Selagi Ada Rindu - Bab 5



PAGI Isnin memang membosankan. Banyak kerja yang menanti dan yang perlu diselesaikan. Untuk memulakan tugas amat berat dan terasa malas. Alangkah baiknya kalau masih dapat bermalasan di atas katil. Mesti seronok! Ada ketikanya, jasad saja berada di tempat kerja. Sedang fikirannya melayang entah ke mana. Mungkin sudah sampai ke serata dunia dia meneroka melalui alam mindanya. Asyik dan seakan lupa pada dunia realiti yang sepatutnya dia lalui.
Lantas dia menuju ke pantry. Ingin menyegarkan diri dengan menikmati secawan Nescafe. Ketika melalui bilik Airil, dia lihat pintu terbuka. Dia memanjangkan leher mengintai ke dalam. Ditoleh sekilas ke arah meja Airil. Kosong. Dia tiada di situ. Belum masuk agaknya. Dia terfikir kembali. Tak mungkin kerana keretanya sudah terparkir di bawah. Mungkin dia ada di bilik Datuk Imran. Agaknyalah. Dia meneruskan langkah dengan santai. Tidak tergesa-gesa. Tidak juga terlalu lambat.
Dia menolak pintu pantry perlahan. Airil menoleh, Uzma terpempan. Segaris senyum terbit dari sepasang bibir milik lelaki itu. Uzma membalas. ‘Patutlah dia tiada di biliknya. Di sini rupanya dia,’ katanya dalam hati. Uzma teragak-agak untuk masuk. Tangan masih memegang tombol pintu tapi langkahnya sudah terhenti setakat di situ saja. Masih berfikir-fikir untuk masuk atau kembali semula ke biliknya.
Hi, good morning. Masuklah, Ma. Kenapa berdiri kat pintu aje?” sapa Airil ramah.
Lagaknya seperti tiada apa-apa yang berlaku antara mereka. Padahal baru dua minggu lepas mereka bertengkar. Selama tempoh itu, Airil langsung tidak balik ke rumah orang tuanya. Dan dalam jangka masa itu juga, mereka jarang bertegur sapa. Apatah lagi berbual mesra. Kalau terserempak pun mereka hanya berbalas pandang. Tanpa senyum, tanpa sapaan seperti kebiasaannya.
Lambat-lambat Uzma masuk. Kini hanya dia dan Airil saja di situ. Dipisahkan oleh tembok batu dari pandangan orang lain. Hatinya berdebar tiba-tiba. Janganlah Airil buat hal lagi hendaknya. Dibuatnya dia cari pasal dan mereka bertengkar lagi, tak ke parah jadinya. Airil, kalau dah marah bukan kira tempat. Di tepi jalan pun jadi. Main lepas saja kemarahannya. Tapi, takkanlah pula. Itu dulu, zaman ketika mereka remaja. Sekarang ni, dah besar panjang, dah belajar tinggi-tinggi pun, takkan dia nak buat perangai tak senonoh pula.
“Ma, nak apa? Teh, kopi atau Nescafe? Hmm... I buatkan Nescafe untuk you, okey,” katanya sambil mencapai mug dan botol Nescafe.
Uzma tidak terkata apa bila melihat Airil pantas melakukan ‘tugas’ barunya. Tukang buat air. Tadi macam tanya tapi belum sempat Uzma menjawab dia sudah menjawab sendiri. Uzma sekadar mengangkat bahu. Melihat Airil yang masih tidak lekang dengan senyumannya, dia biarkan saja lelaki itu begitu. Biarlah, asalkan Airil bahagia.
“Ni yang baik sangat,  kenapa ni? Malam tadi mimpi apa? Jumpa puteri raja?”
“Tengok tu! Orang buat baik, salah. Buat jahat, lagilah dikata macam-macam. Tak payah tunggu mimpi, my dear!!! Salah ke kalau I nak buatkan you air. Bukan selalu tau I buat macam ni.”
“Salah tu taklah. Tapi, macam tak kena pulak. Patutnya Ma yang perempuan ni buat air untuk you. Ni dah terbalik pulak.”
