Rindu Jadi Saksi - Bab 5



“ENCIK Irfan tak balik lagi ke? Dah lewat ni,” sapa Shahira di muka pintu. Jam ketika itu menunjukkan pukul 7.00 malam. Dia sudah bersiap sedia untuk pulang.
“Kejap lagi. Ada kerja sikit yang I kena siapkan. You dah nak balik ke?” Irfan bertanya lembut. Dialihkan tumpuan pada Shahira yang sedang berdiri di muka pintu.
Shahira sekadar mengangguk. Alahai, bagai nak luruh jantung Shahira mendengar suara Irfan yang romantis itu. Lemah lututnya.
“Balik sorang?”
Shahira mengerutkan dahi. Pertanyaan itu seakan pelik bunyinya. Macamlah Irfan tidak tahu selama ini pun pergi dan balik kerja memang dia sendiri. Tak pernah ada yang menghantar dan menjemputnya. Agaknya dah tak ada soalan lain kot dia nak tanya.
“Yalah. Sorang. Encik Irfan ni sudah gaharu, cendana pulak. Dah tahu, sengaja tanya pulak.”
Senyum manis terukir di bibir lelaki itu. Entah apa yang bermain di benaknya, Shahira tidak pasti. Ah! Entahlah kenapa setiap kali melihat senyum itu mekar, hati Shahira bagai  dilanda gelora. Senyuman lelaki itu bagai menusuk ke dalam kalbunya.
“Okeylah, Encik Irfan. I balik dulu.” Dia minta diri, tak mahu berlama-lama di situ. Hanya tinggal dia dan Irfan saja. Ini akan mengundang bahaya nanti.
Irfan tersenyum sambil mengangguk. Manisnya senyuman itu. Lagi sekali hatinya di gelodak resah. Irfan memerhati langkah Shahira yang teratur. Dia bersandar di kerusi empuknya. Dalam hati dia berdoa agar Shahira berpatah semula ke arahnya. Ada sesuatu yang ingin dinyatakan. Sesuatu yang sudah lama dia pendam. Sesuatu yang sudah mula menguasai jiwa dan mindanya.
Akhirnya, beberapa langkah sebelum sampai ke pintu utama, Shahira mematikan langkahnya. Irfan menegakkan duduknya. Teruja untuk tahu apa yang bakal Shahira lakukan seterusnya. Terus melangkah keluar atau berpatah balik ke arahnya. Dia masih memerhati dalam debar yang cukup besar gelombangnya. ‘Patah balik, patah balik,’ bisiknya dalam hati. Penuh mengharap. Dan seperti ada telepathy antara mereka, Shahira berpaling semula seperti yang dia harapkan.
Yes!” Jeritnya perlahan walaupun belum tahu apakah puncanya Shahira berbuat begitu. Entah-entah dia tertinggal sesuatu miliknya saja. Dia sudah mula seronok pula.
Seperti yang dijangka, Shahira mengatur langkah kembali ke arahnya. Makin kembang hatinya. Senyum terhias di wajah tampan itu. Dia menanti dalam debar yang tidak ada tanda-tanda akan surut. Memang dia nantikan detik itu. Amboi! Bukan main perasan lagi dia. Apa, dia ingat Shahira syok sangat kat dia agaknya. Shahira sudah berdiri di pintu biliknya. Itulah Shahira sebenarnya. Kalau tinggal hanya mereka berdua saja di pejabat itu dia lebih rela berdiri di muka pintu.
“Maaf, I lupa nak wish kat you.” Ucap Shahira datar. Irfan sedikit hairan. Terjongket keningnya. “Happy Birthday Encik Irfan,” sambungnya lagi diiringi seulas senyuman.
“Terima kasih,” balas Irfan galak. Suka sebenarnya. “Macam mana you tahu? You baca profil I ke?” Tika itu suaranya berbaur antara rasa teruja dan terperanjat. Seronok dan tak sangka pula Shahira tahu tarikh hari lahirnya. Lagilah dia ‘perasan’ tika itu. Dia sudah dapat merasakan yang Shahira mula tertarik padanya. Isy! Isy! Isy! Kalau suruh berangan, berilah pada dia. Tahulah dia bagaimana harus dia mainkan peranan. Berangan sampai ke bulan pun dia boleh.
