Selagi Ada Rindu - Bab 9



MINIT-MINIT pertama, semuanya hanya diam menyepi. Masing-masing seperti menikmati kelazatan roti jala yang Mak Pah buat. Airil begitu berselera. Mungkin sudah lama dia tidak merasai kelazatan masakan Mak Pah. Menu sarapan pagi ini juga atas permintaannya. Tadi, selepas subuh, dia terus mengetuk pintu bilik Mak Pah. Terperanjat besar orang tua itu menerima kehadirannya yang tidak diduga. Berkali-kali Mak Pah menggosok matanya. Seperti tidak percaya ketika melihat Airil berdiri di depan matanya. Hendak tergelak Airil melihat telatah Mak Pah itu.
Bagi Uzma pula, apa yang disuap ketika itu terasa payah untuk ditelan. Rasa tersekat di kerongkongnya. Roti jala yang lembut dan menyelerakan itu sudah bertukar seperti seketul kayu pula baginya. Amat keras dan sukar dikunyah. Sudahnya dia makan bersulamkan air teh O. Itu pun dia terasa pahit ketika menelannya. Eh! Mak Pah lupa menambah gula ketika membancuh air teh tadi ke? Tapi, orang lain selamba saja. Mungkin hanya tekaknya seorang saja yang merasa lain macam agaknya. Hai, semuanya serba tak kenalah. Apa hal ni?
“Airil, kenapa nak balik tak bagi tahu? Kata nak travelling kat sana dulu? Tiba-tiba aje dah terpacak kat rumah ni. Terperanjat umi dibuatnya. Nasib baik umi tak ada sakit jantung. Kalau tak, dah pengsan pagi-pagi buta,” Datin Shafiza memulakan bicara. Kalau tidak ruang itu akan terus terbiar sepi.
“Memanglah cadangnya macam tu, umi. Tapi, bila fikir balik, malas pulak. Lagipun Ril dah lama sangat kat sana. Tu yang terus balik sini. Saja nak buat surprise. Lagipun, boringlah duduk sana lama-lama. Ril dah rindu sangat nak jumpa umi.”
“Tu lah, empat tahun lebih Ril tak balik. Rindu nak jumpa umi ke, nak jumpa siapa? Hmm?” Datin Shafiza terus menduga sambil melirik melihat reaksi anak bujangnya.
Airil tersenyum simpul. Uzma hanya menunduk dari tadi. Duduknya juga bagai tidak selesa.
“Rindu kat umilah... By the way, Uzma tinggal kat sini dah lama ke? Kerja dengan papa? Sejak bila?” Airil terus menyoal tentang apa yang bersarang di benaknya sejak dia tiba semalam. Dia memang sudah tidak sabar-sabar lagi mahu mengetahui cerita itu sebenarnya.
Kejadian awal pagi itu, benar-benar mengusik perasaannya. Dalam penuh tanda tanya, dia gembira sebenarnya kerana orang pertama yang dia temui ketika pulang ke tanah air adalah Uzma, buah hatinya. Apatah lagi bila mereka bertemu di rumahnya sendiri. Lagilah hatinya suka. Terubat lara dan rindu yang selama ini bersarang di jiwanya. Pada perkiraannya, mungkin Uzma adalah anak angkat uminya. Umi kan memang suka menganggap kenalan-kenalan anak-anaknya seperti anaknya sendiri.
Lama pertanyaannya terbiar sepi. Papa dan uminya saling berpandangan. Uzma pula sudah tidak keruan rasa. Hanya menunduk saja sambil tangannya bermain dengan sudu dan garpu, mencarik-carik roti jala dari tadi. Airil sedikit hairan dengan sikap mereka semua. Selalunya meja makan itu tidak pernah terbiar sepi ketika mereka menjamu selera. Ada saja cerita yang mereka kongsikan. Atau mungkin kerana adanya Uzma yang boleh dianggap seperti orang luar. Sebab itulah keadaannya tidak semeriah dulu. Airil bermain dengan teka-tekinya.
“Umi, papa, kenapa ni? Susah sangat ke nak jawab soalan Ril tadi? Kata ajelah ya, bukan Ril nak marah pun. Ril lagi suka. Dia kan girlfriend Ril.”
Datuk Imran menarik nafas dalam. Direnung wajah anak bujangnya agak lama. Airil masih terus berselera menikmati roti jala kegemarannya. Masih tersenyum bila sesekali mereka berpandangan. Apakah Airil akan terus tersenyum bila dia mengetahui perkara yang sudah hampir empat tahun tersimpan kukuh itu? Tapi, apa pun penerimaan Airil, dia tetap harus di beritahu duduk perkara yang sebenar.
“Ril, papa nak berterus terang dengan Ril pasal satu perkara. Papa harap Ril boleh terima. Tentang keluarga kita, tentang Uzma juga.
“Kenapa, pa? Apa dia? Papa nak cakap yang Uzma akan jadi ahli keluarga kita ke? Tak apa, Ril tak kisah, pa,” potong Airil pantas. Penuh ceria. Senyum sudah mekar dari sepasang bibirnya. Di dalam mindanya sudah terlayang kisah penyatuan dia dan Uzma. Semakin lebar senyumannya.
Uzma yang mendengar menghela nafas panjang. Agak resah. Untuk berkata-kata, mulutnya sudah terkunci rapat. Apa yang mampu dia lakukan hanyalah menjadi pendengar dan pemerhati saja sambil tangannya bermain dengan garpu dan roti jala yang tidak sedikit pun luak. Dia seperti duduk di atas bara api. Keadaan pagi yang sejuk dan nyaman tidak menjanjikan ketenangan buat dirinya. Malah ketika itu dia sudah berpeluh-peluh pula.
“Bukan... Dengar dulu apa yang papa nak cakap ni. Sebenarnya... Uzma is your... hmm, she’s... my someone special. Like umi.
