HUJAN masih lebat. Titis airnya
sesekali mengenai wajah Uzma yang berdiri di kaki lima sebuah kompleks
membeli-belah. Cepat-cepat diseka titis air hujan yang membasahi wajahnya.
Merimaskan! Uzma gelisah. Sudah hampir satu jam dia berdiri di situ, tapi hujan
masih belum mahu berhenti. Pasti dia lewat lagi sampai di rumah kalau begini
keadaannya. Sekejap-sekejap dia melirik jam di pergelangan tangan kanannya.
Risau membaluti hati. Dia jadi resah gelisah. Dua, tiga orang yang berdiri
berhampiran juga turut tertoleh-toleh ke arahnya. Mungkin pelik melihat dia
yang kalut semacam. Dia tidak peduli. Bukannya mereka faham akan masalahnya.
Menyibuk saja!
Janjinya tadi, dia hanya perlukan sedikit masa saja untuk
membeli sedikit barangan keperluan dirinya.
Sekarang ini, sudah masuk jam yang kedua, dia masih lagi terpacak di
situ. Ah! Biarlah. Kalau nanti dia kena marah, nasiblah. Bukan salah dia pun.
Hujan nak turun, bukan boleh ditahan-tahan. Dia bukannya superwoman atau ada kuasa magic.
Ironinya, dia juga bukannya seorang ‘bomoh hujan’ yang mampu ‘melarikan’ hujan
ke tempat lain. Isy! Mana ada manusia yang boleh melawan kuasa Allah. Tak masuk
akal kalau manusia boleh melarikan hujan. Kan itu semua kuasa Tuhan pencipta
seluruh alam. Uzma menggelengkan kepala beberapa kali mengenangkan pendapat
segelintir manusia yang amat mempercayai benda-benda karut seperti itu.
Sekarang ini yang menjadi masalahnya, dia meletakkan
keretanya agak jauh sedikit dari kompleks itu. Bukan di basement atau roof topnya.
Alah, benda nak jadi hal, nak buat macam mana? Lagipun bukan dia sengaja. Kalau
nanti dia dimarahi, nasiblah. Dia tak kisah. Bukan baru sekali ini dia terlewat
dari masa yang dia tetapkan sendiri. Sudah terlalu kerap. Paling teruk pun dia
hanya dimarahi. Lebih dari itu, tiada apa-apa yang perlu dia bimbangkan. Pasti
Datin Shafiza akan menyebelahinya, seperti selalu. Ingatan itu mengundang
senyum yang meleret.
**********
TAK semena-mena badannya dilanggar oleh
seseorang. Habis bertaburan shopping bags
yang dipegangnya. Serta-merta mukanya masam mencuka. Dia melepaskan keluhan
kecil. Geram! Dalam keadaan yang kalut begini, ada saja sesuatu yang tidak
dijangkakan berlaku. Sudahlah dalam keadaan hujan begitu, ada pulak insan yang
tak reti-reti nak bersabar. Main rempuh saja! Dia menunduk seakan mencangkung
untuk mengutip beg shoppingnya yang
bertaburan. ‘Dia ingat aku ni apa? Tiang elektrik ke? Main rempuh sesuka hati
aje,’ bebelnya dalam hati.
“Opps... sorry. Cik
tak apa-apa ke?” tegur orang yang melanggarnya. Seorang lelaki. Dia turut
tunduk untuk mengutip beg shopping
milik Uzma yang bertaburan.
Dalam keadaan yang masih geram, Uzma mendongak sedikit untuk
melihat wajah lelaki itu. Kemudian dia menunduk semula. ‘Isy! Boleh tanya macam
tu pulak! Mestilah tak okey. Takkan itu pun tak boleh nak fikir,’ omel Uzma
lagi, tanda tidak puas hati.
Walaupun hatinya membentak namun dia langsung tidak memberi
respons pada pertanyaan lelaki itu. Hanya membebel dalam hati. Malas nak
melayan sebenarnya. Entah siapa-siapa agaknya.
“Auch! Hei,
apa you buat ni? Sakit dahi I ni tau!” sergah
Uzma, agak marah bila dahi mereka berlaga. Dia mengusap dahinya beberapa kali.