 “I tak ada hak buat macam tu, kan?” Shahira tersenyum manis. “Tapi maaflah, I tak ada hadiah untuk you.”
“Tak apa! Ingatan you tu pun dah buat I gembira. Macam orang selalu kata, bukan hadiah yang penting tapi ingatan yang boleh mencairkan perasaan. Tapi kalau you bagi yang ‘satu’ tu, I lagi gembira,” dia mula mengusik pula.
Shahira memandangnya tanpa berkelip mata. Ada kerutan di dahinya.
“Apa dia?”
“Hati you...” Balas Irfan nakal. Senyum sudah memekar dari seulas bibirnya.
“Merepeklah Encik Irfan ni!” Dia tergelak kecil. Tak masuk akal jawapan Irfan sebentar tadi. Tanggapannya, Irfan sengaja mahu mengusik sahaja. Saja mahu bergurau agaknya. Tapi, wajahnya sudah berona merah bila diusik begitu. Isy! Ada-ada sajalah Irfan ni.
******
IRFAN pula, tujuan asalnya memang mahu mengajak Shahira keluar berdua hari itu. Maklumlah hari ini hari lahirnya. Jadi, dia ingin sesuatu yang bermakna juga berlaku pada tarikh yang sama. Tapi, hari ini memang merupakan hari yang sibuk. Tadi, bila dia lihat Shahira sibuk benar dengan tugasannya dan macam tidak peduli akan kewujudan dirinya, dia batalkan niat itu buat sementara waktu. Bukan apa, dia tidak mahu ‘ditolak’ mentah-mentah. Mana mungkin Shahira sempat memikirkan  apa yang bakal dia katakan dalam keadaan yang sesibuk begitu. Jatuhlah egonya. Jangan tak tahu, kadangkala keegoannya mengalahkan ketinggian KLCC.
“Okeylah...” Suara Shahira itu mematikan lamunannya. Baru dia tersedar, dia sudah jauh dibuai alunan perasaannya.
“Err... Shahira tunggu sekejap. Ada hal yang I nak cakapkan.”
Langkah Shahira mati. Dia berpaling. Irfan sedang menghampirinya. Dia menanti dalam senyum.
“You... Buat apa malam ni?”
“Malam ni? Kenapa?”
“I nak ajak you keluar. Makan malam dengan I sempena hari jadi I atau keluar saja-saja pun tak apa. Boleh?”
Shahira terkesima sebentar. Melopong mulutnya mendengar kata-kata Irfan itu. ‘Dia nak ajak aku dating ke? Isy! Takkanlah pulak,’ dia mula berteka-teki sendiri. Tetapi secepat itu juga disangkal kata hatinya. Tak mahu berperasaan begitu. Dia juga yang susah nanti.
“Saya...”
Belum habis Shahira berkata-kata, mereka dikejutkan dengan suara sapaan dari seseorang. Mereka menoleh serentak. Marina baru masuk dengan wajah yang cukup ceria. Bukan main lagi dia bergaya. Dengan baju sendat dan skirt pendek separas paha. Menampakkan kulitnya yang putih bersih. Memang dia jenis perempuan yang berani.
“Hai, Fan. Kenapa tak jawab panggilan I? Dari pagi I call tau,” Marina bersuara manja. Dengan selamba dia memaut lengan Irfan mesra bila perasan yang Shahira berada di situ juga. Jelas juga terlihat seperti dia ingin mencium pipi Irfan. Namun cepat-cepat Irfan mengelak. Meliuk-liuk tubuhnya di sebelah Irfan. Sedikit muncung bila perbuatannya itu tidak mendapat tindak balas dari Irfan. Membuntang mata Shahira melihat apa yang hampir terjadi. Hampir saja dia mahu memejamkan mata agar tidak terlihat adegan itu. ‘Perempuan ni tak tahu malu ke?’ Bisik hati Shahira, meluat.
Dari gaya dan air mukanya, kelihatan Irfan sedikit tidak selesa. Apatah lagi Shahira ada bersama ketika itu. Entahkan dia cuma berlakon di hadapannya saja, tak tahulah. Cuba untuk menjaga reputasinya di hadapan staf seperti Shahira. Entah-entah selama ini perkara itu sudah menjadi kebiasaan bagi mereka. Bercium pipi ketika bersua. Malah mungkin lebih dari itu. Shahira beristighfar. Antara menginsafi diri dan membuang prasangka buruk terhadap Irfan.
