Selagi Ada Rindu - Bab 3



UZMA tergesa-gesa keluar dari bilik mesyuarat. Sedikit berlari-lari anak menuju ke bilik pejabat Datuk Imran. Dia sudah lewat lima belas minit sebenarnya. Tidak sempat menoleh kiri dan kanan pun. Meluru pantas ke destinasinya. Namun ketika berpapasan dengan beberapa staf lain, dia tetap memaniskan muka dengan segaris senyuman. Bukan dia tidak tahu Datuk Imran tu. Kalau katanya sekian, sekianlah. Lewat sikit pun pasti kena tegur. Isy! Susah betullah bekerja dengan seorang tokoh korporat yang terlalu berwibawa sepertinya. Disiplin dan jati diri menjadi keutamaan dalam membentuk budaya kerja yang berwawasan. Mungkin sebab itulah dia boleh berjaya sampai ke tahap sekarang ini. Contoh terbaik juga di kalangan orang business, terutamanya orang Melayu kita.
Sampai di depan bilik Datuk Imran, dia berhenti seketika. Merapikan sedikit pakaiannya agar sedap mata memandang. Juga menarik nafas dalam bagi melepaskan lelahnya. Semput juga berkejar begitu. Dalam pada itu masih sempat lagi dia menghadiahkan senyuman pada Anis, setiausaha Datuk Imran. Anis membalas mesra. Sambil tersenyum dia menghela nafas panjang. Dahlah bilik mesyuarat terletak jauh kedudukannya dari bilik itu. Kena pula tergesa-gesa begitu. Tak cukup nafas dia dibuatnya. Rasa seperti baru berlari jarak jauh. Penat! Rasa tercungap-cungap. Setelah penatnya agak reda, dia mengetuk pintu bilik Datuk Imran.
“Masuk.” Terdengar olehnya arahan dari dalam.
Dia memulas tombol pintu dan masuk bersama senyuman. Itulah kebiasaannya. Sentiasa ingin dilihat ceria apatah lagi di depan bos dan di tempat kerja. Walau hati kadang-kadang dirundung duka, senyum tetap menghiasi wajah manisnya. Walau wajah kadang-kala suram, tetap cuba dihiasi dengan senyuman mesra. Dia mara mendekati meja Datuk Imran. Terlihat olehnya seorang tetamu yang sedang duduk berbincang dengan Datuk Imran. Membelakanginya. Fokusnya hanya kepada Datuk Imran dan dia terus mara. Datuk Imran mengangkat muka dan tersenyum padanya.
You are late, Uzma. Come, have a sit,” ujarnya masih dalam senyuman.
Teguran itu walaupun masih lembut nadanya tetap berbaur ingatan pada Uzma. Sementelah dia tahu yang Datuk Imran merupakan seorang yang amat menepati masa. Baginya, masa itu penting untuk menentukan kejayaan seseorang. Mungkin betul. Ah! Memang betul. Kalau kita tidak menghargai masa, masa tak akan menunggu kita. Rugilah jadinya kalau kita ditinggalkan masa. Mana mungkin kita berpatah balik pada keadaan yang sebelumnya.
“Maaf, Datuk. Mesyuarat tadi habis lambat,” balasnya juga masih bersama senyuman yang dibawa dari tadi. Dia berhenti betul-betul di tepi meja Datuk Imran. Meletakkan beberapa fail yang berkaitan mesyuarat sebentar tadi yang akan diterangkan isi kandungannya nanti.
Lantas, dia menoleh ke arah kirinya dan memaniskan muka sekali lagi untuk berhadapan dengan tetamu Datuk Imran pula. Ya, Tuhan! Bagai nak luruh jantungnya dan demi terpandangkan wajah itu senyumnya mati tiba-tiba. Bulat matanya memandang lelaki itu. Biar betul! Macam tak percaya pula dengan apa yang dilihatnya sekarang ini. Bukan main kacak lagi dengan sut rona kelabunya. Isy! Dia salah pandang ke? Berkali-kali Uzma mengerdipkan kelopak matanya. Lelaki itu tersenyum padanya. Manis sekali.
Well, Uzma... Airil akan bekerja di sini bermula hari ini. Kejap lagi Ma tolong bawa dia jumpa semua staf dan tunjukkan kat mana bilik dia.” Datuk Imran memberi arahan.
Kala itu tiada lagi senyum yang terbit dari sepasang bibirnya. Datuk Imran memang begitu kalau masa bekerja. Serius dan tegas. Dia juga tidak suka mencampurkan urusan kerja dan hal peribadi.
Uzma sekadar mengangguk. Dia sendiri masih sukar percaya yang berdiri di depannya itu adalah Airil. Bila masa pulalah lelaki ini berubah hati. Selama lebih enam bulan dia balik dari overseas, puas papa dan uminya memujuk supaya dia bekerja di syarikat itu. Tapi, dia enggan. Katanya, dia lebih suka berdikari. Tup-tup, pagi ini dia muncul ‘menyerah diri’. Menyerah diri atau dipaksa, itu Uzma tidak pasti.
Tapi, kehadiran Airil di syarikat ini pasti membuatkan papa dan uminya gembira kerana itulah harapan mereka sejak dulu lagi. Mewariskan syarikat pada salah seorang anak mereka. Anak-anak yang lain semuanya sudah memilih jalan mereka sendiri. Hanya pada Airil saja mereka meletakkan harapan. Dan nampaknya harapan itu akan menjadi kenyataan. Sedikit masa lagi. Insya-Allah...
“Ril boleh ikut Ma. Nanti dia tunjuk mana bilik Ril. Kerja-kerja yang lain, Ril belajar perlahan-perlahan. Ma dan staf yang lain akan ajar Ril.”
“Okey, pa.” Airil sudah bangun dan berdiri bersebelahan Uzma.
Uzma mengerling ke arahnya. Segaris senyum terbit dari sepasang bibir milik lelaki itu. Senyumannya sentiasa manis. Uzma sekadar memandang sahaja. Apatah lagi perbuatan mereka itu dalam pemerhatian Datuk Imran. Uzma sedar tapi, Airil buat tak peduli saja.
“Ma keluar dulu. Bawa Airil jumpa staf-staf dan tunjukkan bilik dia,” katanya bagai meminta kebenaran dari Datuk Imran. Datuk Imran sekadar mengangguk. Uzma sudah memulakan langkah. Diikuti oleh Airil.
Baru beberapa tapak mereka melangkah, Datuk Imran bersuara, “Ma, lepas tu masuk sini semula. Kita belum bincang pasal meeting progress tadi dan bawa proposal projek Taman Mewah sekali, ya,” ujarnya mematikan langkah Uzma. Uzma berpaling.
“Baik, Datuk,” jawabnya ringkas seraya meneruskan langkah.
Airil masih setia menurutinya tanpa sepatah kata pun. Ada ketikanya Uzma perasan yang Airil mencuri pandang kepadanya. Dia buat tak tahu saja. Ini pejabat. Kalau dilayan perangai Airil, lain pula jadinya nanti. Tak boleh buat kerja jadinya. Asyik bertekak saja. Itulah mereka. Pantang bertemu roma, ada saja nak digaduhkan. Bukan gaduh betul-betul. Hanya berbalas cakap saja.

