Cinta Kuasa Tinggi - Bab 4



“QUE!”
Langkah Que terhenti serta-merta. Alamak, nak kena marah ke ni?! 
“Ya, bos!” 
Que tidak jadi menuju ke arah pintu utama. Sebaliknya dia membelok ke arah kiri dan berdiri di situ. Menanti El yang sedang mara ke arahnya. Di tangan lelaki itu terdapat beberapa pucuk surat dan beberapa helai kertas. Mesti nak suruh buat kerja ni.
“Awak dah nak keluar, ke?” 
“Ha’ah. Nak pergi bank dan ada dua, tiga tempat lagi. Kena hantar sebelum lunch time.” 
El melirik jam tangannya. Hampir jam 9.45 pagi. Sempat lagi kalau nak minta tolong. 
“Tolong saya sekejap, boleh kan?” 
Kan? Dah agak dah... mesti mahu beri kerja. 
Que menaikkan kening. Kena minta izin dulu, ke? ‘Dia bos ke, aku yang bos? Kan dia bos. Suruh sajalah.’ Dia memang pekerja di situ. Dia yang memang kena menurut perintah. Tapi, perintah yang berhemahlah. Kalau yang tidak patut, jangan haraplah dia hendak patuh. Membantah lagi, adalah. Jangan ingat dia jenis yang tidak kisah, semua benda dia main redah saja. Oh! Tidak sama sekali. 
Dia tidak akan melanggar prinsipnya. Apatah lagi, hanya kerana seorang lelaki. Patuh dengan menurut adalah dua perkara yang berbeza. Patuh, kerana arahan yang diberi daripada seorang ketua. Menurut, pada perkiraannya mengikut tanpa usul periksa, terutama pada perkara yang tidak elok. 
“Saya cari Zira. Tak ada pula di tempatnya. Pagi-pagi lagi dah ‘mengular’,” terang El tanpa dipinta. Ada keluhan di hujung suaranya. 
Kebisuan Que mengundang rasa tidak enak di benak El. Wajahnya berubah sedikit. Mungkin Que rasa keberatan untuk membantunya. 
Zira adalah pembantu peribadi El. Baru lagi bekerja di situ. Adalah dalam dua minggu! Hah, dia ini baru boleh dikatakan ‘PA yang betul-betul tidak sedar diri’. Kira sudah rampas takhta si Erin itulah. Lagi gila kuasa. Kiranya Erin sudah boleh berbahagia, balik semula ke jabatan asalnya. Tidaklah lagi melakukan dua tugasan sekali gus. 
“Eh, boleh bos! Tak ada masalah. Bos nak saya buat apa?” 
“Tolong fakskan salinan surat-surat ni ikut nombor faks yang tertera. Saya dah tulis kat bahagian belakang surat tu dan... surat-surat bersampul ni awak tolong hantar ke alamatnya. Mesti hantar hari ni juga, ya? Lepas lunch pun tak apa. Penting tu.” 
“Baik, bos. Tapi, kenapa surat-surat ni tak e-mel aje? Kan lagi senang macam tu.” 
Our network, breakdown. Take time to fix it. Surat ni penting, tu yang saya nak awak faks dulu. Saya dah janji dengan mereka nak bagi salinan sebelum surat-surat tu sampai kepada mereka. Nanti line dah okey, saya akan e-mel untuk susulan.”
“Oh, okey.” 
Que terus mengambil surat-surat yang dimaksudkan dan berpatah balik ke mejanya. Messenger bag yang tadi disilangkan di badan, diletakkan semula di atas meja kerja. Salinan surat-surat yang El beri tadi dibawa ke mesin faksimili, di bahagian belakang. Yang hairannya, El masih mengekori langkahnya. Lupakah dia bahawa bilik pejabatnya di sebelah barat sana, bukan di sini. 
Di sini tempat pekerja-pekerja am sepertinya. Apa yang El mahu buat di situ? Ah, malas nak fikir. Dia tetap meneruskan langkahnya menuju ke arah mesin faks. Mungkin El mahu ke pantri atau tempat Jess. Bukankah dia selalu merujuk pada Jess tentang urusan kerja terutama yang berkaitanan dengan HR. Mungkin juga, kan? 
Que segera memasukkan kertas yang pertama di tray mesin faks. Namun, jarinya terhenti tiba-tiba hendak mendail nombor yang dimahukan bila jari El lebih pantas berada di permukaan mesin faks itu. Pantas juga Que menarik tangannya dan menoleh ke arah El yang sudah berdiri di sebelahnya. 
Tidaklah terlalu hampir. Masih berjarak. Kira jarak yang selamatlah juga. Jika apa-apa berlaku, masih sempat bertindak. Dia mengangkat kening, menghantar pertanyaan.