“Maaflah... I tak perasan tadi. Kami baru habis mesyuarat,” dia berdalih. Dipandangnya Shahira yang bersahaja. Mohon secebis pengertian. Shahira yang memahami maksud renungan Irfan itu cepat-cepat mengangguk, mengiakan kata-kata Irfan. Marina menjeling cuma pada Shahira.
“You buat apa kat sini. Kenapa tak balik lagi? Mesyuarat dah habis, kan?” Dia beralih kepada Shahira pula.
‘Ewah! Ewah! Macamlah pejabat ni pejabat dia. Dia yang datang sini, banyak soal pulak,’ rungut Shahira dalam hati. Tapi dia tetap memaniskan muka walaupun tetamu yang datang memang tidak di undang.
“I memang nak balik pun Cik Marina,” balas Shahira bersahaja.
So, tunggu apa lagi. Balik ajelah. Takkan you nak suruh Irfan hantar you pulak!” Bentaknya kasar.
“You ni kenapa nak marah-marah dia. I yang suruh dia tunggu. Ada benda yang kami nak bincangkan,” Irfan membela.
Shahira tersenyum cuma mendengar jawapan Irfan itu. ‘Sayang jugak dia kat aku rupanya,’ kata hatinya pula. Isy! Mulalah nak perasan yang bukan-bukan. Sedang Marina sudah mula bermasam muka.
“Okeylah... Jom. Kita raikan hari jadi you. I dah tempah meja kat tempat yang you suka tu,” usul Marina pula. Tumpuannya sudah beralih pada Irfan sepenuhnya tanpa menghiraukan Shahira yang masih berdiri, memerhati tanpa sebarang reaksi. Jauh sekali untuk cemburu. Irfan bukan siapa-siapa dengan dirinya. Tak ada kena mengena langsung. Sekadar bos dengan pekerja.
Berubah riak wajah Irfan bila mendengar cadangan Marina itu. Ditoleh ke arah Shahira di sebelahnya. Shahira hanya tersenyum tanpa sebarang reaksi. Irfan jadi tidak tentu arah sebentar. Rancangan asalnya tadi mahu keluar dengan Shahira. Tiba-tiba pula Si Marina ni muncul, membuatkan keadaan kucar-kacir. Geram betul dia! ‘Bikin rosak ana punya program,’ jeritnya dalam hati. Meniru dialog yang Allahyarham Tan Sri P. Ramlee guna dalam filemnya.
“Rina, I rasa tak bolehlah. I betul-betul kena siapkan tugasan penting hari ni,” dia beralasan. Memang dia sengaja mencipta berbagai alasan kala itu. Niatnya cuma satu, ingin keluar berdua dengan Shahira, bukan Marina! Shahira pula, sudah hampir tergelak mendengar alasan Irfan. ‘Ada tugasan penting konon. Padahal ada rancangan lain,’ omelnya dalam hati. Tapi, ditahan juga agar tidak berderai tawanya.
“Alah, you ni. Takkanlah masa hari jadi you pun you nak fikir pasal kerja jugak. Bukan selalu tau kita dapat luang masa bersama! Kerja tu, esok-esok boleh buat. Letak tepi dululah. Shahira kan ada, biarlah dia yang selesaikan. Takkan dia tak boleh buat kerja kot,” Marina merengek manja sambil menjeling pada Shahira.
Meluatnya Irfan masa itu. Shahira apa lagi, makin loya tekaknya mendengar Marina merengek begitu. Nak muntah!
“Maaf, okey. I betul-betul tak boleh,” balas Irfan acuh tak acuh.
“I tak kira. I tunggu you kat lobi. You mesti turun dalam masa sepuluh minit. Kalau tak I buat kecoh nanti,” ucapnya sambil menggoyangkan jari telunjuknya ke arah Irfan. Marina sudah berlalu sebelum sempat Irfan menolak.
Itulah taktiknya. Selalu sangat memaksa. Lemas Irfan dibuatnya. Dia melepaskan satu keluhan ketika bayang Marina sudah tidak kelihatan. Tumpuannya kini dialihkan kepada Shahira kembali. Gadis itu sejak dari tadi mekar senyumnya. Dia mengerutkan dahi tanda tidak mengerti.