Nothing wrong with that, dear. Sesekali. Kalau selalu, I tak nak. Ni kenapa baru nak minum? Tak sarapan kat rumah tadi ya?” Bicaranya ramah sambil tangannya lincah membancuh Nescafe.
“Cakap orang, dia tu!”
I lainlah, orang bujang. Tak ada siapa nak buatkan breakfast untuk I.”
“Yalah tu! I bukan tak sarapan. Dah kenyang pun. Tapi, biasalahkan, hari Isnin. Mood nak kerja tak datang lagi. Tu yang ingat nak segarkan diri dengan minum Nescafe dulu.”
“Samalah... Kenapa eh kalau hari Isnin aje mood nak kerja tak ada?”
Monday blues. Uzma tersenyum sambil mengangkat bahu. Hmm, Airil yang di depannya ini sudah ada perubahan. Kata-katanya lembut. Tidak sekeras dahulu. Percakapannya juga santai. Tidak terlalu mendesak seperti selalu. Dia berubah disebabkan pertengkaran kecil mereka tempoh harikah? Kalau begitu, ini satu petanda baik. Sekurang-kurangnya, Uzma tidak perlu merasa tidak selesa bila berada bersamanya. Setidak-tidaknya, kuranglah sedikit dari bebanan memikirkan rasa bersalahnya.
“Umi sihat?”
“Hmmm, sihat.”
You?
Uzma mengangkat kening. Agak kurang faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Airil. Airil tersenyum bila menyedari Uzma tidak memahami bentuk pertanyaannya itu.
“Maksud I, you sihat jugak ke?”
Uzma ketawa. “Oh! Itu ke? I sihatlah. You tengok I macam tak sihat ke? Kan hari-hari kita jumpa. Tak nampak lagi ke keadaan I ni macam mana?”
“Opsss... Bukan hari-hari, okey. Tolak Sabtu dan Ahad, dah kurang dua hari. Belum campur I atau you kena kerja di luar, tak sampai tiga hari pun kita jumpa tau.”
Uzma ketawa lagi. Inilah Airil yang dia kenali lebih lima tahun dulu. Ceria dan suka mengusik. Kadangkala nakal juga. Dan hari ini dia merasakan Airilnya sudah kembali. Tapi, sepantas itu juga cepat-cepat disangkal bunga hati yang sedang berkembang. ‘Keadaan’ mereka sekarang tidak mengizinkan dia dari mengimpikan keindahan itu. Tidak boleh! Tanggungjawab yang tergalas di bahunya lebih besar dari memikirkan masa-masa indah bersama Airil. Hatinya membengkak tiba-tiba. Sayu dan gundah mula terasa. Aduh! Peritnya bila jiwa dihimpit sengsara.
Bagi Airil pula, inilah masa yang dia tunggu-tunggu. Melihat keceriaan di wajah Uzma. Apatah lagi bila melihat sepasang mata milik Uzma yang bercahaya bila dia ketawa. Sinarnya bak bintang kejora. Indah sungguh! Tajam menikam hingga ke dasar kalbu. Detik itulah yang sering dia rindu lebih lima tahun ini. Detik yang sentiasa dia nantikan. Dan dalam diam dia memang sengaja mengubah strategi untuk mendekati gadis itu. Sudah ternyata, Uzma tidak akan menerima dirinya jika dia terus mendesak dan berkeras. Berlembut saja cara yang bisa mencairkan sekeping hati milik Uzma itu.
Ternyata, bila dia kembali ke sikap asalnya; berlembut dan bertolak ansur dengan gadis itu, keadaan melihatkan perubahan yang amat positif. Uzma sudah boleh bergelak ketawa dengannya, bukannya cuba menjauhkan diri seperti selalunya. Airil terlalu gembira dengan keadaan ini. Serasakan impiannya selama ini bakal menjadi nyata. Tapi, bila teringatkan ‘keadaan’ mereka yang sukar dan tidak mengizinkan, dia jadi bengang pula. Sampai bila mereka harus dirantai dengan situasi sebegini? Semakin menambah luka di hati.

0 comments:

Post a Comment