Dahlah suka-suka dia dilanggar. Lepas tu dahi mereka pula ‘berlanggar’. Dengan orang yang sama pula tu! Apalah nasib.
Orang kata kalau bertemu cara begini, ada jodoh. Jodoh apanya kalau menyakitkan
hati.
“You ingat I nak buat apa?
I nak tolong you pungut barang-barang you nilah. You ingat I suka-suka aje
ke nak ‘cium’ dahi you tu. Oh! Please...”
jawabnya selamba sambil menghulurkan beg-beg shopping Uzma yang dikutipnya. Uzma menyambut kasar. Tiada senyum
yang terbit. Juga tiada ucapan terima kasih. Hanya jelingan tajam yang mewakili
rasa jengkel di hati.
“That’s good. So, what
are you waiting for? You may go now,
Mr.!”
“Amboi! Cantiknya bahasa. Terima kasih tak ada, sedap aje nak
halau kita. You tak nampak ke hujan tengah lebat ni? Buta ke?” Dia terus
menjarakkan diri dari Uzma.
Uzma terkesima. ‘Pandai mengata orang tak reti bahasa.
Sendiri apa kurangnya. Macamlah bahasa dia cantik sangat! Dua kali lima aje.’
Lelaki itu masih memerhatikan Uzma walaupun pada jarak yang
agak jauh. Menyedari itu Uzma segera melarikan wajahnya. Tidak mahu
bertentangan mata. Apatah lagi bila melihat lelaki itu tersenyum meleret. Macam
kerang busuk! Eii, sakitnya hati! Meluat sangat!
Dan bila hujan mula reda, tanpa berlengah lagi Uzma terus
menapak menuju ke keretanya. Ketika melintasi lelaki itu, dia menghadiahkan
jelingan tajam tetapi, dibalas dengan senyuman manis pula oleh lelaki itu.
Bertambah sakit hatinya. Harapannya tadi agar lelaki itu tidak terus-terusan
memerhatikan dirinya. Ini, terbalik pula. Makin dijeling, makin galak mata
lelaki itu memandang padanya. Isy, menyampah betul!
“Bye, sweet girl. Harap-harap
kita dapat berjumpa lagi,” usik lelaki itu pula.
Uzma merungut dalam hati. ‘Isy! Lelaki ini memang nak kena.
Nantilah kalau terjumpa lagi. Tahulah apa aku nak buat. Muka handsome, dressing memang smart tapi perangai tak taulah nak
kata,’ omelnya dalam hati. Uzma melangkah tanpa menoleh lagi. Dia mahu segera
sampai ke keretanya. Dia mahu segera sampai ke rumahnya. Dia mahu lari dari ini
semua. Itu saja.
Itu kisah empat tahun lalu. Kisah pertemuan dengan seseorang
yang amat memberi makna buatnya. Kisah semasa hujan lebat. Sama seperti saat ini.
Bila hujan dia pasti terkenangkan peristiwa itu. Ketika dia masih baru
mengenali Airil Rayyan. Kisah yang terlalu banyak meninggalkan sendu dan luka di
hatinya. Kisah di mana dia terpaksa melupakan cinta buat beberapa ketika. Dan
yang menjadi mangsa keadaan tentulah dia dan Airil Rayyan sendiri. Terpaksa
berkorban kasih demi satu ‘kehormatan’. Terpaksa mengetepikan perasaan kasih
yang sedang mekar demi menjaga sebuah ‘maruah’.
**********
“MA dari mana ni?
Dah nak senja baru sampai rumah. Kata tadi keluar kejap aje. Sekarang ni dah
pukul berapa?”
Uzma menelan air liur. Sudah dijangka bahawa dia akan disoal
siasat begitu. Walaupun nada suara itu tidak membayangkan nada kemarahan, Uzma
yakin kepulangannya memang dinanti dan merisaukan semua pihak. Dia tahu itu.
Malah teramat tahu dan kadangkala dia mengambil sikap sambil lewa kerana dia
tahu bahawa kemarahan itu hanya bersifat sementara.
“Ma dari shopping
complex. Hujan lebat. Tu yang jadi lambat. Ma mintak maaf kalau merisaukan
semua orang.”