“Hah! Kenapa sengih-sengih ni? You ketawakan I ya?”
“Mana ada!” Balas Shahira masih dalam sisa tawanya. “Beruntung you, dapat girlfriend macam Cik Marina tu. Romantiknya,” usik Shahira pula.
“Hei! Tolong sikit eh. I kalau boleh nak elak jumpa dia tau. Rimas betullah dengan perangai dia tu,” Irfan mengeluh lagi. “Jadi, macam mana?” Sambungnya lagi.
“Macam mana apa?” Soalan dijawab dengan soalan. Shahira buat-buat tidak faham. Padahal dia tahu apa yang Irfan maksudkan. Bukan ke perbincangan mereka terganggu sebentar tadi. Belum ada kata putus lagi.
“Makan malam kitalah...”
“Eh! Encik Irfan ni. Takkanlah you nak ‘date’ dua perempuan sekali gus. Bahaya tu! Nanti you tak apa-apa, kita orang yang bercekau pulak. Lupa ke, Cik Marina sedang tunggu you kat lobi sekarang ni.”
“I nak keluar dengan you, bukan dia, ” tegas bunyi suaranya tapi sedikit manja.
“I tau, tapi tak baik you kecewakan dia. You pergilah dengan dia. I tak kisah.” Shahira tersenyum lagi. “Lagipun, I tengok dia beria-ia betul nak luangkan masa berdua dengan you. Kesian dia.”
“Dia you kesiankan, I ni tak pulak,” Irfan bersuara seakan merajuk.
“Bukan macam tu... You lelaki, dia perempuan. So, I mesti kesiankan kaum I dulu.”
Whatever. Tapi, I tetap nak keluar dengan you jugak. Tak malam ni, mungkin esok atau hari-hari lain.”
“Okey. Lain kali, kalau ada rezeki, kita keluar pulak.” Shahira cuba menyedapkan hati. Bukan hati Irfan saja tapi hatinya juga. Bukan pula dia berjanji. Tapi sekadar mahu merungkaikan kekusutan yang ada. Nanti kalau Irfan berkeras mahu keluar dengannya, lagi haru biru. Mahu bergaduh dia dan Marina nanti. Tak pasal-pasal, orang akan kata dia rebutkan lelaki pula. Eee! Tak kuasa dia.
“Janji?”
“Insya-Allah. Kalau bulan jatuh ke riba.”
“Shahira, I harap sangat kalau you yang jadi ‘teman’ I malam ni. I memang nak kita habiskan masa berdua. Nak-nak hari ni hari jadi I,” suaranya lirih. Luhur bunyinya.
Shahira terpempan seketika. Dia tersenyum juga walau di hati ada rasa terkilan mendengar tutur kata Irfan itu.
“Mungkin lain kali, okey. Insya-Allah kalau ada rezeki kita,” balasnya datar. Agak tersekat-sekat dek kerana rasa hiba yang tiba-tiba mengundang. Dibilas dengan segaris senyum agar Irfan tidak terkesan akan perubahan riak wajah dan suaranya. Irfan merenungnya lama. Mungkin cuba mencari kebenaran di sebalik kata-katanya.
“Okey, lain kali,” suaranya datar sahaja. Bagai memujuk diri sendiri. “You jangan cemburu pulak I keluar dengan Marina malam ni. Nanti susah pulak you nak lelapkan mata, mana tahu,” Irfan mengusik.
            “Tolonglah eh. Makin lena tidur I adalah. Tak ada ‘gangguan’ malam ni. Hmm, selamat berseronok Encik Irfan.” Dia sudah berubah ceria. Apatah lagi kala mengusik Irfan. “Satu lagi, setakat you nak keluar dengan dia, I tak terasa apa-apa pun. Tapi bila dia nak cium you tadi, adalah I cemburu sikit,” sambungnya lagi seraya mengatur langkah bersama gelak kecil. Sempat dikerling reaksi Irfan tika itu. Irfan menjeling manja. Geram betul mendengar usikan Shahira itu. Namun senyumnya mekar menyaingi langkah Shahira yang teratur meninggalkannya.

0 comments:

Post a Comment