Selagi Ada Rindu - Bab 4



UZMA duduk di balkoni. Sendirian. Angin petang yang sesekali menyapa lembut, begitu melegakannya. Terasa hilang kepenatan setelah seharian di pejabat. Hari yang meletihkan. Itulah ungkapan yang paling sesuai. Hari ini, dari pagi lagi dia sudah sibuk. Menghadiri dua mesyuarat. Satu dengan staf di pejabat dan satu lagi dengan sub-kontraktor. Jumpa pelanggan pada sebelah petangnya pula. Tak sempat nak berehat. Makan minumnya pun tidak diambil kisah. Hanya sempat meneguk air mineral dan makan dua potong sandwich saja. Mengejarkan mesyuarat dan bertemu pelanggan punya pasallah tu.
Bila dapat duduk bersantai begini, terasa lapang kepalanya. Hilang semua pasal kerja dan pejabat. Kalau selalu dapat macam ni, lagi seronok, fikirnya lagi. Tak payah fikir pasal kerja yang melambak-lambak. Tak perlu berkejar untuk menghadiri mesyuarat atau jumpa pelanggan. Relax saja. Tapi, itu ‘kalau’. Realitinya, dia masih tetap kena lakukan semua itu. Dah itu tugasnya. Bila tanggungjawab sudah tergalas di bahu, dia mesti menunaikannya dengan sebaik mungkin. Itu amanah.
Dia menyandarkan kepalanya pada sofa. Memejamkan mata buat beberapa ketika sambil menghirup udara segar. Nyaman. Rasa diri dibelai oleh tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa. Begitu melegakan. Uzma leka sebentar. Dia memang suka bersendirian di balkoni itu. Merehatkan minda dan perasaannya. Itulah kebiasaannya jika dia dapat pulang awal. Di balkoni itulah dia menghabiskan masa petangnya. Semua penghuni di rumah besar itu sudah masak benar dengan kebiasaannya yang satu ini. Suka bersendiri. Dan selalunya memang tiada sesiapa yang akan ‘mengganggunya’ kecuali Datuk Imran dan Datin Shafiza. Hanya dua insan ini yang berani mengganggu masa santainya. Tapi dia tidak pernah kisah pun.
“Hai, Ma. Tidur ke berangan ni? Senyum sorang-sorang. Ingatkan I ke?” Bisik satu suara benar-benar dekat di cuping telinganya.
Terus meremang bulu romanya. Sepantas kilat matanya terbuka luas. Tersentak dengan sapaan yang tidak disangka-sangka. Dah tu berbisik-bisik pula di telinganya. Isy! Menyeramkan.
“Ril! Apa ni? Terperanjat Ma tau. Kalau papa nampak macam mana? Tak eloklah macam ni, okey,” bebel Uzma tanda tidak suka dengan perbuatan Airil tadi.
Airil sudah duduk menghadapnya yang seakan kalut. Mau tak kalut. Airil ni bukan kira di mana, suka hati dia saja nak berbuat apa. Bukan fikir pasal perasaan orang lain. Sabar sajalah.
You ni takut sangat dengan papa, kenapa? Takkan dia nak marah kot. Ril ni kan anak dia. You pulak, orang yang paling dia sayang.”
“Mulut! Cakap tu biar beralas sikit! Dengar papa nanti, kecik hati dia. You tak bolehlah macam ni. Tak eloklah...” Suaranya seakan berbisik-bisik.
“Habis tu you nak I buat macam mana? Ikut aje cakap papa. Lupakan apa yang pernah terjadi antara kita. No way! I tak boleh dan I tak akan senang-senang melupakannya, okey.”
“Isy! Susah betullah bercakap dengan orang macam you ni. Ada aje jawapan you tu, kan? Suka hati youlah. Tapi, janganlah buat macam tadi. Kalau orang nampak tentu timbul salah faham. Nanti orang kata kita buat perkara tak senonoh pulak.” Uzma mengalah.
Kalau berlawan cakap dengan Airil, panjang ceritanya nanti. Sampai esok lusa pun tak habis. Ada saja hujahnya untuk mematahkan kata-kata Uzma. Dia saja yang nak menang. Tak kuasa!
“Alah, baru bisik-bisik macam tu, bukan jadi apa pun. Lainlah kalau I peluk you ke, apa ke. You ni takut sangat kenapa? Bukan I makan orang pun.”
“Amboi! Bercakap ikut sedap mulut dia aje. You lupa ke siapa ‘kita’. Tak sepatutnya you buat I macam ni. Tak eloklah! Lagipun, ia melanggar hukum agama juga. You sedar tak? I tak mahu orang salah faham nanti.”
“Lagi-lagi you nak persoalkan siapa ‘kita’. Kenapa soal itu yang you sering timbulkan? Itu ajelah modal you nak jauhkan diri dari I, kan? You pernah tanya diri you sendiri tak, kenapa semua ni terjadi? Salah you juga, kan? Kalau you tak terima cadangan papa, soal siapa ‘kita’ takkan timbul. Walau apa pun terjadi, I takkan berhenti dari mengejar you. Itu janji I. I akan pastikan yang you akan jadi milik I satu hari nanti. I tak main-main. Keep my words Uzma.