Pranggg! Berkecai kaca dari cawan Airil ketika terlepas dari pegangannya. Sekelip mata semua mata terarah kepadanya. Wajahnya serta-merta berubah. Renungannya bagai menagih penerangan lanjut. Tapi tiada seorang pun yang membuka mulut. ‘Uzma istimewa macam umi di hati papa? Apa maknanya? Uzma dah jadi... Oh tidak!’ Jerit hatinya cuba menafikan. Memang dia tidak sanggup untuk menyebut perkataan itu. Tidak sanggup! Hatinya bagai disiat-siat kala itu. Terlalu pedih bak tertusuk sembilu. Ngilu.
Dia merenung papa dan uminya silih berganti. Kemudian pandangannya terarah kepada Uzma. Uzma tidak mampu mengelak. Mata mereka bertentangan dan Airil mahukan jawapan melalui bahasa matanya. Bibir Uzma bergerak-gerak tapi suaranya pula enggan keluar. Sudahnya dia menunduk saja. Tidak mampu bertentangan mata dengan lelaki itu dalam keadaan yang tidak bersedia begitu. Dia akan kalah. Itu dia pasti. Tak perlu guna talian hayat pun kerana dia sudah tahu yang dia pasti kalah. Kala itu dia rasa bersalah sangat. Bersalah kerana mengkhianati cinta dari lelaki setulus Airil. Tapi, apa gunanya. Segala-galanya sudah berlaku.
“Ma, please say that this is not true. Say something! Don’t just keep quiet!” Suaranya sudah meninggi. Ketika itu Airil sudah berdiri sambil menumbuk permukaan meja makan. Wajahnya tegang. Uzma terkedu. Dia mengangkat muka seketika sebelum menunduk semula. Takut pun ada bila Airil seakan tidak dapat mengawal dirinya.
“Airil, jangan tekan Ma macam tu! Kenapa nak marah dia pulak?” Datin Shafiza bersuara. Kesian dia bila melihat Uzma dibentak begitu. Perkara ini memang mereka kena tempuhi. Itu mereka sudah sedari ketika dari hari pertama Uzma melangkah ke dalam rumah itu dulu. Jadi, macam mana kalut sekalipun keadaan sekarang ini, mereka mesti bersikap tenang. Kemarahan Airil tidak boleh dibalas dengan cara yang keras. Keadaan akan bertambah buruk nantinya.
“Tak, umi! Semua ni macam tak masuk akal langsung. Selama ini, umi sendiri tak dapat terima kehidupan bermadu. Umi menentang poligami. Tapi sekarang ni, macam umi... Arghh!!! Dan papa pulak, papa tahu yang Ril sayangkan Ma sangat-sangat. Kenapa dia jugak yang papa pilih? Dia kekasih Ril, papa. Apa yang dah merasuk fikiran papa ni? This is just so damn cruel.”
“Ril nak tahu tentang semua kebenaran, kan? Jadi, inilah kebenarannya. Takkanlah papa dan umi nak buat perkara ni main-main pulak, Airil. Betullah apa yang papa cakap. She is my someone special,” ulang Datuk Imran lebih lantang. Sengaja dia menekankan pada perkataan ‘someone special’. Biar Airil buka telinga luas-luas.
Kata-kata papanya itu disambut dengan renungan tajam. Renungan tidak puas hati. Airil menggenggam kedua-dua tangannya kejap. Menahan berbagai rasa yang meluap-luap. Kalaulah yang berada di depannya ini orang asing, bukan papanya, sudah pasti teruk dia kerjakan. Dia geram sangat ketika itu. Apa yang dia dengari itu bagaikan minyak yang menyimbah api. Membuatkan api amarahnya semakin marak. Menjulang tinggi membakar hati. Hatinya remuk-redam. Hancur bersepai bak serpihan kaca yang terhempas ke lantai.
Kemudian tanpa sepatah kata dia terus berlalu keluar. Sekilas dipandangnya Uzma bersama jelingan tidak puas hati juga. Entah ke mana perginya, tak siapa yang tahu. Perginya membawa hati yang berbuku. Bersama sakit hati dan rasa tidak percaya juga. Baru saja terbit rasa gembira bertemu kekasih hati, lain pula cerita di sebaliknya. Patutlah Uzma beria-ia mahu perhubungan mereka diputuskan dan mahu ianya hanya berlandaskan jalinan persahabatan.
Rupa-rupanya, dalam diam Uzma sudah menjadi ibu tirinya. Ibu tiri? Ah, tak mungkin! Kekasih tetap kekasih. Mana boleh nak di samakan tarafnya setanding umi. Umi tetap umi. Tiada orang lain yang layak di samakan taraf dengannya. Apatah lagi Uzma. Dia akan merebut Uzma kembali. Tak kiralah kalau orang nak kata dia sudah gila atau tak sedar diri. Sekarang ni, siapa yang tak sedar diri? Dirinya yang memang nyata kekasih Uzma atau papanya yang sudah berusia dan memilih pucuk muda itu? Fikirlah sendiri ya.
Disebabkan itu, Airil menanamkan satu tekad di hatinya. Keadaan ini harus dihentikan. Uzma mesti menjadi miliknya semula. Dia akan pastikan itu. Sekarang ini dia memang tidak mahu memikirkan tentang hati orang lain terutama sekali hati papanya. Bagi Airil, hatinya sendiri mestilah diutamakan. Dia tidak kisah kalau ada insan-insan lain akan mengatakan dirinya sudah hilang akal. Dia tidak kisah. Yang penting sekarang ini, misi untuk mendapatkan Uzma semula akan dia lancarkan. Dalam diam dan tanpa pengetahuan sesiapa pun. Dia akan bertindak sendirian.

