Selagi Ada Rindu - Bab 2



KETIKA Uzma menuruni tangga, dia mendengar keriuhan dia ruang tamu. Pasti ahli keluarga yang lain sudah ada. Begitulah selalunya. Dalam sebulan, mesti dua atau tiga kali mereka berkumpul di rumah besar itu. Aktiviti yang memang di mestikan buat semua ahli keluarga. Alasan yang diberikan oleh Datuk Imran ialah untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Yalah, masing-masing sudah besar panjang. Sudah ada kerja sendiri, tinggal berasingan dan ada yang sudah berkeluarga pun. Paling kurang pun ada yang sedang belajar di universiti. Jadi, ruang waktu yang ada untuk bersama keluarga amat terhad. Ini sajalah caranya untuk mengeratkan hubungan itu. Ada benarnya juga pendapat itu.
Uzma menyaingi mereka di ruang tamu. Senyum terukir di bibirnya. Entah macam mana, tanpa disengajakan pandangannya terarah kepada Datuk Imran. Dia agak kaget kerana pandangan Datuk Imran juga sebenarnya terarah tepat kepadanya. Tajam. Mujurlah mereka yang lain tidak perasan. Seperti ada rasa tidak puas hati pada renungan itu. Mungkin dia masih mahu melanjutkan perbualan mereka yang dihalang oleh Datin Shafiza tadi. Tanpa menghiraukan ahli keluarga yang lain, pandangan mereka masih bersatu. Penuh kekeliruan. Sehinggalah lengan Uzma ditarik perlahan, membawa dia duduk bersebelahan Shafrina, anak bongsu Datuk Imran yang masih menuntut di luar negara. Perhatiannya beralih pada gadis manis itu pula. Makumlah, dia sedang bercuti sekarang ini dan mereka sememangnya rapat.
“Ma, kenapa balik lambat hari ni? Rina tunggu tau. Janji nak teman Rina pergi main tennis.”
“Oh! Sorry... Ma lupa. Tadi Ma ada hal sikit, tu sebab Ma lambat. Sorry sangat-sangat, okey. Ma janji hujung minggu nanti kita pergi main tennis.”
“Okey, Ma dah janji ni... Kalau kali ni pun Ma lupa, taulah Rina apa nak buat,” ujar Shafrina berbaur ugutan.
Uzma ketawa kecil, masak benar dia dengan perangai Shafrina yang manja itu.
“Rina nak buat apa kat Ma?” tanyanya, sengaja mengapi-apikan lagi.
“Adalah...” jawab Shafrina seakan berahsia. Mereka ketawa bersama.
“Dah, dahlah berbual tu. Hidangan dah siap. Jom makan. Nanti sejuk, tak sedap pulak,” panggil Datin Shafiza dari ruang makan.
Semua menoleh ke arahnya dan beransur-ansur bangun menuju ke ruang makan didahului oleh Datuk Imran. Uzma dan Shafrina yang akhir sekali bangun. Baru hendak melangkah, terdengar loceng di pintu berbunyi. Semua langkah terhenti. Uzma yang di belakang sekali tersenyum.
“Tak apa, biar Ma pergi tengok siapa yang datang,” ujarnya seraya berpaling dan terus melangkah ke pintu utama.
Bunyi loceng yang tidak henti-henti berdenting membuatkan ayunan langkahnya semakin laju. Pantas dia mencapai tombol pintu dan membukanya. Demi terbukanya pintu, terlihatlah olehnya seorang lelaki yang sedang tersenyum memandangnya.
“Hai, Ma...”
“Assalamu’alaikum,” celah Uzma pantas diiringi sekuntum senyuman.
“Wa’alaikumussalam. Opss, lupa pulak. Depan I nikan perempuan Melayu terakhir yang penuh adab sopan dan tata susila. Macam manalah I boleh lupa nak bagi salam, ya.”
“Tau tak apa. Tu lah, duduk lama sangat kat luar negara tu. Sampai nak masuk rumah pun lupa nak bagi salam.”
Airil hanya mengulum senyum.
So, you apa khabar? Lama tak dengar cerita.”
“Alhamdulillah, Ma sihat. Ril tu yang dah lama tak balik. Mana nak tau apa yang berlaku kat rumah ni. Jom, masuklah. Semua dah tunggu tu. Tinggal Ril aje yang tercicir. Selalu lambat! Ingat tak nak balik tadi.”
Uzma membukakan daun pintu lebih luas lagi untuk Airil meloloskan diri. Mereka beriringan menuju ke ruang tengah.
