Rindu Jadi Saksi - Bab 10



IRFAN menghabiskan suapannya. Berselera benar dia makan, apatah lagi Shahira ada bersama. Itu pun puas dia memujuk. Susah benar nak keluar berdua dengan gadis itu. Ada saja alasannya. Dia terlalu berhati-hati sebenarnya. Itu yang dapat Irfan teka.
            Tapi, hari ini dia gembira benar bila permintaannya tidak ditolak. Biarpun jenuh dia memujuk, tapi berbaloi. Mungkin Shahira terpaksa menerima ajakkannya. Siapa peduli. Janji dia dapat bersama gadis yang kian bertakhta di hatinya. Apa cara sekalipun dia akan tetap inginkan Shahira selalu bersama, sekali gus menjadi insan yang istimewa dalam hidupnya.
            Mula-mula berkasih. Kemudian mereka akan mencipta mahligai bahagia bersama, hingga ke hujung nyawa. Itulah impian kasihnya terhadap Shahira. Dia ingin benar-benar jadikan itu satu kenyataan sebenarnya.
“Amboi.... Berselera betul Encik Irfan makan ya,” perli Shahira bersahaja. Dia masih belum menghabiskan makanannya.
“You ada mestilah I selera,” dia menjawab juga bersahaja. “Kan I dah cakap, jangan panggil I ‘encik’. You ni kan sengaja nak hilangkan mood I tau,” sambungnya lagi. Dijelingnya Shahira sekilas, tanda protes.
“Maaflah. Dah terbiasa la... Benda macam ni kena ambik masa, okey,” terang Shahira jujur. Dia tergelak kecil. Irfan juga.
“You... Macam tak selera aje. Tak luak pun I tengok. Tak sedap ke makanan kat sini,” dia menegur bila menyedari yang Shahira masih belum menghabiskan makanannya. Hanya meneguk fresh orange saja.
“Bukan. I dah makan nasi lemak masa sarapan tadi. Kenyang lagi. Kalau ikutkan, malas I nak keluar. Tapi Encik Irfan, eh, Irfan dah beria-ia, nak buat macam mana,” dia bersuara perlahan. Apatah lagi bila menyebut nama Irfan. Janggal benar dia memanggil begitu tanpa perkataan ‘encik’ seperti kebiasaannya. Irfan hanya tersenyum mendengar Shahira tersasul memanggil namanya. Hatinya berbunga melihat perubahan gadis itu.
“Merahnya muka! Tak payah malu. I bukannya makan orang pun,” dia bersuara mengusik, menutup kegugupan Shahira. Shahira tersenyum malu. Bertambah malu bila Irfan menyedari perubahannya itu.
“Bukan macam tu... I tak biasa. Janggal, kan? Bos dengan pekerja, tentu you faham apa yang I maksudkan ni...”
“Alah... Lama-lama biasalah. Now I’m your boss, yet become your lover.”
Shahira pantas menoleh dan mencerlung memandang Irfan. Ikut suka hati saja Irfan bercakap.
“Bukan salah pun. Kita sama-sama ada hak. Tak kiralah apa orang nak kata. Yang penting hati kita.”
“Itu betul. Tapi, perasaan orang lain kena jaga jugak. Tak bolehlah kita pentingkan diri sendiri. I tak nak nanti orang salah anggap,” luah Shahira bimbang.
“You janganlah risau. I tahulah macam mana nak handle! Takkan I nak biarkan orang yang I sayang macam tu aje,” lembut Irfan memujuk. Dia faham yang Shahira risaukan apa yang bakal mereka tempuhi nanti. Dia memang terlalu berhati-hati.
Shahira tersenyum tawar. Dia memandang Irfan. Tunak. Irfan membalas pandangannya. Mesra sekali. Shahira tahu Irfan memang ikhlas ingin menyayanginya, cuma dia yang tidak pasti. Bukan dia menolak, cuma dia takut bila hati sudah sayang, kasih terhalang. Tak ke parah nanti. Frust menonggeng!
Memang tidak dinafikan, dari hari ke hari rindunya mula berputik buat Irfan. Mungkin ini tandanya dia sudah mula menerima. Tapi, dia takut pada kemungkinan yang mendatang.  Perjalanan masih jauh. Berbagai dugaan dan rintangan akan ditempuhi. Dia juga terlebih sedar, ramai lagi gadis lain yang cuba memenangi hati Irfan. Lebih hebat jika nak dibandingkan dengan dirinya. Rasa diri semakin jauh bila mengenang itu semua. Bukan dia mahu menyerah kalah. Cuma, sekadar menginsafi diri.
“Fan, boleh I tanya sikit?” Shahira bersuara setelah agak lama membisu. Irfan   memandangnya dengan senyuman. 