“Ril!!! Jangan bermain dengan takdir. Apa yang sudah disuratkan untuk kita semua, itulah milik kita. Semua ni sudah tertulis sejak azali lagi. Suka atau tidak, kita kena terima. Ini bukan soal kita aje. Papa, mama dan semua ahli keluarga you juga. Takkan you sanggup nak sakitkan hati mereka hanya kerana nak puaskan hati you sorang? Fikirlah, Ril.”
Uzma seakan hilang sabar. Memang pantang baginya mempersoalkan hal mereka dalam keadaan sekarang ini. Terlalu banyak hati yang perlu dijaga. Terutamanya perasaan Datuk Imran dan Datin Shafiza. Bukan sekali dua dia memberi ingatan pada Airil. Tapi, lelaki ini seakan-akan tidak faham apa yang dimaksudkannya. Sebaliknya, dia sering datang memburu rindu dan cintanya. Tanpa jemu. Uzma bingung.
“Tapi, kita masih boleh merubahnya, kan? Pokok pangkalnya hati, Ma. Hati. Empat tahun I tunggu hati you terbuka semula untuk I. Empat tahun, Ma. I sentiasa berdoa dan berharap yang you akan balik semula pada I. Kenapa you tak pernah nak faham keadaan I? You tahu tak betapa hancurnya hati I ni bila dapat tahu yang you nak putuskan hubungan kita dulu? Dahlah masa tu I sorang-sorang kat negara orang. Hidup kat tempat orang dengan hati yang hancur, perit Ma. Nak fikir pasal study lagi. Itu you tak tahu, kan? Rasanya you memang tak pernah nak ambil tahu. You pentingkan diri sendiri.”
Airil melepaskan rasa di hatinya. Segala jenis rasa sebenarnya. Bukan selalu kesempatan itu datang. Malah, sejak kebelakangan ini, Uzma sering mengelak jika bertembung denganya. Nama saja satu ofis. Nak jumpa punyalah susah. Ingatkan bila dia sudah bekerja di situ, senanglah baginya mendekati Uzma. Nampaknya keadaan tidak seperti yang dia harapkan.
“Ril, sudahlah!!! I tak nak dengar apa-apa lagi. Antara kita dah tak ada apa-apa lagi. We are finished! There is no more between us, okay. Jangan cakap pasal ni lagi, boleh tak? You makin buat I tertekan.”
“You hanya fikir tentang diri you aje. Diri I, ada you fikir? Okay, if you say so. Kalau dah you sendiri memang tak nak ada ‘apa-apa’ lagi dengan I, baik. You jangan menyesal! Tapi, I tak akan putus asa. I percaya pada apa yang I rasa dan tak ada sesiapa boleh halang I. Not even you.”
Airil terus berlalu bersama perasaan marah, tidak puas hati dan jengkel. Dia memang geram sangat dengan sikap Uzma yang terlalu berserah pada takdir. Macamlah hidup ini hanya berpandukan pada satu lorong, satu jalan saja. Padahal, banyak lagi cabang lain yang boleh mereka pilih. Bukan berserah semata-mata. Dia akan buka mata dan hati Uzma untuk menyedari semua itu. Biar Uzma tahu yang hidup ini perlu dicorakkan. Bukan hanya membiarkan ia dicalitkan dengan warna hitam dan putih saja. Akan dia lakukan itu.
Uzma pula, terus duduk di balkoni itu. Terkesima dengan sikap keras kepala dan tekad Airil yang didengari sebentar tadi. Dia menunduk. Berfikir sebentar. Asalnya tadi, dia mahu merehatkan minda. Nampaknya makin berserabut pula jadinya. Makin sakit  kepalanya. Rasa ingin menangis, tapi air matanya enggan keluar pula. Rasa ingin menjerit, tapi suaranya tersekat hanya di kerongkong saja. ‘Oh Tuhan, apa yang harus aku lakukan?’ hatinya berbisik. Syahdu.
Dia tidak menyalahkan Airil. Tapi, tidak adil juga untuk menyalahkan dirinya sendiri. Bukan dia yang mahu ini semua terjadi. Tapi, bukan juga takdir yang harus dipersalahkan. Dia terima apa yang berlaku. Ini suratan hidupnya. Hidup Airil juga. Malah dia bersyukur kerana selama ini dia tidak disia-siakan oleh keluarga Datuk Imran. Cuma, yang menjadi masalahnya adalah Airil. Lelaki yang satu masa dulu pernah rapat dengannya. Lelaki yang kehadirannya sampai saat ini pun masih memberi makna yang besar dalam hidupnya. Tapi, dia terikat dengan perjanjian yang tidak boleh sesuka hati untuk dia ingkari. Kecuali, semua pihak bersetuju untuk mengakhiri dan membatalkan syarat-syarat yang terkandung di dalamnya. Mengapa Airil tidak mahu mengerti? Satu keluhan kecil Uzma lepaskan. Terasa lelah. Dia pasrah.