“Selalu balik pun bukan dapat apa. Ada ‘orang tu’, kita suka kat dia, dia buat tak tahu pulak. Jadi, buat apa selalu balik.” Tiba-tiba itu yang terkeluar dari mulut Airil.
Langkah Uzma mati tiba-tiba seiring tangannya yang diraih oleh Airil.  Kedudukan mereka jadi bertentangan. Uzma kaget. Berani sungguh Airil berbuat begitu. Pula tu dalam rumah orang tuanya sendiri. Sungguh kurang sopan! Dia cuba menarik tangannya dari pegangan Airil tapi makin kejap pula genggamannya.
“Apalah Ril ni. Tak baik Ril cakap macam tu. Papa dengan umi tu selalu sebut pasal Ril tau,” dia cuba berdiplomasi.
Angin Airil sukar dijangka. Adakalanya dia okey. Ada masa, dalam okey pun dia boleh naik angin tiba-tiba. Jadi, jangan cari pasal dengannya.
“Yalah, papa dengan umi aje yang selalu ingat kat I. Tapi, ‘orang tu’ sikit pun tak ingat,” Airil masih memancing tumpuannya.
Uzma mula gelisah bila jemari Airil sudah mula menyulam jari-jemarinya. Bukan dia tidak tahu tentang perasaan lelaki itu. Terlalu tahu. Malangnya dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana dia juga berkongsi perasaan yang sama sedikit masa dahulu. Cuma, terlalu banyak sebab yang menghalang. Dan sebab yang paling besar adalah kedudukan dirinya sendiri saat itu. Aduh! Kenapalah lelaki ini tidak mahu mengerti?
“Ril, janganlah macam ni. Papa nampak nanti,” dia memohon pengertian sambil cuba meleraikan tautan jemari mereka.
Airil buat selamba. Makin direnungnya Uzma yang gelisah. Langkahnya maju setapak, menjadikan kedudukan mereka benar-benar rapat. Uzma cuba mengundur tapi tangannya ditarik menjadikan dia sukar untuk berganjak. Malah semakin rapat pula kedudukan mereka. Parah kalau dibiarkan keadaan begini berlarutan.
“Ril... hentikan, okey. Papa nampak nanti,” ulangnya lagi bila Airil masih bagitu.
Lelaki itu cuma tersenyum dan tidak mengendahkan kata-katanya. Matanya meneroka ke segenap ruang wajah gadis ayu di depannya itu. Sedang pada masa yang sama Uzma tidak henti-henti cuba melepaskan jari-jemarinya dari terus berada dalam genggaman tangan Airil.
“Airil!” Tegas bunyi suara Datuk Imran menegurnya.
Pantas Uzma berpaling pada Datuk Imran yang sudah berada di belakangnya. Kecut perutnya memandang wajah Datuk Imran yang serius. Kalau bukan marah padanya, pasti marah pada Airil. Dari dulu lagi, dua beranak ini tidak pernah sehaluan. Tidak pernah sepakat. Lebih-lebih lagi sejak Uzma menetap di situ.
Mata Datuk Imran tajam merenung jari-jemari Uzma dan Airil yang masih bertaut rapat. Tersedar akan itu, cepat-cepat Uzma menarik tangannya. Kali ini mudah saja dia melepaskan genggaman tangan Airil kerana lelaki itu juga sudah bersedia untuk melepaskannya. Dengan isyarat mata, Datuk Imran mengarahkan Uzma masuk ke ruang makan. Pantas saja dia berlalu pergi. Ketika dia mencuri pandang pada Airil, lelaki itu hanya tersenyum sinis. Tanpa ada riak kurang senang atau bersalah pada papanya yang kelihatan sedang marah. Amat marah!
“Jumpa papa di bilik bacaan lepas makan nanti,” pesan Datuk Imran. Dia terus berlalu ke ruang makan tanpa menghiraukan Airil.
Airil hanya mengangkat bahu dan mengekori papanya, menyaingi mereka yang lain di meja makan. Keadaan masih ceria ketika makan malam berlangsung. Penuh gelak ketawa dan gurau senda. Apa yang berlaku di antara Uzma, Airil dan Datuk Imran sebentar tadi langsung tidak timbul. Seorang pun tidak tahu. Uzma tetap lemas bila ada waktunya Airil mencuri pandang dan cuba merenungnya. Dan yang menjadikan Uzma tidak senang duduk, bila Datuk Imran sedar akan keadaan itu dan memerhatikan mereka. Bertambah lemas dia. Ah! Tolonglah...