“Apa dia? Tanyalah,” balasnya mesra.
“Kan ramai perempuan yang minat kat you, Marina contohnya, kenapa you pilih I jugak. I ni tak macam orang lain tau.”
“Tak macam orang lain? Macam apa pulak tu?” Irfan sedikit hairan tapi dia berminat untuk tahu. Tumpuan diberikan sepenuhnya pada Shahira.
"I tak pandai nak ambik hati orang, tak pandai nak jaga perasaan orang. Nanti you tak  tahan pulak dengan I ni.”
Irfan tersenyum mendengarnya. Memang gadis di hadapannya itu suka sangat merendah diri. Itu yang buat dia semakin suka tu. Sementelah dia terlalu menghormati keperibadian Shahira.
“Baguslah macam tu. You ambik hati I aje... Tak payah ambik hati orang lain. Taklah you pening kepala nanti,” balasnya penuh makna. Shahira sekadar menjeling. “Tak kisahlah tu. Kalau I dah suka, I akan terima you seadanya.” 
“You ni suka ambik mudah semua benda, kan? I ni risau tau kalau nanti you menyesal kenal dengan I. I jugak yang kena tinggal!” 
“Takut jugak kena tinggal ya?” Usik Irfan terus. 
 “Mestilah... Ada ke orang suka kena tinggal? Semua orang nak bahagia sampai bila-bila, kan?” 
Irfan merenungnya lembut berserta dengan senyuman manis. Kemudian dengan selamba digenggamnya jari-jemari Shahira. Diusap lembut lantas dikucup belakang tangannya. Shahira serba-salah. Irfan selalu begitu. Selalu ingin menyentuh jemarinya. Apakah cara ini saja yang dia ada untuk meyakinkan Shahira tentang perasaannya? Kadang-kadang dia kurang selesa dengan perlakuan Irfan itu. Mahu ditegur, takut Irfan berkecil hati. Tak ditegur, dia pula yang sakit hati. Susah betullah kalau macam ni. Matanya meliar memandang sekeliling. Takut ada orang yang  dikenalinya di situ. Nasib baiklah orang tidak ramai masa itu. Manalah tau ada yang dikenali, kecoh pulak nanti. ‘Eee... Aku ni, dengan orang takut, dengan Tuhan tak takut,’ dia membebel dalam hati.
“Kehadiran you, besar ertinya buat I. Terlalu istimewa. Dari hari pertama kita jumpa, I tahu yang I hanya perlukan you,” dia bersuara datar tapi sungguh-sungguh.
Cukup tersentuh Shahira rasakan. Kiranya pengakuan Irfan itu menjerat dirinya. Irfan bersungguh-sungguh dengan perasaannya. Bagaimana harus dia membuat keputusan? Namun, dalam pada itu, dia masih cuba menafikan perasaannya terhadap lelaki itu. Dia cuba mengawal diri agar tidak nampak sangat yang dia mula menerima Irfan sebenarnya.
“Tapi, Marina?” Soalnya lagi. Hai! kenapalah gatal sangat mulutnya menyebut nama itu. Kenapalah suka sangat dia bermain dengan api. Ini entah kali yang ke berapa dia bangkitkan soal itu. Entahlah. Setiap kali hatinya mula suka pada Irfan, bayangan Marina pasti datang. Dan yang paling dia tidak gemar, dia sering teringatkan bagaimana Marina cuba mencium pipi Irfan suatu waktu dahulu. Dia cemburu.
“Kan I dah kata, banyak kali dah... Dia dengan I tak ada apa-apa, okey. Boleh tak kalau you percayakan I. Beri I peluang. I akan bahagiakan you,” Irfan merayu, memohon simpati.
“I tahu, tapi dia mesti tak dapat terima keadaan ini bila dia tahu nanti. Nak-nak, I yang you pilih. Lagilah dia benci pada I nanti. I takut!” Shahira menyuarakan kebimbangannya. Dia menunduk.
“Sayang, kan I dah selalu cakap yang I akan pastikan tiada perkara yang tak elok berlaku pada you. I memang sayangkan you. Percayalah,” serius nada suaranya.
Shahira mengangguk faham tapi hatinya masih berbelah bahagi. Dia akui, hatinya sudah mula suka pada Irfan. Perasaan itu makin hari makin mekar. Apatah lagi sejak menerima kiriman bunga dari Irfan hampir saban minggu. Terasa sangat diri dihargai. Mejanya sudah sarat dengan bunga-bungaan. Dah boleh buka kedai bunga gamaknya. Lagi seronok, bila rakan sepejabat yang lain termasuk Adibah sudah mula menyedari dan berteka-teki, siapakah si pengirim misteri. Seronok pulak jadi perhatian macam tu.

