

Manalah Que hendak cam. Lelaki itu berada di dalam kereta, dia pula di luar. Lepas itu, tengok pun bukan dari jarak yang dekat. Hujan pula. Hati pula tengah menggelegak. Mana sempat hendak tilik betul-betul. 

“Macam mana Mr. El pasti yang tu saya? Mr. El langsung tak kelaur dari kereta. Jadi, macam mana Mr. El begitu pasti yang itu adalah saya? Saya pakai helmet masa tu. Tentu muka saya tak nampak jelas, kan?” 

El tersenyum lagi. Manis sekali. Blueberry cheese cake! Aduh, pastinya amat berbahaya juga bila seorang lelaki sudah mula selesa dan memberikan senyuman semanis gula. Oh, jaga-jaga, Que!
“Apa beza dengan sekarang? You pakai baseball cap ni lebih kurang macam helmet juga. Ia hanya menutupi rambut awak, kan? Tapi, tidak wajah awak. Saya tetap cam bibir yang sama, hidung…dan sepasang mata cantik yang sedang saya tatap sekarang ini.”

Erk! Apa kes, ni? Macam kena imbas sampai ke dasar hati saja bunyinya. Payah macam ni! Ada unsur-unsur mahu mengayat saja lagaknya. Hisy! 
“Ha... ha... ha...” 

Aik! Gelak pula! 

“Tak payahlah buat muka kelam macam tu, Que. Saya bergurau aje. Sebenarnya, saya cam awak melalui jaket kulit dan corduroy maroon yang awak pakai tu. Rasanya, you seorang aje yang pakai semua tu hari ini. Perhaps.” 

“Oh! Okey.” Lega. Ingatkan lelaki itu betul-betul menilik dirinya tadi. Saja hendak kenakan dia rupa-rupanya. Betullah agaknya. Kalau pun ada orang lain yang berpakaian sama seperti dirinya, tentu ada kelainan juga. 

“Saya akan bayar ganti rugi kerosakan motor awak nanti. Bil tu nanti beri kat saya atau awak boleh terus rujuk pada jabatan akaun. Saya akan selesaikan semuanya.
Que hanya mengangguk.

“Apa maksud Mr. El bila berkata, bukan bermaksud nak biarkan saya macam tu aje? Saya tak faham.” 

“Maksud saya... bukan saya sengaja biarkan awak berdiri dalam hujan pandang saya semacam. Saya betul-betul tak sengaja dan nak cepat tadi.” 

Bukan jadi satu jenayah pun kalau minta maaf masa tu jugak, kan? Kenapa mesti nak tunggu?” 

Bosnya hanya tersenyum. Kemudian, dia menjongket bahunya pula. Ek, eleh! Berlagak! Ego! 

“Adakah bos rasa macam tu dan nak tebus kesalahan tu setelah tahu yang itu, adalah saya? Seorang perempuan. Staf  bos sendiri. Macam mana kalau dia bukan saya? Apakah bos akan biarkan hal ni begitu saja? Maksud saya, jika orang itu adalah ‘lelaki’ yang bos tak akan jumpa lagi. Bukan staf di sini. Jadi, hal ini akan habis macam tu aje? Macam tu, ke? Hit and run cases. Nasib baik saya tak apa-apa. Kalau dibuatnya saya patah riuk ke, mati ke, siapa nak jawab? Sia-sia aje, kan?” 

Yes.” 

Soalan aku punyalah panjang. Dia cuma jawab; yes. Tidak berbaloi! 

Yes? Jawapan untuk soalan yang mana satu?” 

“Semua.” 

“Erk?” Que buat muka kelam sambil garu pelipis. 

‘Aduh! Dia ni memang boleh buat aku sakit jiwa. Tidak faham konsep soalan betullah. Se... ngal.’ Kan sudah terkeluar perkataan itu. Tidak kira! Dia tidak bagi mandat pun, peduli apa. 

“Satu lagi...” 

Ada lagi? Berapa banyak lagi? Tapi, dia tetap tegak berdiri. Tadah telinga dan dengar saja. Jarak antara mereka boleh dianggarkan sebatu. Dia, berdiri dekat dengan pintu dan El pula, tetap bersandar di mejanya sambil memeluk tubuh. Mata itu saja yang tidak reti duduk diam. Kiri, kanan, atas, bawah, memerhati Que. 

“Lain kali, dah tahu hari hujan, call ofis dan beritahu yang awak masuk lambat. Tak adalah orang kat sini sibuk cari awak. Risaukan awak. Entah apa berlaku pada awak kat luar sana, siapa tahu, kan? 

Tengok ni, habis basah semua. Tentu tak selesa, kan? Awak boleh demam, tahu tak?” 

Macam itu pula? Tapi, Que tetap mengangguk. Hendak kata apa lagi. Makin seram sejuk dia rasa saat itu. Badan pun sudah mula menggigil. Mata, makin panas dan pijar. Kepala jadi berpusing tiba-tiba. Penangan diakah? Arghhh... baru berdiri tidak sampai setengah jam. Sudah rasa mahu tumbang. 

Belum kena sembur lagi. Kalau kena sembur, harus boleh pengsan. Dan... Tidak perlu tunggu kena sembur pun akhirnya Que rebah di situ. Di depan bos barunya. Haru-biru dibuatnya. Tragedi betul!

0 comments:

Post a Comment