“Senangnya nak mintak maaf! Kenapa tak call? Mana boleh orang dalam rumah ni tak risau. Ma tu perempuan.
Jalan sorang-sorang pulak! Kalau apa-apa jadi, macam mana?”
“Handphone habis
bateri.”
“Habis tu, tak pandai nak guna public phone? Ma ni, kenapa?”
Uzma terkedu. Ketegasan suara itu benar-benar membuatkan dia
rasa kecut perut. Padahal bukan dia tidak biasa dengan keadaan begitu. Kena
marah pun dia sudah biasa sebenarnya. Kadang-kadang lagaknya seperti anak kecil
yang dimarahi oleh sang ayah apabila pulang dalam keadaan basah lokos selepas
bermain hujan. Cuma dia yang degil. Tak serik-serik walau sudah sering kali
ditegur. Dia memang keras hati. Bukan itu sahaja, dia juga keras kepala. Itu
hakikatnya. Makin ditegur, makin dibuatnya. Makin ditegah, itu jugalah yang diulanginya.
Sungguh begitu, dia tetap menghormati insan-insan di dalam rumah besar itu.
Terlalu menghormati, sebenarnya.
“Abang ni, kenapa? Budak tu baru aje balik dah nak membebel.
Senja-senja macam ni tak baik berleter, bang. Dahlah tu,” tegur Datin Shafiza
pada suaminya.
Datuk Imran hanya bersahaja. Dia tahu, isterinya pasti
menyebelahi Uzma, seperti kebiasaannya.
“Dah Uzma, pergi naik atas. Mandi. Salin baju tu. Dah kena
hujan macam ni, demam pulak nanti,” arah Datin Shafiza pula.
Dengan pantas Uzma berlari anak, naik ke tingkat atas. Dia
tahu, kalau makin lama dia menunggu, pasti sesi soal siasat ini akan
berterusan. Datuk Imran akan bertanya sehingga dia benar-benar puas hati dengan
jawapannya. Itu belum ditambah dengan campur tangan Datin Shafiza lagi. Makin
kecoh suasana nanti.
**********
DI DALAM kamar, Uzma tidak terus mandi.
Sebaliknya dia berbaring menelentang di atas katilnya sambil merenung siling.
Dirinya masih di selubungi kenangan silam. Kenangan yang teramat manis untuk
dia sisihkan. Walaupun ia hanya tinggal kenangan, ingatannya tidak pernah pudar
pada lelaki itu. Apatah lagi sekarang ini mereka semakin dekat. Dekat tapi
jauh. Tersenyum sendirian bila teringatkan peristiwa saat dia ‘berlaga’ dengan
seorang jejaka. Dalam marah dia tersenyum juga bila mengenangkan senyuman manis
dan usikan nakal lelaki tersebut. Wajah tampan milik lelaki itu berlegar di
ruangan matanya. Memenuhi siling. Lelaki itu seakan tersenyum padanya. Uzma
turut tersenyum lagi dan bayangan itu terus hilang bila ketukan di pintu
bergema. Uzma mengeluh perlahan. Baru nak berangan, sudah ada yang kacau daun.
Dengan malas dia bangun dan menghampiri pintu.
“Ya, ada apa, Mak Pah?”
“Ma, Datin kata kalau dah siap dia suruh turun makan.”
Uzma melirik pada jam di meja tepi. Hampir pukul 7.30 pm.
“Yalah. Mak Pah beritahu Datin, kejap lagi Ma turun. Ma nak mandi dan solat
dulu, ya.”
“Baik. Tapi, cepat sikit ya, Ma. Datuk dah tunggu kat bawah
tu. Yang lain pun kejap lagi turunlah tu.”
“Yalah. Bagi Ma setengah jam okey.”
Dengan malas Uzma melangkah ke bilik air. Dicapai tuala yang
tergantung di rak berhampiran pintu bilik air. Kalau ikutkan hatinya memang
malas mahu turun makan. Badannya masih letih. Matanya juga rasa mengantuk.
Tapi, bila mengenangkan caranya itu akan menambahkan kemarahan, ditelan juga
rasa malasnya. Nanti dikata dirinya tidak tahu di untung pula.
0 comments:
Post a Comment