**********

KALAU nak cakap pasal perasaan sayang, tak habis setahun rasanya. Dia juga manusia. Punya hati dan rasa. Bukan ‘buta hati’ seperti yang Airil sering katakan. Siapa yang tak sayang pada kekasih? Siapa yang tak rindu pada buah hati? Dia juga punya semua rasa itu. Dia punya hati yang terlalu rapuh. Mudah tersentuh dan rasa terluka juga.   Sementelah, Airil adalah lelaki pertama yang dia kenali. Lelaki pertama yang berjaya menarik perhatiannya dan dia senang dengan kehadirannya.
Detik-detik manis semasa mereka bersama sentiasa menemani kehidupannya di sepanjang perjalanan ini. Dia pernah menangis berhari-hari kerana terpaksa membuat keputusan drastik ini. Dia pernah merajuk berminggu-minggu kerana ayahnya memaksa dia menerima sesuatu yang dia tidak suka. Sedangkan pada masa yang sama, kasihnya pada Airil sedang mekar seindah kelopak mawar. Setahun lebih rapat dengan Airil, dunianya sentiasa indah. Apatah lagi, Airil sendiri memberi harapan yang tinggi dalam perhubungan mereka. Airil ingin menjadi seseorang yang istimewa dalam hidupnya dan dia menerimanya.
“Kenapa sedih aje ni? Apa yang tak kena? Ma tahukan Ril tak suka Ma macam ni. Tak bestlah. Tadi mood okey aje.”
“Macam mana Ma tak sedih. Ril nak sambung belajar kat Australia. Jauh tu! Nanti Ril lupa kat Ma.”
“Kenapa cakap macam tu! Takkan Ril nak lupa kat Ma. Ril pergi sana nak belajar, bukan nak cari perempuan lain. Empat tahun aje, okey. Ril buat semua ni untuk masa depan kita. Ril dah janji yang kita akan terus couple, kan? Ril sayangkan Ma. Ma tahu, kan?”
“Itu sekarang. Nanti, bila dah sampai sana, Ma pun Ril lupa. Maklumlah dah jumpa ‘minah salih’ yang lawa-lawa. Mana nak ingat kita kat sini.”
“Kenapa dengan Ma ni? Macam tak percayakan Ril aje. Kita masih boleh berhubung macam biasa. Cuma bezanya kita tak bertemu muka aje. Telefon, SMS dan e-melkan ada. Apa yang Ma risaukan sangat. Ril akan selalu telefon dan hantar e-mel, okey.” Airil masih memujuknya, lembut.
“Sekarang ni bolehlah cakap macam tu. Kalau dah sampai sana, entah ingat lagi ke tak apa yang dia cakap tu. Entah-entah lupa terus agaknya,” bidas Uzma masih tidak puas hati.
Airil ketawa.
“Kalau macam tu, kita kahwin. Ma boleh ikut Ril ke sana lepas tu. Tak payahlah nak risau macam ni. Ril pun taklah bimbang tinggalkan Ma lama-lama. Habis cerita.”
“Kahwin?! Ke situ pulak dia! Taklah sampai macam tu. Ma belum fikir pasal kahwin lagilah. Cuma Ma risau kalau kita berjauhan, keadaan kita jadi berbeza. Itu aje.” Suaranya sudah kendur sedikit.
Mendengar perkataan ‘kahwin’ tadi dia jadi terperanjat. Tak sangka sampai ke situ pemikiran Airil. Tapi, hatinya jadi reda. Mungkin percaya yang Airil benar-benar ikhlas dalam perhubungan mereka. Hatinya sedikit terpujuk.
“Ma... Ril bukan orang yang mudah lupa pada janji tau. Kalau Ril kata Ril sayangkan Ma, maknanya hanya Ma sorang aje yang Ril mahu. Sampai bila-bila pun hati Ril tak akan berubah. Ril tak perlukan orang lain. Percayalah pada Ril...” katanya sambil menggenggam jari-jemari Uzma. Seakan mahu meyakinkan gadis itu bahawa kasihnya tertumpah hanya untuk Uzma seorang.
Uzma tersenyum pahit. Sebuah janji yang Airil lafazkan itu memang menyentuh jiwanya. Bukan dia tidak percaya. Lebih dari itu, dia memang yakin tentang perasaan mereka. Cuma, jarak dan waktu mampu merubah segala-galanya. Itu yang dia takut. Dia takut janji hanya tinggal janji. Dia takut dirinya dipinggirkan sedang dalam masa yang sama kasihnya sudah diibaratkan seluas lautan. Bak lautan tak bertepi dan tiada sempadan.