**********

SETELAH memperkenalkan Airil kepada semua staf, Uzma membawa Airil ke biliknya. Anak boslah katakan. Bilik pun sebesar alam. Sementelah, Airil adalah bakal pengganti papanya. Mestilah segala persiapan di bilik itu serba lengkap dan selesa. Sebenarnya bilik ini memang sudah lama disediakan. Sejak Airil balik dari luar negara lagi. Tapi, disebabkan dia tidak mahu bekerja ketika itu, bilik itu dibiarkan kosong. Tengoklah! Orang lain bukan main susah nak mencari kerja. Kadangkala, menunggu jawapan setelah temu duga lebih lama dari menunggu permohonan minta kerja diproses. Tapi Airil, kerja pula yang menunggunya. Beruntung betul nasibnya. Itu pun masih tak nak mensyukuri rahmat Tuhan.
Uzma membiarkan Airil meninjau-ninjau sekitar biliknya seketika. Biar dia rasa selesa dan dapat ‘feel’ untuk memulakan kerjanya. Dia duduk di kerusi yang tersedia sambil memerhati Airil yang masih mundar-mandir di sekitar situ. Memerhatikan lelaki itu yang sudah banyak berubah. Walaupun masih seperti dulu kemesraannya, dia lebih sinis sekarang ini. Mungkin sengaja mahu menunjukkan protesnya dengan cara itu.
Well, Airil, apa pandangan you tentang bilik pejabat you ni? Selesa? Menepati citarasa you tak?” Uzma memulakan bicara. Tidak mahu keadaan terus sunyi dan sepi. Macam-macam perasaan lain pula yang datang nanti. Mula bertandang dan mengetuk-ngetuk tangkai hatinya. Isy! Tak boleh dibiarkan. Nanti jadi parah.
Airil berpaling, menuju ke arah mejanya dan duduk di situ. Matanya tepat memandang Uzma yang duduk di hadapannya. “Okey. Selesa, cantik. Okeylah...” jawabnya acuh tak acuh.
“Hmm... Baguslah kalau you suka. So, you bolehlah kerja dengan lebih selesa kat sini.”
Airil sekadar mengangguk beberapa kali.
“Bilik you kat mana?”
“Kenapa tanya?”
Airil sekadar mengangkat bahu.
Well, apa yang buat you ubah fikiran? Dulu kata tak nak kerja kat sini. Nak bebas. Nak berdikari. Apa dah jadi?” Uzma mengubah topik perbualan. Persoalan dari Airil tadi terbiar begitu saja. Memang dia sengaja berbuat begitu. Baginya persoalan itu tidak penting untuk di jawab.
Airil tersenyum meleret. Direnung wajah Uzma tanpa jemu.
You.”
Uzma mengangkat kening. Tanda tidak mempercayai apa yang Airil katakan.
“Merepek aje.”
“Merepek apanya pulak? Betullah! I kerja sini sebab nak dekat dengan you. Serius ni, tak tipu.”
“Isy! Dah mulalah tu...” Uzma bangun.
Airil menegakkan duduknya.
Uzma sudah memulakan langkah untuk keluar.
“You nak pergi mana?”
“Nak jumpa Datuk. Nanti kalau lambat dia bising pulak. Dah hampir setengah jam I temankan you tau. Datuk tak suka staf dia lengahkan waktu kerja. Curi tulang katanya.”
“Hai! Lagi-lagi Datuk. Takkan dia nak marah. Ril ni kan anak dia. Give me your break!” Airil memprotes. Tanda tidak senang.
“Ini kan waktu kerja. Nantilah kita sembang lagi, ya. I ada kerja ni. Lepas ni bukan takat bersembang, bergaduh pun boleh. Kan kita dah satu pejabat.” Uzma tersenyum di akhir kata-katanya.
“Bilik you kat mana?” ulang Airil sekali lagi.
Uzma tersenyum lagi. Belum mati lagi persoalan itu rupanya. Airil memang bukan seorang yang mudah berputus asa.
“Kat sebelah aje.” Dia terus berlalu. 

0 comments:

Post a Comment