                                                           ******

SHAHIRA tersenyum sendirian. Seperti biasa jambangan mawar sedia menanti kehadirannya pagi itu. Makin bersemangat dia dibuatnya. Ditambah lagi dia tahu siapa sang pengirim, lagilah kembang hatinya. Nasib baiklah Adibah bercuti hari itu. Kalau tidak, pasti teruk dia kena perli sebab senyum seorang diri. Jenuh dia kena usik.
            Seketika dicium haruman mawar yang menusuk. Segarnya. Dia memang sukakan bunga mawar walaupun kadangkala dia alah dengan bauan bunga itu. Bau wanginya terlalu menusuk ke rongga hidung. Di satu sudut, Irfan tersenyum memerhatikannya. Gembira apabila pemberiannya dihargai. Hatinya berbunga riang melihat Shahira masih membelek bunga pemberiannya.
Morning, dear,” sapanya lembut ketika sudah berada di meja Shahira. “Takkan cium bunga aje. Orang yang beri, tak nak cium ke?” Usiknya lagi, sambil menyuakan mukanya.
Shahira menjeling tajam sebelum menjawab. “I bukan macam Marina, suka-suka nak cium lelaki,” lancar saja ayat yang terkeluar dari bibirnya. Dia terkedu pula bila menyedari yang dia sudah terlepas cakap. Wajah Irfan juga turut berubah. Ada riak kurang senang di situ. ‘Celoparnya mulut aku ni,’ marahnya dalam hati.
You suka sangat cari salah I, kan? Ada aje yang tak kena pada you. Bukan I yang suruh dia cium I. Dia yang terhegeh-hegeh datang pada I,” Irfan berkata kurang senang.
Shahira jadi serba-salah. Bukan maksudnya untuk mengungkit kisah Irfan. Tapi, entahlah. Perkara itu sering membayangi dirinya.
I tak bermaksud macam tu. Okeylah bukan salah siapa-siapa.”
“Hmm... You cemburu sebenarnya, kan?”
Kata-kata Irfan itu membuatkan Shahira menoleh tepat ke arahnya. Cepatnya mood lelaki ini berubah. Tadi, macam marah. Dah tu nak samakan dirinya dengan Marina pulak. Isy! Apa-apa ajelah.
“Tolong sikit... I bukan macam tu tau. Nak cemburu tak tentu pasal. Bagi I, selagi belum ada ikatan yang sah, I tak nak buat macam tu. Tak baik tau.” Dia membela diri. Sekadar menerangkan apa pendiriannya.
“Tengok. You memang nak salahkan I nampaknya.”
“You ingat I nak cari pasal ke? Okeylah, kita lupakan pasal tu. Maaf sebab I ni jadi penyibuk sekejap.”
“Bukan! Tak perlu nak mintak maaf. You kena faham, hidup kat bandar besar ni, dalam zaman serba canggih pulak tu, perkara tu dah macam kebiasaan. Setakat cium pipi, you pun tahu...”
“Betul, I setuju sangat-sangat pasal tu tapi you sendiri patut tahu hadnya. Dalam hal-hal tertentu, you kena tegas. Bukan main ikut budaya yang entah apa-apa tu! Kita ni orang Islam. Ada batas-batas pergaulan. Kalau macam ni lah cara hidup you, macam mana you nak bimbing isteri dan keluarga you nanti?”
 “Hmm, nasihat yang bagus. Itu yang buat I makin suka kat you, sayang.”
“Tengok tu! Nakal tau! Jangan panggil I macam tu. Dengar yang lain nanti, kecoh.”
“You ni kan, susah betul tau. Nak panggil ‘sayang’ pun kena marah. Tu belum pegang-pegang lagi tu,” Irfan terus mengusik. Dia memandang Shahira, mengintai reaksinya.
“Beranilah you buat macam tu. Kena you nanti.”
“Amboi, bukan main garang lagi dia ya! Kan bagus kalau dia orang semua tahu. Nanti dia orang tak berani nak kacau you. Kan selamat sikit. Tak payahlah I macam pak guard pencen, nak perhatikan you setiap masa.”
“Fan, I seriuslah...” Shahira bersuara geram. Matanya meninjau sekeliling, takut ada yang mendengar perbualan mereka.
“I pun serius ni. Tengok, mana ada I ketawa pun,” gurau Irfan lagi. Dia berlagak serius.
“Fan!!!...” Ditekan suaranya sedikit, tanda protes.
“Okey, okey... Nak gurau pun tak boleh. Taulah I jaga line. Jangan risau, okey.” Dia tersenyum menggoda.“You marah ke?” Sambungnya lagi.
“Tak. Geram!”

0 comments:

Post a Comment