**********

AIRIL, nak pergi mana tu? Tergesa-gesa aje. Marilah duduk kat umi. Kita dah lama tak sembang,” tegur Datin Shafiza pada anak bujangnya.
Anak-anak yang lain semua sudah membawa haluan masing-masing. Jarang benar dapat bertemu. Tiga orang dari anak-anaknya sudah mempunyai keluarga sendiri dan tinggal berasingan. Anak sulungnya, Shafrini seorang arkitek. Anak yang kedua, Addin Rayyan seorang kontraktor. Anak ketiga, Shafizi seorang pensyarah. Tinggal Airil dan Shafrina saja yang masih solo. Airil baru habis belajar dalam jurusan architecture, mengikut jejak langkah kakak sulungnya. Shafrina pula masih dalam tahun tiga pengajiannya dalam bidang sains komputer.
Airil menghampiri uminya. Namun dia masih berdiri dan hanya tersenyum meleret. “Maaf umi. Ril ada hal ni. Got to go,” ujarnya sambil tunduk sedikit, mahu bersalaman dengan uminya.
Uzma yang duduk di sebelah Datin Shafiza, dijeling manja. Sempat lagi dia mengenyitkan mata. Uzma mengalihkan pandangan ke arah lain.
“Airil, papa nak jumpa kat bilik bacaan sekarang!” Datuk Imran mencelah dengan suara yang tegas.
Airil berpaling pada papanya. Terus tidak jadi bersalaman dengan uminya. “Maaf papa, Ril ada hal penting,” dia beralasan.
I said now! Hari tu Ril balik macam tu aje. Padahal Ril tahu papa nak jumpa. Sekarang jangan nak bagi banyak alasan,” arahan yang keluar dari mulut papanya.
Airil menjungkit kening. “Okay then,” jawabnya bersahaja.
“Apa yang Ril dah buat ni sampai papa marah macam tu sekali?” tanya Datin Shafiza tidak puas hati. Dia sudah dapat membaca akan ketegangan yang wujud antara anak dan papanya.
Airil menjungkit bahu. “Nothing, umi. Ril tak buat apa-apa pun,” katanya bersahaja dan mula mengatur langkah mengekori papanya ke bilik bacaan.
Sempat lagi dia menjeling manja pada Uzma yang memerhati penuh tanda tanya. Uzma terkesima. Tiada rasa bimbangkah di hati Airil saat itu? Pastinya Datuk Imran mahu bertanyakan pasal kejadian dua minggu lepas, semasa mereka sekeluarga makan malam bersama. Ketika itu Airil terus saja pulang selepas makan malam tanpa memberitahu sesiapa. Suka-suka dia nak datang, suka-suka pula dia balik.