“Kenapa? Tadi kan suruh saya faks surat-surat ni?” tanyanya sedikit hairan. 
El seperti serba salah. Jari sudah menggaru pelipis tanpa sedar. Tangan kanannya pula sudah mencekak pinggang yang tidaklah ramping mana pun. Que pelik. Apa hal pulalah Mr. El ini? Kelu pula hendak berbicara. Terkedu ke, menatap wajahku yang ‘jelita’.  
“Mr. El? Nak faks ke tak nak, ni? Saya nak keluar dah. Nanti lambat surat-surat ni sampai pada penerimanya,” gesanya lagi bila El masih juga berdiam. 
“Err... hmm... saya nak awak ajar saya macam mana nak guna mesin faks ni, boleh?” Tergagap-gagap El mengutarakan soalan. Serba salah nampaknya dia. 
Laa... tadi kata hendak minta tolong faks surat. Ini hendak minta tolong ajar pula. Berapa banyak tolong daa... 
Que tercengang sebentar. Dia menunjuk dirinya sendiri, kemudian terus jari telunjuknya mengarah ke mesin faks dan berakhir pada diri El. Membentuk seakan segitiga di awang-awangan. El hanya mengangguk beberapa kali. 
“Saya? Saya ajar, bos?” 
El mengangguk lagi. Tapi, kali ini lambat-lambat. Seakan dapat menghidu sesuatu daripada riak suara Que ketika bertanya tadi. Dan... 
‘Kikiki...’
Matanya semakin mengecil bila ternyata Que tidak dapat menahan tawa yang disimpan dan ketawa gila-gila.
“Que?!” 
Que mengangkat tangan kanannya tanda ‘okey, saya berhenti ketawa’. Tapi, masih jelas terlihat dia menahan sisa tawa yang bila-bila masa saja boleh meletus semula. Nakal sungguh! 
“Maaf, bos. Terketawa tak agak-agak pulak. Bos tak tahu nak guna mesin ni, ke?” tanyanya dalam usaha cuba berlagak biasa. 
Jawatan punyalah tinggi. Berpelajaran tinggi... tapi, hendak guna mesin faks, gagal. Apa punya oranglah, kan? Itu benda penting jika e-mel dan segala bagai peralatan teknologi tinggi tidak boleh digunakan. Mesin ini jugalah yang jadi sasaran. Mesti patut tahu itu. Memang gagal tahap tidak ingat ini. 
“Awak jangan nak gelakkan saya lebih-lebih, Que. Saya bukan tak reti nak guna mesin ni. Tapi, dah lama tak guna. Lupa.” 
Ceh! Alasan standard tu! Lupa yang membawa erti tidak ingat langsung. 
“Okey, meh saya tunjuk. Take note ya, bos. Saya ajar sekali aje. Free of charge. Kalau kali kedua dan seterusnya, kena bayar.” 
“Amboi! Cekik darah awak ni, ya?” 
Peduli apa! Cekik darah ke, cekik dia sampai separuh nyawa ke, ada aku kisah? 
“Nak ke, tak nak? Kalau tak nak, saya suruh orang lain aje yang ajar bos.” 
“Okey. Saya take note. I’m a fast learner, you know. Ajar sekali pun, saya dah boleh ingat.” 
“Hmm... sekali dah boleh ingat? Tu yang lupa tu... Berapa kali belajar dah? Opss! Lupa... Fast learner tak membawa maksud good learner, kan? Cepat belajar, tapi mudah lupa. Kalau bagus, tentu ingat sampai bila-bila. It’ll stay in your head forever, right?” 
Ambil kau! Sedebik Que smash pada El. Ingat penghantar surat macam dia tidak reti guna ayat ‘power ranger’ ke? 
“Awak ni pandai bercakap. Apa pasal dulu mohon jadi despatch girl? Jadi lawyer, kan bagus. Sedap aje lawan awak kena smash macam tadi.” 
Opss! Itu isu sensitif. Biarlah rahsia. Jadi lawyer? Yang di mahkamah, pakai jubah hitam dan kerjanya berlawan cakap itu? Belum masuk dalam jiwa. Loyar buruk bolehlah dia. 
“Okey, nak buat apa ni? Dail nombor?” El yang memulakan bila pertanyaannya tadi tidak mendapat reaksi daripada Que. Tidak sudi jawablah, kan? Jadi, tiada paksaan. 
“Nanti dulu...” Que berjeda.
El terhenti mendengar larangan Que. Dia menumpukan perhatian pada gadis itu. Cuba mendengar penjelasannya. Seketika, Que menyambung cakap. “Buat kerja tak boleh gopoh-gopoh. Kena sabar. Kena ikut flow, bos. Mula-mula, kena masukkan kertas kat tray ni dulu. Bila mesin dah mula tarik kertas tu, baru dail nombor yang bos tulis tadi. Sampai...” 