**********

IRONINYA, bukan Airil yang memungkiri janji. Lelaki itu begitu setia. Enam bulan pertama di bumi Australia, tidak sehari pun dia culas mengirim e-mel. Waktu yang sama setiap hari pasti Uzma menerima berita dan cerita darinya. Cerita tentang suka dukanya. Cerita tentang rindu dendamnya. Semuanya tercatat dalam e-mel kirimannya. Sesekali, dia akan menelefon juga. Ingin melepas rindu dengan mendengar suara pula. Itu bukti kasihnya.
 Dia. Dialah puncanya. Bukan atas kemahuan dan kerelaannya. Tapi, dia terpaksa menoktahkan kisah kasih mereka. Tanpa rela dan Airil tidak tahu perkara sebenarnya. Kesalahan tergalas di atas bahunya. Tiada kata yang mampu dia ucapkan untuk membela diri. Hanya perkataan pasrah dan suratan takdir saja yang selalu dia ucapkan. Namun, Airil masih tidak dapat menerima kenyataan itu. Pertalian kasih selama hampir dua tahun itu mahu dinoktahkan tanpa alasan. Ya, tanpa satu alasan yang kukuh. Airil memang tidak mengerti percaturan kasih yang Uzma pertaruhkan. Sampai saat ini pun dia masih menagih secebis pengertian.
Baginya Uzma terlalu berserah. Tidak sungguh-sungguh mempertahankan kasih mereka. Dia masih mahu membuktikan kesetiaannya dengan memburu Uzma walaupun ‘keadaan’ mereka tidak mengizinkan sebenarnya kerana Airil tetap seorang yang keras kepala. Apa yang dikatanya dulu, tetap akan dia kotakan. Itu janjinya. Dan Uzma dilanda dilema. Antara mempertahankan kasihnya pada Airil atau membalas budi keluarga yang banyak membantunya di saat susah. Suka atau tidak, dia terpaksa melupakan kasih yang sedang mekar. Itu pengorbanannya demi menjaga sebuah kehormatan yang bernama maruah. Ya, maruah keluarga.

0 comments:

Post a Comment