**********

            Bermula detik itu, kehidupan Uzma tidak setenang selalu. Dari hari ke hari dirinya sering diburu oleh Airil. Walaupun Airil tidak tinggal di rumah itu selepas kejadian pagi itu, dia tetap mencari ruang untuk mendekati Uzma bila berkesempatan. Uzma jadi serba salah. Setiap langkahnya kini menjadi perhatian Airil. Adakalanya, Uzma jadi rimas dengan sikap Airil itu. Sedikit pun tidak memberi dia ruang waktu yang tenang dan damai. Semakin sesak dunianya kini. Paling sukar bila jiwanya diintai rindu yang tak pernah lerai. Rasa itu makin nyata dari hari ke hari. Semakin parah.
            Sementelah rasa rindu itu sentiasa subur di dalam hatinya. Itulah sebab utama kenapa dia tidak bisa mengusir ingatan-ingatan tentang Airil. Sesaat pun tidak pernah lupa. Keadaan ini menjadikan Uzma lebih tertekan sebenarnya. Secara luaran, dia memang bersahaja, seperti tiada apa-apa. Sering tersenyum mesra dan kuat bergurau juga. Tetapi hati di dalam, Tuhan saja yang maha mengetahui betapa dia sering berperang dengan diri sendiri untuk menghadapi keadaan ini. Menghadapi situasi-situasi yang benar-benar  telah merubah hidupnya. Terlalu payah! Akhirnya dia pasrah.

0 comments:

Post a Comment