**********

APA yang tak kena dengan Ril ni?”
“Apa yang tak kena dengan Ril? Tak ada apa-apa, papa. Semuanya okey. Lancar macam yang papa mahu dan rancangkan.”
“Kenapa dengan Ril ni? Ril tahu kan siapa Ma tu? Kenapa Ril masih tak faham-faham lagi keadaan kita semua?”
“Pa, Ril yang tak faham ke, atau papa? Papa yang tak pernah nak faham Ril. Papa tahu yang Ril sukakan Ma tu, kan? Papa sengaja ketepikan perasaan Ril selama ni. Apa yang papa buat, tak pernah nak ambik kisah tentang hati Ril. So, siapa sekarang ni yang tak faham-faham?”
“Airil, kamu ni dah melampau! Kalau dulu, sebelum sambung belajar Ril cakap macam ni, papa boleh terima. Tapi, sekarang ni keadaan dah jauh berbeza. Ril dengan Ma tak boleh ada ‘apa-apa’. Ril kena faham tu. Ril kena terima kenyataan.”
“Itu yang Ril tak faham. Papa dan semua ahli keluarga kita tahu yang Ril memang sukakan Ma sebelum Ril sambung belajar lagi. Lagipun, Ril pernah bawa dia jumpa papa dan umi dulu, kan? Papa tak ingat ke? Apa maknanya kalau sorang lelaki dah bawa balik sorang perempuan? Kenalkan dia pada orang tuanya? Mesti nak dijadikan calon isteri, kan? Tapi, kenapa papa teruskan juga niat papa tu. Umi pun sokong. Ril betul-betul tak faham dengan papa dan mama dalam hal ni, okey. Kenapa pa? Kenapa?”
“Ril tak akan faham nampaknya. Apa saja yang papa dan umi buat, pasti ada alasan yang kukuh, Ril. Percayalah... Papa ada sebab untuk semua ni. Cuma, papa tak boleh terangkannya sekarang. Ia terlalu sukar buat kita semua.”
“Dahlah, pa. Papa nak Ril faham situasi papa tapi papa tak nak kongsi apa masalahnya dengan Ril. Apa ni papa? Bila Ril tanya, papa selalu cakap semua yang berlaku pasti ada alasan yang kukuh. Tapi, apa dia?”
Datuk Imran hanya berdiam mendengar luahan hati anak bujangnya itu. Dia juga sebenarnya sedar akan perasaan yang Airil ada pada Uzma. Malah semua ahli keluarga juga tahu akan itu. Dia tidak pernah menidakkan perasaan Airil pada Uzma. Malah, kalau boleh dia ingin merealisasikan impian mereka. Siapa yang tidak mahu gadis sebaik itu ‘meresap’ terus ke dalam keluarga mereka? Tapi, bukan dalam masa terdekat ini. Dia memang ingin lihat anaknya gembira dan bahagia. Uzma juga. Bukan niatnya mahu menyeksa naluri Uzma. Tapi, ini perjanjian. Dia tidak boleh melanggarnya sewenang-wenang. Uzma dan Airil juga yang akan menanggung akibatnya nanti.
Atas sebab perjanjian itulah Airil semakin renggang dengannya. Dan semua ahli keluarga sedar akan keadaan itu. Tapi, mereka tidak menyalahkan Datuk Imran kerana mereka percaya pada apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Cuma Airil saja yang sukar menerima. Mungkin kerana hatinya terguris luka dengan perlakuan papanya itu. Mungkin juga dia tidak dapat menerima bahawa orang yang dia sayang terpaksa tinggal dengan mereka dan harus dihormati setanding dengan uminya. Mungkin itu juga yang mencabar keegoannya.
Melihat papanya hanya berdiam, Airil terus bangun dan berlalu keluar. Sudah sarat jiwanya menanggung beban masalah yang satu ini. Kasih tidak kesampaian. Biar sudah seribu kali dia memujuk papanya supaya menyatukan dia dengan Uzma, jawapan papanya tetap sama. Alasannya, perjanjian yang sudah dibuat tidak boleh senang-senang dibatalkan. Bagi Airil, persetankan semua perjanjian itu. Yang penting hatinya dan hati Uzma. Janganlah dibelenggu jiwa mereka dengan rantaian perjanjian yang menyeksakan ini. Dia tahu Uzma sendiri tidak bersetuju dengan apa yang telah berlaku. Sesuatu yang merantai takdir hidupnya. Dia juga tahu Uzma sebenarnya ingin bebas seperti orang lain, memilih jalan hidup dan pasangannya sendiri. Bukan melalui kehidupan yang diaturkan oleh orang lain. Hatta oleh orang tuanya sendiri.

0 comments:

Post a Comment