“Eh! Apa Mr. El buat, ni? Kenapa pula Mr. El yang faks surat-surat ni?” 
Cis! Macam ribut dia datang daa... 
Aduh, ‘PA tidak sedar diri’ ini rupanya! Dari manalah dia datang dengan kelam-kabut serabutnya. Jatuh dari siling ke, apa? Tiba-tiba saja muncul, sampaikan El terkebelakang sedikit kedudukannya bila angin ribut taufan ‘PA tidak sedar diri’ itu mengganas. Seboleh-boleh dia hendak menyelit di antara Que dan El.Tembok besar Cina betullah dia ini! 
“Saya nak belajar guna mesin faks ni lah. Tu yang minta tolong Que tunjukkan,” jawab El bersahaja. 
“Hisy! Apa bos ni? I pun boleh ajar. Dia ni, tahu apa? Hantar surat, tahulah!” katanya sambil menjeling ke arah Que. 
Eleh, ingat aku takut ke? Kenyataan. Memang kerjanya sebagai penghantar surat yang berkaliber. Tidak perlu kecil hati pun. 
Que memandang Zira dengan pandangan yang tajam. Tapi, sedikit dikawal perlakuannya di depan El. Kenalah hormat bos, kan? Amboi! Mulut perempuan ini memang terlebih insurans ke, apa? Cakap ikut sedap mulut dia saja. Kalau ikutkan hati, memang mahu beri Zira ini makan ulam cili. Biar dia rasa. Pedas ke, pijar? Sedap dia saja nak cakap apa. Ini Quelah. Apa benda yang dia tidak reti? Buat ‘dajal’ saja yang dia kurang reti sebenarnya. Tapi, kalau sudah dicabar tahap tidak ingat, daripada tidak reti jadi terlebih pakar pula nanti. Tengok sajalah. Nasib baik ada bos. Kalau tidak... sendiri mahu ingatlah, ya? 
“Okeylah, bos. Saya keluar dululah, ya. Karang, surat-surat tu tak sempat pula nak dihantar.” Que minta diri. 
Sudah ada rasa berbahang sebenarnya. Salinan surat-surat yang masih di tangannya, diserahkan pada El. Tapi, belum sempat El menyambut, pantas disambar oleh Zira pula. Memang gaya ribut betul perempuan seorang ini. Siap senyum lebar lagi pada Que. Ini betul minah sengal. Entah apa-apa entah. Gaya, macam cemburu saja bila Que beramah mesra dengan El.
“Eh! Pergilah cepat. Kata nak hantar surat. Apa tercegat lagi? Curi tulang, ya?” sindir Zira tidak bertapis. 
Que jongket bahu. Malas hendak bertekak. Jauh sekali mahu melayan. Que terus berpusing dan menuju ke mejanya untuk mengambil barang-barang. Hati memang panas, tapi kena sabar. Itu yang mak selalu pesan. Sabar... Que. Kita nampak elok, bila sabar. Hmm... Que menenangkan diri sendiri. Rasa marah jangan disambut. Apatah lagi dilayan. Nanti diri sendiri yang hangus terbakar. 
“Kalau dah nama despatch tu, buatlah cara despatch. Ni, sibuk nak himpit bos pula,” gumam Zira pelahan, tapi masih dapat didengari oleh El. 
Que yang berada tidak jauh dari situ juga dapat mendengarnya walaupun sayup-sayup di bawa angin lalu. Dia hanya geleng kepala. Lantaklah... ada aku kisah? 
‘Aku yang nak himpit bos ke, atau dia?’
“Dah! Jangan nak mengata orang pula! Awak dari mana ni? Asyik hilang aje. Kerja awak sebenarnya apa kat sini?” 
Pergh! Sedebik Zira kena sembur. Que senyum sinis mendengarnya. Padan muka Zira! 
“I pergi HR, bos. Jess suruh kemas kini data peribadi I secepat mungkin.” 
“Tak reti nak beritahu saya dulu sebelum pergi?” 
“Alah, bos... saya lupa. Meh, saya ajar macam mana nak guna ni.” Zira tukar tajuk. “Mula-mula, you masukkan kertas ni. Lepas tu, baru dail.....” lunak merdu ala-ala gedik suara Zira memberi penerangan. 
Sayup-sayup Que mendengar suara Zira yang manja. Mesti badannya juga terliuk-lentok. Dapat Que bayangkan. Macam orang patah tulang. Tidak boleh tegak. Selepas itu, dia tidak mendengar apa-apa lagi kerana jasad dan rohnya sudah melepasi pintu utama. Kurang sikit serabut kepalanya saat itu. Bebas! Aman! Yahoo! Merdeka!!!

0 comments:

Post a Comment